HAK ASASI MANUSIA: PERSPEKTIF BARAT DAN ISLAM
Isu hak asasi manusia
bukanlah satu isu yang baru. Ianya telah lama diperkatakan. Tetapi, isu hak
asasi manusia ini sering diulang-ulang dan diberi spekulasi yang meluas
mengenainya. Isu hak asasi manusia berkait rapat dengan isu keadilan, bahkan
hak asasi manusia hanyalah satu juzuk daripada isu keadilan.
Hak asasi
manusia sering diperkatakan kerana berlakunya penindasan, kezaliman, dan
diskriminasi di dalam sesebuah masyarakat. Isu hak asasi manusia pada
hakikatnya terlebih dahulu dilaungkan oleh Islam, sejak 1400 tahun yang lalu,
sejajar dengan laungan ke arah keadilan yang dibawa oleh Islam. Pada ketika
itu, masyarakat Barat sendiri tidak mengenali isu hak asasi manusia, dan hidup
di dalam penindasan dan kezaliman.
Namun, pada masa kini, dunia Barat sekali
lagi mempromosikan agenda hak asasi manusia dan berlagak seperti penegak hak
asasi manusia. Di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Barat yang
memimpin pertubuhan tersebut seolah-olah menguasai usaha memartabatkan hak-hak
asasi manusia pada peringkat antarabangsa, sedangkan umat Islam yang sudah lama
memperjuangkan hak-hak asasi manusia, di anggap sebagai penuntut yang baru
mengenali apa itu hak asasi manusia dan mereka (Barat) sebagai gurunya.
Apa yang
pasti, Barat sendiri tidak melaksanakan agenda hak asasi manusia bahkan
mencabuli hak asasi manusia, seperti yang dibincangkan di awal perbahasan dalam
bab ini. Walaupun mereka telah bersepakat mengenai Deklerasi Hak Asasi Manusia
atau Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR), namun isu-isu seperti
ketenteraan di Iraq, Afghanistan, dasar diskriminasi di Palestin, dasar campur
tangan dalam politik di negara-negara membangun dan mundur, isu pengharaman
tudung di sekolah dan di tempat-tempat perkhidmatan awam, dan sebagainya, jelas
membuktikan Barat belum bersedia untuk membela dan menghormati hak asasi
manusia.
Hak Asasi Manusia dalam Islam
Islam
bercakap tentang hak asasi manusia sejak 1400 tahun yang lalu, sejajar dengan
konsep tanggungjawab. Maka, Islam menegaskan bahawa, manusia sememangnya
mempunyai hak dan tanggungjawab. Dalam Islam pula, hak seseorang sejajar dengan
tanggungjawab yang dipikulnya.
Hak-hak
manusia ada dua jenis. Pertama, hak-hak yang dikongi bersama. Kedua, hak yang
berbeza antara manusia.
Hak-hak yang
dikongsi bersama merupakan hak-hak yang ada pada setiap manusia, tanpa
membezakan antara Islam dan bukan Islam, antara lelaki dan perempuan, antara
muda dan tua, dan sebagainya. Inilah yang dipanggil sebagai hak asasi manusia.
Ada 5 hak-hak
asasi manusia yang umum, dalam Islam:
1. Pertama:
kebebasan beragama.
2.
Kedua: pemeliharaan jiwa.
3.
Ketiga: pemeliharaan akal
4.
Keempat: pemeliharaan maruah dan keturunan.
5.
Kelima: pemilikan dan pemeliharaan harta
benda.
Kelima-lima
prinsip hak asasi manusia ini merupakan prinsip-prinsip asas yang akhirnya
melahirkan pecahan-pecahan kecil seperti yang termaktub di dalam Perisytiharan
Sejagat Hak Asasi Manusia. Kesemuanya tidak lari daripada kelima-lima prinsip
tersebut.
