Monday, December 6, 2021

Meiji - Tokoh Tamadun Jepun

 Zaman Meiji (1868-1912 M)

Dengan kejatuhan Kesyogunan Tokugawa , satu peristiwa penting berlaku di negara  Jepun iaitu Pemulihan Meiji pada tahun 1868.Matlamat utama pemulihan ini adalah untuk mengembalikan semula Maharaja kepada kedudukannya yang sebenar sebagai ketua masyarakat Jepun yang tertinggi dan bersesuaian dengan keturunannya dari Dewi Matahari.Maharaja Meiji berusia ketika 16 tahun ketika berlansungnya peristiwa ini maka beliau hanyalah merupakan ketua negara yang simbolik kerana kepimpinan kerajaan dikuasai oleh beberapa samurai muda terutama dari suku kaum Satsuma dan Choshu atau Oligarki Satcho.

 Pemimpin-pemimpin Pemulihan Meiji menyedari bahawa kedatangan kuasa-kuasa Barat merupakan suatu ancaman kepada dasar imperialisme mereka. Bagi menghadapi  ancaman ini ,pemimpin-pemimpin pemulihan Meiji bermatlamat untuk menjadikan kerajaan baru sebuah negara yang kaya (ekonomi) dan tentera yang kuat (Fukoku Kyohei) di samping memodenkan negara tersebut.

Untuk mencapai matlamat tersebut,dasar pemodenan di laksanakan iaitu  yang meliputi  pembentukan semula institusi-intitusi politik,ekonomi dan sosial menurut garis panduan dari Barat .Langkah  yang di ambil  ke arah  modenisasi Jepun  ialah :


a)    Penghapusan  Sistem Feudalisme. Dengan pemansuhan system feudalisme maka beberapa dasar mengenainya telah diperkenalkan iaitu semua tanah diserahkan dan merupakan hak milik diraja.Pembesar-pembesar feudal Meiji yang penting (daimyo)  secara sukarela  telah menyerahkan  harta feudal dan semua hak mereka kepada maharaja.Mulanya bekas pembesar feudal disuruh menjaga kawasan kekuasaannya yang lama itu.Kemuadian mereka digantikan oleh pegawaipegawai kerajaan yang dilantik dari Tokyo.Sebagai bayaran gantirugi ,mereka menerima bayaran  pencen yang lumayan dan diberi saham dalam perusahaanperusahaan kerajaan yang baru.

b)    Pemodenan  Angkatan Tentera Darat dan Laut. Dalam bidang ketenteraan,angkatan tentera darat dan laut dipermodenkan menurut cara Barat dengan memperkenalkan industri  persenjataan moden,sistem kerahan tentera moden dan latihan-latihan ketenteraan melalui penubuhan akademi-akademi tentera.

c)     Perhubungan  dan Pengangkutan. Dalam bidang perhubungan,diperkenalkan penggunaan telegraf yang jauh lebih pesat berbanding dengan pembinaan landasan keretapi dan menjelang tahun1880,hampir semua  bandar-bandar besar memiliki sistem  perhubungan moden ini. Dalam bidang pengangkutan,diperkenalkan pengangkutan kereta api melalui pembinaan landasan-landasan kereta api untuk mengangkut penumpang dan barang ekonomi.Menjelang tahun 1881,Jepun sudah memiliki landasan kereta api sepanjang 26 batu, dan landasan kereta api antara Kyoto- Otsu (1880) dibina sepenuhnya oleh jurutera-jurutera Jepun.Ini membuktikan dari segi komunikasi,ianya sudah mencapai taraf atau melebihi taraf sebuah negara Barat.

d)    Perundangan. Dalam bidang perundangan,diperkenalkan beberapa pembaharuan untuk membentuk suatu sistem undang-undang moden.Sistem undang-undang moden amat penting untuk diperkenalkan kerana ia merupakan syarat mutlak bagi mengkaji semula perjanjian-perjanjian yang dianggap berat sebelah,iaitu perjanjian antara Jepun dengan kuasa-kuasa Barat sekitar tahun 1850-an dan 1860-an, di samping untuk memenuhi perkembangan kapitalisme(industri). Pada tahun 1873,kerajaan Jepun telah melantik seorang peguam Perancis, Gustave Roissonade de Fontarabe sebagai penasihat kepada Kementerian Keadilan.Peraturan dan sistem undang-undang moden telah berjaya menghapuskan perjanjian-perjanjian berat sebelah dan membentuk sebuah masyarakat industri moden.