Contohnya,
hak kebebasan hidup termasuk dalam pemeliharaan jiwa. Hak untuk bekerja, dan
sebagainya adalah termasuk dalam pemeliharaan harta banda. Hak kebebasan
pendidikan termasuk dalam pemeliharaan akal, maruah, pemeliharaan jiwa dan
harta benda.
Kelima-lima
hak tersebut berkait rapat dengan tanggungjawab seseorang manusia di muka bumi
ini. Tanggungjawab juga terbahagi kepada dua jenis, iaitu tanggungjawab utama,
dan tanggungjawab sekunder.
Tanggungjawab
yang utama, merupakan tanggungjawab bersama seluruh manusia tanpa ada perbezaan
antara sesama manusia, sedangkan tanggungjawab sekunder, merupakan
tanggungjawab yang terdapat perbezaan antara satu sama lain.
Tanngungjawab
yang utama bagi seseorang manusia adalah:
Pertama:
mengabdi diri kepada Allah s.w.t. dan mengesakan-Nya.
Kedua:
menjadi khalifah Allah s.w.t. dan memakmurkan bumi ini dengan kebaikan.
Maka,
selain daripada hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab asasi bagi manusia, ada
juga hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab yang berbeza antara satu sama
lain.
Hak-hak
dan tanggungjawab tersebut berbeza antara manusia. Contohnya, ada hak-hak dan
tanggungjawab untuk orang Islam dan ada yang bukan untuk orang Islam. Ianya
jelas berbeza. Hak seorang muslim misalnya, perlu disolatkan jika dia meninggal.
Hak tersebut tidak ada pada seorang bukan Islam. Begitu juga dengan
tanggungjawab, seorang muslim bertanggungjawab untuk mendirikan solat,
sedangkan orang bukan Islam tidak wajib untuk menunaikan solat kerana syarat
wajib untuk menunaikan solat diantaranya ialah Islam.
Ada
juga hak-hak dan tanggungjawab yang berbeza antara lelaki dan perempuan dalam
Islam. Contohnya, lelaki berhak untuk melafazkan talak, sedangkan perempuan
tidak. Dalam contoh yang lain, perempuan berhak menerima mahar sebagai tanda
penghormatan daripada suaminya, sedangkan lelaki tidak berhak untuk mendapatkan
mahar perkahwinan daripada isterinya. Tanggungjawab juga berbeza, sepertimana
lelaki bertanggungjawab mencari nafkah kepada keluarganya sedangkan perempuan
tidak. Sebagai balasan, perempuan wajib mentaati suaminya dalam setiap
suruhannya selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah s.w.t.
Ada
di kalangan orang Islam yang jahil dengan konsep keadilan yang sebenar, dan
terpengaruh dengan kefahaman Barat, menentang sebahagian daripada ajaran-ajaran
Islam yang dianggap sebagai tidak adil (atau tidak sama rata).
Golongan
yang terbabit selalunya adalah golongan wanita Islam yang mendapat pendidikan
daripada Barat. Hasilnya, ukuran keadilan dan hak asasi manusia yang mereka
gunakan ialah ukuran Barat yang sesat. Kerana itulah, lahirnya golongan Faminis
Islam, yang memperjuangkan persamaan hak di antara lelaki dan perempuan.
Adakah mereka tidak membaca ayat
Al-Qur’an yang bermaksud: “dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang
dikurniakan oleh Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak
(kurnia) daripada sebahagian yang lain, sesungguhnya bagi kaum lelaki itu, ada
bahagian daripada apa yang mereka usahakan, adan bagi kaum wanita juga, ada
bahagian yang diperolehi daripada apa yang mereka usahakan…” (Surah An-Nisa’:
32)
Bukankah
telah jelas bahawa, bagi seseorang lelaki itu, apa yang dikerjakan dan bagi
seseorang perempuan itu, apa yang dikerjakan? Bukankah telah kita katakan
dahulu bahawa, hak-hak seseorang itu bersesuaian dengan tanggungjawab yang
dipikulnya. Seseorang rakyat tidak sama haknya dengan seorang pemimpin, yang
berhak untuk ditaati selama mana ia bukan maksiat. Hak tersebut layak bagi
pemimpin bersesuaian dengan tanggungjawabnya yang berat untuk memimpin
masyarakat.