e) Pendidikan. Bagi mencapai matlamat pembentukan negara sebagai sebuah kuasa ekonomi dan ketenteraan yang  moden maka bidang pendidikan diberikan tumpuan penting oleh pemimpin-pemimpin Pemulihan Meiji.Pendidikan merupakan alat tranformasi untuk mencapai matlamat ini dan kesannya,sistem  pendidikan berbentuk moden diperkenalkan. Kerajaan Jepun telah menghantar pelajar-pelajarnya ke seberang laut untuk mempelajari bidang pentadbiran,sains dan teknik perindustrian Barat dan mengambil sejumlah besar pakar untuk mengajar kemahiran kepada rakyat Jepun di dalam negeri. Pada tahun 1871,ditubuhkan Kementerian Pelajaran dan sistem pendidikan yang seragam.Pada tahun 1886,ditubuhkan Universiti Diraja Tokyo yang merupakan pusat pendidikan tertinggi di Jepun.Universiti ini juga berperanan sebagai sekolah latihan dalam perkhidmatan awam(pentadbiran),pusat pendidikan dan pusat penyelidikan .Sistem pendidikan Jepun menekankan kepatuhan dan penghormatan terhadap Maharaja dan negara ( nasionalisme), pendidikan berorentasikan Barat dan pendidikan moral (etika Kung Fu Tze).

f) Kebudayaan. Dalam bidang kebudayaan,berlaku perubahan dalam beberapa kesenian  iaitu seni lukis,seni drama dan lain-lain.Seni lukis tradisional Jepun telah dipulihkan dan diperbaharui.Lukisan minyak semakin terkenal dan lukisan gaya Barat terutama penggunaan warna-warna terang begitu diminati. Seni muzik gaya Barat iaitu instrumental dan vokal menjadi semakin terkenal, piring-piring hitam Barat membanjiri pasaran muzik,dan tariantarian Barat antara tarian ballroom.Alat-alat muzik tradisional Jepun iaitu gagaku  telah dihidupkan semula dengan gabungan seni muzik tradisional dengan Barat.Seni drama , kabuki zaman Edo yang diminati oleh golongan saudagarsaudagar telah mengalami perubahan penting dan seni drama ini telah mendapat penghormatan sosial yang tertinggi di zaman Meiji. Selain itu, diperkenalkan pementasan sandiwara gaya Barat iaitu, Shingeki.Seiring dengan perkembangan drama,industri  perfileman berkembang pesat dengan filem-filem bisu peringkat awal.Industrian perfileman mencapai kemajuan dalam penggunaan teknologi teknik kamera moden,penggunaan sarikata,teknik sinaran tiruan, „prop‟ dan sebagainya.

 

g)  Kesusasteraan Dalam bidang  kesusasteraan ,berlaku beberapa perubahan dan  pengenalan  kepada beberapa aliran kesusasteraan baru.Di peringkat awal Pemulihan Meiji, minat terhadap kesusasteraan Barat semakin meningkat sehingga mendorong kepada penterjemahan karya-karya Barat termasuk terjemahan berbentuk biografi tokoh-tokoh Barat seperti Homer,Shakespeare, Voltaire, Rousseau dan lain-lain. Melalui karya-karya terjemahan  ini,masyarakat Jepun terutama golongan elit telah terdedah dengan idea-idea Barat,ilmu pengetahuan dan sains,pemikiran politik,kebudayaan dan social,pendidikan dan sebagainya. Kegiatan penterjemahan telah membawa kepada perkembangan bentuk kesusasteraan baru yang menggunakan perbendaharaan bahasa Jepun gembun itchi   iaitu  oleh penulis-penulis novel. Antara tokoh-tokoh terkenal ialah Futabatei Shimei dengan karya  terjemahannya berjudul Rendezvous(1889). Berdasarkan penterjemahan buku-buku Barat, maka bahasa  Inggeris merupakan bahasa asing  terpenting di zaman Pemulihan Meiji. Terdapat penulis-penulis Jepun  yang mengilhamkan pemikiran politik dan sistem politik Barat antaranya  Fukuzawa Yukichi,Kato Hiroyuku dan Itagaki Taisuke.Idea-idea dan pemikiran politik Fukuzawa Yukichi mengenai pemodenan telah menjadi panduan dan semangat kepada pemimpin-pemimpin Pemulihan Meiji.Idea-idea  pemikiran dan teori-teori ekonomi yang membawa kepada doktrin laisseze-faire(perdagangan  bebas) telah dipelopori oleh Taguchi Ukichi, melalui penulisannya berjudul  Dasar Ekonomi(Keizi Saku) pada tahun 1882. Di negara Jepun  juga,  berlaku perkembangan persuratkhabaran.Akhbar yang pertama dalam bahasa Jepun ialah Nisshin Shinjishi (Reliable Daily News) .Penerbitan akhbar menggunakan mesin cetak yang diimport dan ini memperkenalkan industry pencetakan  di Jepun.Menjelang tahun 1875,terdapat sejumlah lebih 100 jenis surat khabar dan majalah berkala dicetak di Jepun.


h)  Ideologi Rasmi Kokutai. Untuk memperkukuhkan semangat nasionalisme dan membina  sebuah  masyarakat yang mantap terutama dalam menghadapi pengaruh negatif  dari Barat maka pemimpin-pemimpin Pemulihan Meiji berpendapat suatu ideologi  negara perlu di bentuk.Maka diperkenalkan ideologi  rasmi Kokutai yang berhubungkait dengan kerohanian masyarakat Jepun dan sebahagian darinya memberikan kesetiaan dan ketaatan yang sepenuhnya kepada Maharaja Jepun yang dianggap suci. Kokutai telah membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat yang memudahkan pemodenan  negara Jepun.Pemimpin-pemimpin Jepun telah mewujudkan asas kerohanian bagi masyarakat dan kerajaan dengan memperkenalkan agama rasmi iaitu bentuk Shinto Negara.Perkembangan agama Buddha telah disekat oleh pemimpin-pemimpin Pemulihan Meiji bagi membolehkan kerajaan memberikan keutamaan kepada Shinto.Tindakan keras dilakukan terhadap agama Buddha dan patung-patung dari tempat suci Shinto untuk dibakar dan dihanyutkan. Berbanding agama Buddha, ajaran Kung Fu Tze(Konfusianisme) memainkan peranan penting dan bertanggungjawab memperkukuhkan nilai-nilai tradisional yang memberikan rangka etika dan ideologi  membawa kepada kesedaran moral.Ajaran Kung Fu Tze dapat bergabung dan berharmoni dengan  berkembang dengan menubuhkan pusat-pusat keagamaan iaitu di Nagasaki( Khatolik Roman),Yokohama(PresbyPterian),dan Hakodate(Gereja Ortodoks Greek ) pada tahun 1870-an. Perkembangan agama Kristian terhalang kemudiannya dengan kemunculan beberapa persatuan atau kumpulan berfahaman nasionalis seperti Nippon –Sin (The Japanese),Nippon Kokkyo Daido-sha (Persatuan Cara Agung,Agama Kebangsaan  Jepun ).Persatuan dan kumpulan ini bertekad dan bermatlamat untuk menyanjung tradisi serta warisan Negara dengan mengenepikan pengaruh kebudayaan Barat.

 

i) Ekonomi. Ekonomi Jepun telah menerima yang agak besar daripada era Pemulihan  Meiji. Maharaja Jepun percaya bahawa ekonomi moden adalah asas kepada keselamatan dan keagungan nasionalisme.Pemodenan ekonomi juga dilakukan atas dasar kepesatan pertumbuhan penduduk,aktiviti pertanian yang tidak dapat menampung penduduk yang tidak bekerja,kekurangan perniagaan eksport dan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada kelas samurai yang berjumlah 600 000 orang. Pemodenan ekonomi telah dimulakan disektor pertanian  dan telah menyumbangkan sebanyak 80 % daripada jumlah pendapatan Jepun pada tahun1870-1880. Selain itu,sebelum ini hak milik tanah adalah dalam  kekuasaan Diraja tetapi setelah konsep pemilikan tanah diperkenalkan dari Barat ,semua rakyat mempunyai tanah masing-masing walaupun merek daripada golongan petani.Keadaan ini telah membolehkan kerajaan mengenakan cukai tanah yang menggantikan bayaran cukai kepada  golongan feudalisme. Selain itu,ada juga pelajar-pelajar yang dihantar ke luar  Jepun untuk belajar dalam jurusan pertanian dan ada juga pakar yang dibawa masuk untuk meningkatkan lagi taraf  teknologi pertanian Jepun.Penggunaan benih yang diimport dan baja kimia telah diperkenalkan.Tanaman yang digalakkan ketika itu ialah teh dan sutera serta banyak kawasan pertanian yang telah dibuka.