Sebahagian
daripada golongan faminis ini terkeliru dengan pelbagai kekeliruan yang dipetik
daripada pohon pemikiran masyarakat Barat.
Kekeliruan
yang paling asas, yang menyebabkan mereka memperjuangkan faminisme ialah,
mereka keliru apa itu persamaan taraf dan persamaan hak. Golongan faminis Barat
sememangnya memperjuangkan persamaan taraf, kerana di Barat pada masa dahulu,
mendiskriminasi kaum wanita dan merendahkan martabat mereka (akan dibincangkan
selepas ini, InsyaAllah).
Namun,
dalam Islam, tidak ada perbezaan taraf antara lelaki dan perempuan. Semua anak
Adam sama di sisi Islam. Apa yang membezakan manusia di sisi Allah ialah takwa.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Kami jadikan kamu dari kalangan lelaki
dan perempuan, dan jadikan pula kamu berpuak-puak dan berkaum-kaum, untuk kamu
saling kenal mengenali, dan sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang
paling bertaqwa di kalangan kamu…” (Surah Hujurat: 13)
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Maka Allah memperkenankan permohonan mereka
(dengan berfirman): Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amalan orang yang
beramal soleh dikalangan kamu, baik lelaki ataupun perempuan…” (Surah
Ali-Imran: 195)
Jelaslah
bahawa, Islam sememangnya sebuah agama yang meletakkan konsep persamaan taraf
antara lelaki dan perempuan. Islam juga memuliakan wanita melebihi agama-agama
lain. Maka, golongan faminis Islam sepatutnya tidak wujud. Mereka yang
memperjuangkan faminisme dalam Islam seolah-olah bercakap mengenai suatu agama
Islam yang lain, yang hanya wujud dalam dimensi imaginasi mereka semata-mata,
kerana Islam yang wujud dalam realiti ialah Islam yang memperjuangkan persamaan
taraf antara lelaki dan perempuan. Jika mereka memperjuangkan persamaan taraf,
sememangnya mereka perlu memperjuangkan Islam, bukan feminisme.
Kekeliruan
yang turut mempengaruhi seseorang wanita Islam memperjuangkan faminisme dalam
berhadapan dengan Islam ialah, mereka mengambil pengertian keadilan daripada
Barat. Mereka memperjuangkan persamaan hak kerana mereka menganggap keadilan
bererti persamaan. Maka, persamaan hak adalah keadilan.
Ini
adalah sebuah kesesatan yang nyata. Persamaan bukanlah ukuran bagi sesuatu
keadilan. Persamaan hanyalah satu juzuk daripada keadilan. Namun,
memperjuangkan persamaan dalam sesetengah aspek yang sememangnya berbeza,
merupakan sesuatu kezaliman!
Contohnya,
memperjuangkan persamaan sifat anggota dan tubuh badan antara lelaki dan
wanita, merupakan suatu kezaliman, kerana secara fitrahnya tubuh badan antara
lelaki dan wanita berbeza. Begitu juga dengan perjuangan ‘persamaan kekuatan
fizikal antara lelaki dan wanita’, juga merupakan suatu kezaliman, kerana
secara semulajadinya kekuatan fizikal kedua-duanya adalah berbeza.
Begitu
juga dengan sebahagian daripada hak-hak dan tanggungjawab yang sepatutnya
berbeza, antara lelaki dan wanita disebabkan oleh fitrah yang berbeza diantara
kedua-duanya.
Dalam
pembahagian hak, Islam menekankan perbezaan hak antara suatu golongan dengan
golongan yang lain semata-mata berdasarkan kepada tanggungjawab dan usaha
mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa, ada diantara hak-hak dalam Islam,
yang ada pada lelaki, namun tidak ada pada wanita seperti hak memimpin sebuah
keluarga, hak memimpin demi kemaslahatan umum, hak melafazkan cerai, hak
mengimamkan solat jemaah yang disertai kaum lelaki dan wanita, hak berpoligami
dan sebagainya.
Sesetengah
golongan wanita (feminis) menganggap hak-hak tersebut merupakan kelebihan bagi
golongan lelaki, yang tidak ada pada wanita. Mereka dengan cepat memberontak
dan melatah sambil menyeru agar hak-hak tersebut dikaji semula.
Kekeliruan
mereka dalam masalah ini ialah, mereka gagal memahami akan hakikat sebenar di
sebalik hak seseorang manusia. Hak-hak yang Allah s.w.t. berikan kepada
golongan lelaki yang tidak ada pada golongan wanita, pada hakikatnya bukanlah
suatu kelebihan yang melebihkan taraf kaum lelaki daripada kaum wanita, tetapi
hak-hak tersebut merupakan amanah dan tanggungjawab yang dibebankan ke atas
kaum lelaki dan diringankan daripada kaum wanita.
Contohnya,
hak kepimpinan bererti, seseorang itu perlu mentadbir masyarakat agar sentiasa
dalam keamanan dan menjaga kemaslahatan rakyatnya. Tanggungjawab ini
diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada kaum lelaki kerana kemampuan fizikal dan
mental kaum lelaki dalam bidang tersebut, dan akan di soal oleh Allah s.w.t.
mengenainya.
Hak
berpoligami bagi lelaki yang mampu, merupakan amanah bagi lelaki tersebut untuk
membela kaum wanita, samada yang janda mahupun yang masih belum berkahwin. Ini
kerana, realitinya, bilangan kaum wanita lebih ramai daripada lelaki, maka bagi
lelaki yang mampu berpoligami, dan ingin berpoligami, maka dia sebenarnya
memikul amanah yang lebih besar, dalam membela kaum wanita itu sendiri.
Jika
dinilai dari sudut yang lain, andaikata hak-hak yang ada pada lelaki namun
tidak ada pada perempuan dianggap sebagai kelebihan bagi kaum lelaki, bagaimana
pula dengan hak-hak yang ada pada kaum wanita namun tidak ada pada kaum lelaki.
Contohnya seperti hak mendapatkan mahar perkahwinan, hak mendapat nafkah
daripada suami dan sebagainya. Ia juga merupakan kelebihan yang ada pada kaum
wanita namun tidak ada pada kaum lelaki.
Maka,
sekiranya hak-hak yang ada pada lelaki, namun tidak ada pada perempuan dianggap
sebagai kelebihan bagi kaum lelaki, maka hak-hak yang ada pada perempuan namun
tidak ada pada lelaki juga dianggap sebagai kelebihan bagi kaum wanita. Maka,
jelaslah bahawa, bagi kaum lelaki, kelebihan yang sesuai dengan
tanggungjawabnya dan bagi wanita juga, kelebihan yang sesuai dengan
tanggungjawabnya.
Kemungkinan,
kaum lelaki lebih memahami konsep “hak dan kelebihan bersesuaian dengan usaha
dan tanggungjawab seseorang”. Kerana itulah, tidak timbul golongan musculinisme yang
ingin memperjuangkan persamaan di antara lelaki dan wanita. Padahal, kelebihan
kaum wanita berbanding kaum lelaki dalam Islam juga amat banyak. Contohnya,
pahala haji mabrur atau ketaatan kepada suami bagi kaum wanita bersamaan dengan
pahala jihad kaum lelaki, kelebihan seseorang ibu berbanding seseorang ayah
bagi si anaknya, kelebihan Surah An-Nisa’ (Surah Wanita) di dalam
Al-Qur’an, kelebihan syurga di bawah tapak kaki ibu dan sebagainya.
Kecelaruan
dan kekeliruan kaum faminis juga disebabkan mereka tidak memahami konsep
tersebut (hak seiringan dengan tanggungjawab). Maka, oleh kerana itulah,
golongan tersebut memperjuangkan persamaan hak semata-mata. Mengapa mereka
tidak menuntut persamaan tanggungjawab dengan kaum lelaki, padahal dalam Islam,
tanggungjawab juga berbeza di antara lelaki dan perempuan, sesuai dengan fitrah
dan kemampuan mereka? Golongan feminis sibuk menuntut: “apa yang patut kami
dapat” tetapi tidak pula membincangkan “apa yang patut kami buat”!
Kesimpulannya,
perbezaan hak dan tanggungjawab di antara lelaki dan wanita, kanak-kanak dan
orang dewasa, dan sebagainya merupakan bukti keadilan agama Islam, kerana ianya
sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka. Oleh kerana itu juga, terdapat
perbezaan hak dan tanggungjawab bagi kanak-kanak dan orang dewasa di mana
kanak-kanak yang belum baligh tidak mempunyai hak memiliki harta mahupun
membelanjakan harta sesuai dengan ceteknya pemikiran mereka. Begitu juga,
mereka tidak wajib mendirikan solat kerana kurang dari sudut kemampuan fizikal
mereka.
Jelaslah,
keadilan Islam merupakan suatu konsep yang paling sempurna dalam mengatur
kehidupan manusia samada secara individu mahupun kehidupan secara
bermasyarakat.
Barat
dan Hak Asasi Manusia
Dewasa
ini, isu hak asasi manusia sememangnya lantang dilaungkan oleh dunia Barat.
Namun, mereka umpama tin kosong yang kuat bunyinya, namun tiada apa-apa
didalamnya, sekadar lebih bunyi dari isi. Dalam perbincangan-perbincangan yang
lalu, telah dinyatakan pelbagai bentuk kezaliman-kezaliman dan pencabulan hak
asasi manusia yang dilakukan oleh Barat, samada ke atas masyarakat Barat
sendiri atau kezaliman terhadap masyarakat antarabangsa.
Jika
ditinjau dari sudut dalaman tamadun Barat itu sendiri, masyarakat yang kononnya
melaungkan hak asasi manusia itu sendiri (iaitu masyarakat Barat), hidup dalam
sebuah masyarakat yang penuh pencabulan terhadap hak-hak asasi manusia.
Bukankah kebanyakkan daripada negara-negara Barat mencatatkan kadar jenayah
yang paling tinggi di dunia pada setiap tahun? Bukankah jenayah-jenayah
tersebut merupakan siri pencabulan hak asasi manusia dalam sesebuah masyarakat?
Dunia
Barat merupakan dunia sebuah masyarakat yang memperjuangkan hak asasi manusia
dalam perlembagaan semata-mata, tidak dalam perlaksanaan. Mereka melaungkan hak
asasi manusia dalam kertas-kertas dan penulisan-penulisan, namun tidak dalam
masyarakat. Mereka hanya bercakap mengenai hak asasi manusia, namun kadar
jenayah semakin membimbangkan.
Begitu
juga dengan dasar-dasar lain yang jelas mencabuli hak asasi manusia samada
dalam negara, seperti isu pengharaman tudung bagi wanita Islam di sekolah,
mahupun isu luar negara seperti penderaan tahanan di penjara Abu Gharib dan
tindakan ketenteraan ke atas Iraq dan Afghanistan.
Jadi,
bilakah masyarakat Barat pernah menghormati dan memperjuangkan hak asasi
manusia? Mengapa kini sibuk diperkatakan mengenai hak asasi manusia padahal
mereka sendiri gagal mempraktikkannya?
Jawapannya
mudah. Masyarakat Barat tidak pernah berjaya melaksanakan pembelaan terhadap
hak-hak asasi manusia sehingga hari ini, dengan sempurna, walaupun ada kemajuan
dari beberapa sudut.
Mengapa
baru kini masyarakat Barat sibuk memperkatakan tentang hak asasi manusia?
Ini
kerana, latar belakang pembangunan tamadun Barat adalah berkonsepkan
diskriminasi dan penindasan hak asasi manusia khususnya terhadap kaum wanita.
Menurut
buku Encarta Encyclopedia disebutkan:
“Pada
awal abad ke-19, kebanyakkan isteri di Eropah dan Amerika tidak mempunyai hak
di sisi undang-undang. Status ini dikenali sebagai ‘coverture’. Wanita tidak
berhak untuk membawa kesnya ke mahkamah, tidak boleh menjadi juri, tidak boleh
memiliki harta dan tidak boleh menulis wasiat. Dalam kes yang melibatkan penjagaan
anak, mahkamah akan terus memberikan hak penjagaan itu kepada kaum bapa”1
Pada
masa yang sama, umat Islam telahpun (sejak Islam diturunkan lagi), memelihara
hak kaum wanita dan membela kemaslahatan mereka. Hal ini turut mempengaruhi
paradigma masyarakat Barat yang akhirnya cuba untuk memecahkan penindasan
terhadap kaum wanita tersebut.
Setelah
berlakunya pelbagai perdebatan hangat mengenai wanita di Britain, akta Married
Women’s Property Act digubal pada tahun 1870, 1882 dan 1887, di mana
wanita yang sudah berkahwin akhirnya diberikan hak memiliki harta.2
Hakikat
disebalik realiti tersebut ialah, masyarakat Barat sememangnya terkesan dengan
keadilan yang diajar oleh Islam. Namun, mereka cuba memperjuangkan nilai yang
sama (iaitu nilai keadilan), dengan acuan yang berbeza daripada Islam. Ini
bertujuan agar mereka dapat mendahului Islam dan umatnya dalam mempraktikkan
dan memperjuangkan hak asasi manusia. Namun, mereka bak meniup udara ke dalam
belon melebihi muatannya, dan akhirnya meletup, gara-gara cuba untuk melebihi
belon yang ditiup oleh Islam dengan isipadu udara yang tepat dan sesuai dengan
fitrah belon tersebut!
Walaupun
kini Barat kelihatan mendahului negara-negara lain dalam memperkatakan mengenai
isu hak asasi manusia, dalam masa yang sama juga, Barat mendahului
negara-negara lain dalam mencabuli hak asasi manusia dengan kadar jenayah yang
paling tinggi di dunia.
Kesilapan
besar masyarakat Barat dalam usaha untuk melaksanakan keadilan dan
memperjuangkan hak asasi manusia ialah, mereka cuba mengukur keadilan dan hak
asasi manusia dengan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa berpandukan kepada
sebarang petunjuk daripada Tuhan yang menciptakan mereka.
Mereka
hanya menilai sesuatu berdasarkan kepada logik pemikiran dan pengalaman mereka
semata-mata tanpa berpandukan pedoman wahyu. Ini kerana, asas tamadun mereka
ialah Sekularisme dan Athiesme, yang menafikan ajaran agama dalam pelbagai
bidang kehidupan dan bersifat sebagai anti-agama.
Akhirnya,
tanpa sebarang petunjuk daripada Tuhan yang Maha Mengetahui kemaslahatan
mereka, mereka akhirnya tercari-cari erti kemaslahatan sendiri sambil
mengemukakan pelbagai pengertian yang berbeza dan saling bertentangan.
Nota
kaki:
1 Dr.
Danial Zainal Abidin, Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden (Edisi Kedua), PTS
Publication & Distributors Sdn. Bhd, Bentong, 2003, m/s 77-78
2 Ibid,
m/s78
Kredit
kpd:
Raja
Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Fakulti
Usuluddin, Institut Pengajian Ar-Razi, Pulau Pinang
(Ringkasan
Nukilan dari tesis penulis yang faqir, dalam Mata Pelajaran Tayyaar
Fikriyyah di Institut Pengajian Ar-Razi, bertajuk: Dialog Ketamadunan
Antara Tamadun Islam dan Tamadun Barat, Bab 5: Hak Asasi Manusia: Topeng Barat,
fasal: Hak Asasi Manusia: Islam vs Barat (2005) )