j) Perindustrian. Dalam bidang perindustrian, industri perkilanga telah  dipertingkatkan dengan kilang-kilang besi waja dan keluli(industri berat ).Industri ini berperanan dalam industri pembinaan kapal,alat perang dan limbungan kapal tentera laut di Yukusuka. Kilang-kilang besi telah dibangunkan dengan meminjam modal daripada golongan-golongan kaya feudal Jepun.Ini dapat mengurangkan pergantungan ekonomi daripada negara-negara Barat yang berupa pinjaman bank.Kilang-kilang itu telah dibangunkan bagi tujuan memajukan bidang ketenteraan Jepun dalam usaha penaklukan dan pertahanan. Selain daripada kilang pembuatan senjata,kerajaan Jepun juga telah membina kilang sutera,kapas,benang,simen dan kaca.

k)   Dasar kewangan dan Fiskal. Pemerintahan Tokugawa telah memperkenalkan konsep  wang pelbagai.Namun setelah Kementerian  Kewangan ditubuhkan system mata wang telah diselaraskan dengan mengambil kira sistem kewangan dari Barat .Pada tahun  1868,mata wang Jepun telah ditukar kepada konsep penggunaan wang kertas.Wang kertas telah ditukarkan daripada Ryo kepada Yen yang ketika itu mempunyai nilai yang sama dengan nilai Dollar Amerika  Syarikat. Kerajaan Jepun menghadapi masalah inflasi dan susut nilai mata wang yang diakibatkan daripada perbelanjaan melebihi pendapatan.Ini berlaku kerana proses transisi Jepun dalam pemodenan angkatan tentera ,industri  baru dan komunikasi.Menteri kewangan yang bernama Matsukata telah berjaya mengawal keadaan dengan mengenakan cukai yang tinggi ke atas minuman keras dan tembakau serta mengurangkan subsidi kerajaan kepada syarikat.Dengan ini kerajaan Jepun dapat menarik semula wang kertas Jepun untuk meningkatkan semula nilainya.


l)     Politik. Perlembagaan baru dan system politik berparti di perkenalkan. Pada tahun 1868, Carta Pengakuan Lima Artikel telah diperkenalkan dengan memberikan penekanan  kepada penubuhan dewan perhimpunan,kebebasan bermastautin dan pekerjaan,penghapusan kelas keturunan dan hubungan kebudayaan dengan Barat. Maharaja telah memerintahkan supaya perlembagaan dan parlimen baru dibentuk menjelang tahun 1881.Maharaja Meiji juga telah mengarahkan Ito Hirobumi selaku penyimpan  mohor untuk pergi mempelajari teori politik dari Britain,Belgium,Paris,Vienna, dan Berlin.  Pengumuman perlembagaan baru telah dibuat secara rasmi oleh Maharaja pada 11 Februari 1889.Di antara syarat-syarat yang terkandung dalam perlembagaan  ini ialah penubuhan sebuah dewan kabinet dan mewujud parlimen dwidewan( dewan bangsawan dan rakyat).Pilihanraya  pertama telah diadakan pada tahun 1890 yang disertai oleh berbagai parti politik.

 

Kesimpulan

Berdasarkan  kepada faktor-faktor yang dibincangkan masalah- masalah sama ada di peringkat dalaman atau luaran  di zaman Kesyogunan Tokugawa telah mewarnai dan mencorakkan keadaan politik, ekonomi, dan sosial negara Jepun. Masalah-masalah ini telah melemahkan dan akhirnya menyumbangkan kepada keruntuhan Kesyogunan Tokugawa dan sistem feudal di Negara Jepun.

Dengan kejatuhan sistem feudal ini ,ternyata kuasa politik negara Jepun telah dikembalikan kepada Kerajaan Imperial atau Maharaja Jepun.Maharaja Meiji.Ini merupakan antara salah satu peristiwa sejarah yang penting untuk mencorak dan mempengaruhi pembentukan negara Jepun moden.

Secara umumnya ,dasar pemulihan Meiji (1868-1912) telah membawa negara Jepun ke arah matlamat sebuah negara perindustrian yang kaya dan memiliki kekuatan angkatan tentera ( politik ) yang dianggap moden.Pencapaian dalam pelbagai bidang terutamanya melalui hubungan dengan Barat mendorong kepada pemodenan negara Jepun.

Natijahnya , ini meletakkan Jepun sebagai negara tunggal di Asia yang muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dan ketenteraan,setaraf dan dapat menyaingi kuasa-kuasa Barat.

No comments:

Like TITAS

Followers

Subhanallah!

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan