Monday, December 20, 2021

HAK ASASI MANUSIA ISLAM DAN BARAT

 HAK ASASI MANUSIA: PERSPEKTIF BARAT DAN ISLAM

Isu hak asasi manusia bukanlah satu isu yang baru. Ianya telah lama diperkatakan. Tetapi, isu hak asasi manusia ini sering diulang-ulang dan diberi spekulasi yang meluas mengenainya. Isu hak asasi manusia berkait rapat dengan isu keadilan, bahkan hak asasi manusia hanyalah satu juzuk daripada isu keadilan.

  

Hak asasi manusia sering diperkatakan kerana berlakunya penindasan, kezaliman, dan diskriminasi di dalam sesebuah masyarakat. Isu hak asasi manusia pada hakikatnya terlebih dahulu dilaungkan oleh Islam, sejak 1400 tahun yang lalu, sejajar dengan laungan ke arah keadilan yang dibawa oleh Islam. Pada ketika itu, masyarakat Barat sendiri tidak mengenali isu hak asasi manusia, dan hidup di dalam penindasan dan kezaliman.

 

Namun, pada masa kini, dunia Barat sekali lagi mempromosikan agenda hak asasi manusia dan berlagak seperti penegak hak asasi manusia. Di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Barat yang memimpin pertubuhan tersebut seolah-olah menguasai usaha memartabatkan hak-hak asasi manusia pada peringkat antarabangsa, sedangkan umat Islam yang sudah lama memperjuangkan hak-hak asasi manusia, di anggap sebagai penuntut yang baru mengenali apa itu hak asasi manusia dan mereka (Barat) sebagai gurunya.

 

Apa yang pasti, Barat sendiri tidak melaksanakan agenda hak asasi manusia bahkan mencabuli hak asasi manusia, seperti yang dibincangkan di awal perbahasan dalam bab ini. Walaupun mereka telah bersepakat mengenai Deklerasi Hak Asasi Manusia atau Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR), namun isu-isu seperti ketenteraan di Iraq, Afghanistan, dasar diskriminasi di Palestin, dasar campur tangan dalam politik di negara-negara membangun dan mundur, isu pengharaman tudung di sekolah dan di tempat-tempat perkhidmatan awam, dan sebagainya, jelas membuktikan Barat belum bersedia untuk membela dan menghormati hak asasi manusia.

 

Hak Asasi Manusia dalam Islam

Islam bercakap tentang hak asasi manusia sejak 1400 tahun yang lalu, sejajar dengan konsep tanggungjawab. Maka, Islam menegaskan bahawa, manusia sememangnya mempunyai hak dan tanggungjawab. Dalam Islam pula, hak seseorang sejajar dengan tanggungjawab yang dipikulnya.

 

Hak-hak manusia ada dua jenis. Pertama, hak-hak yang dikongi bersama. Kedua, hak yang berbeza antara manusia.

 

Hak-hak yang dikongsi bersama merupakan hak-hak yang ada pada setiap manusia, tanpa membezakan antara Islam dan bukan Islam, antara lelaki dan perempuan, antara muda dan tua, dan sebagainya. Inilah yang dipanggil sebagai hak asasi manusia.

 

Ada 5 hak-hak asasi manusia yang umum, dalam Islam:

1.      Pertama: kebebasan beragama.

2.      Kedua: pemeliharaan jiwa.

3.      Ketiga: pemeliharaan akal

4.      Keempat: pemeliharaan maruah dan keturunan.

5.      Kelima: pemilikan dan pemeliharaan harta benda.

 

Kelima-lima prinsip hak asasi manusia ini merupakan prinsip-prinsip asas yang akhirnya melahirkan pecahan-pecahan kecil seperti yang termaktub di dalam Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia. Kesemuanya tidak lari daripada kelima-lima prinsip tersebut.

 

Contohnya, hak kebebasan hidup termasuk dalam pemeliharaan jiwa. Hak untuk bekerja, dan sebagainya adalah termasuk dalam pemeliharaan harta banda. Hak kebebasan pendidikan termasuk dalam pemeliharaan akal, maruah, pemeliharaan jiwa dan harta benda.

 

Kelima-lima hak tersebut berkait rapat dengan tanggungjawab seseorang manusia di muka bumi ini. Tanggungjawab juga terbahagi kepada dua jenis, iaitu tanggungjawab utama, dan tanggungjawab sekunder.

 

Tanggungjawab yang utama, merupakan tanggungjawab bersama seluruh manusia tanpa ada perbezaan antara sesama manusia, sedangkan tanggungjawab sekunder, merupakan tanggungjawab yang terdapat perbezaan antara satu sama lain.

 

Tanngungjawab yang utama bagi seseorang manusia adalah:

Pertama: mengabdi diri kepada Allah s.w.t. dan mengesakan-Nya.

Kedua: menjadi khalifah Allah s.w.t. dan memakmurkan bumi ini dengan kebaikan.

 

Maka, selain daripada hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab asasi bagi manusia, ada juga hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab yang berbeza antara satu sama lain.

 

Hak-hak dan tanggungjawab tersebut berbeza antara manusia. Contohnya, ada hak-hak dan tanggungjawab untuk orang Islam dan ada yang bukan untuk orang Islam. Ianya jelas berbeza. Hak seorang muslim misalnya, perlu disolatkan jika dia meninggal. Hak tersebut tidak ada pada seorang bukan Islam. Begitu juga dengan tanggungjawab, seorang muslim bertanggungjawab untuk mendirikan solat, sedangkan orang bukan Islam tidak wajib untuk menunaikan solat kerana syarat wajib untuk menunaikan solat diantaranya ialah Islam.

 

Ada juga hak-hak dan tanggungjawab yang berbeza antara lelaki dan perempuan dalam Islam. Contohnya, lelaki berhak untuk melafazkan talak, sedangkan perempuan tidak. Dalam contoh yang lain, perempuan berhak menerima mahar sebagai tanda penghormatan daripada suaminya, sedangkan lelaki tidak berhak untuk mendapatkan mahar perkahwinan daripada isterinya. Tanggungjawab juga berbeza, sepertimana lelaki bertanggungjawab mencari nafkah kepada keluarganya sedangkan perempuan tidak. Sebagai balasan, perempuan wajib mentaati suaminya dalam setiap suruhannya selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah s.w.t.

 

Ada di kalangan orang Islam yang jahil dengan konsep keadilan yang sebenar, dan terpengaruh dengan kefahaman Barat, menentang sebahagian daripada ajaran-ajaran Islam yang dianggap sebagai tidak adil (atau tidak sama rata).

 

Golongan yang terbabit selalunya adalah golongan wanita Islam yang mendapat pendidikan daripada Barat. Hasilnya, ukuran keadilan dan hak asasi manusia yang mereka gunakan ialah ukuran Barat yang sesat. Kerana itulah, lahirnya golongan Faminis Islam, yang memperjuangkan persamaan hak di antara lelaki dan perempuan.

 

Adakah mereka tidak membaca ayat Al-Qur’an yang bermaksud: “dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak (kurnia) daripada sebahagian yang lain, sesungguhnya bagi kaum lelaki itu, ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, adan bagi kaum wanita juga, ada bahagian yang diperolehi daripada apa yang mereka usahakan…” (Surah An-Nisa’: 32)

 

Bukankah telah jelas bahawa, bagi seseorang lelaki itu, apa yang dikerjakan dan bagi seseorang perempuan itu, apa yang dikerjakan? Bukankah telah kita katakan dahulu bahawa, hak-hak seseorang itu bersesuaian dengan tanggungjawab yang dipikulnya. Seseorang rakyat tidak sama haknya dengan seorang pemimpin, yang berhak untuk ditaati selama mana ia bukan maksiat. Hak tersebut layak bagi pemimpin bersesuaian dengan tanggungjawabnya yang berat untuk memimpin masyarakat.

 

Sebahagian daripada golongan faminis ini terkeliru dengan pelbagai kekeliruan yang dipetik daripada pohon pemikiran masyarakat Barat.

 

Kekeliruan yang paling asas, yang menyebabkan mereka memperjuangkan faminisme ialah, mereka keliru apa itu persamaan taraf dan persamaan hak. Golongan faminis Barat sememangnya memperjuangkan persamaan taraf, kerana di Barat pada masa dahulu, mendiskriminasi kaum wanita dan merendahkan martabat mereka (akan dibincangkan selepas ini, InsyaAllah).

 

Namun, dalam Islam, tidak ada perbezaan taraf antara lelaki dan perempuan. Semua anak Adam sama di sisi Islam. Apa yang membezakan manusia di sisi Allah ialah takwa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Kami jadikan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan jadikan pula kamu berpuak-puak dan berkaum-kaum, untuk kamu saling kenal mengenali, dan sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa di kalangan kamu…” (Surah Hujurat: 13)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Maka Allah memperkenankan permohonan mereka (dengan berfirman): Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amalan orang yang beramal soleh dikalangan kamu, baik lelaki ataupun perempuan…” (Surah Ali-Imran: 195)

Jelaslah bahawa, Islam sememangnya sebuah agama yang meletakkan konsep persamaan taraf antara lelaki dan perempuan. Islam juga memuliakan wanita melebihi agama-agama lain. Maka, golongan faminis Islam sepatutnya tidak wujud. Mereka yang memperjuangkan faminisme dalam Islam seolah-olah bercakap mengenai suatu agama Islam yang lain, yang hanya wujud dalam dimensi imaginasi mereka semata-mata, kerana Islam yang wujud dalam realiti ialah Islam yang memperjuangkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan. Jika mereka memperjuangkan persamaan taraf, sememangnya mereka perlu memperjuangkan Islam, bukan feminisme.

 

Kekeliruan yang turut mempengaruhi seseorang wanita Islam memperjuangkan faminisme dalam berhadapan dengan Islam ialah, mereka mengambil pengertian keadilan daripada Barat. Mereka memperjuangkan persamaan hak kerana mereka menganggap keadilan bererti persamaan. Maka, persamaan hak adalah keadilan.

 

Ini adalah sebuah kesesatan yang nyata. Persamaan bukanlah ukuran bagi sesuatu keadilan. Persamaan hanyalah satu juzuk daripada keadilan. Namun, memperjuangkan persamaan dalam sesetengah aspek yang sememangnya berbeza, merupakan sesuatu kezaliman!

 

Contohnya, memperjuangkan persamaan sifat anggota dan tubuh badan antara lelaki dan wanita, merupakan suatu kezaliman, kerana secara fitrahnya tubuh badan antara lelaki dan wanita berbeza. Begitu juga dengan perjuangan ‘persamaan kekuatan fizikal antara lelaki dan wanita’, juga merupakan suatu kezaliman, kerana secara semulajadinya kekuatan fizikal kedua-duanya adalah berbeza.

 

Begitu juga dengan sebahagian daripada hak-hak dan tanggungjawab yang sepatutnya berbeza, antara lelaki dan wanita disebabkan oleh fitrah yang berbeza diantara kedua-duanya.

 

Dalam pembahagian hak, Islam menekankan perbezaan hak antara suatu golongan dengan golongan yang lain semata-mata berdasarkan kepada tanggungjawab dan usaha mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa, ada diantara hak-hak dalam Islam, yang ada pada lelaki, namun tidak ada pada wanita seperti hak memimpin sebuah keluarga, hak memimpin demi kemaslahatan umum, hak melafazkan cerai, hak mengimamkan solat jemaah yang disertai kaum lelaki dan wanita, hak berpoligami dan sebagainya.

 

Sesetengah golongan wanita (feminis) menganggap hak-hak tersebut merupakan kelebihan bagi golongan lelaki, yang tidak ada pada wanita. Mereka dengan cepat memberontak dan melatah sambil menyeru agar hak-hak tersebut dikaji semula.

 

Kekeliruan mereka dalam masalah ini ialah, mereka gagal memahami akan hakikat sebenar di sebalik hak seseorang manusia. Hak-hak yang Allah s.w.t. berikan kepada golongan lelaki yang tidak ada pada golongan wanita, pada hakikatnya bukanlah suatu kelebihan yang melebihkan taraf kaum lelaki daripada kaum wanita, tetapi hak-hak tersebut merupakan amanah dan tanggungjawab yang dibebankan ke atas kaum lelaki dan diringankan daripada kaum wanita.

 

Contohnya, hak kepimpinan bererti, seseorang itu perlu mentadbir masyarakat agar sentiasa dalam keamanan dan menjaga kemaslahatan rakyatnya. Tanggungjawab ini diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada kaum lelaki kerana kemampuan fizikal dan mental kaum lelaki dalam bidang tersebut, dan akan di soal oleh Allah s.w.t. mengenainya.

 

Hak berpoligami bagi lelaki yang mampu, merupakan amanah bagi lelaki tersebut untuk membela kaum wanita, samada yang janda mahupun yang masih belum berkahwin. Ini kerana, realitinya, bilangan kaum wanita lebih ramai daripada lelaki, maka bagi lelaki yang mampu berpoligami, dan ingin berpoligami, maka dia sebenarnya memikul amanah yang lebih besar, dalam membela kaum wanita itu sendiri.

 

Jika dinilai dari sudut yang lain, andaikata hak-hak yang ada pada lelaki namun tidak ada pada perempuan dianggap sebagai kelebihan bagi kaum lelaki, bagaimana pula dengan hak-hak yang ada pada kaum wanita namun tidak ada pada kaum lelaki. Contohnya seperti hak mendapatkan mahar perkahwinan, hak mendapat nafkah daripada suami dan sebagainya. Ia juga merupakan kelebihan yang ada pada kaum wanita namun tidak ada pada kaum lelaki.

 

Maka, sekiranya hak-hak yang ada pada lelaki, namun tidak ada pada perempuan dianggap sebagai kelebihan bagi kaum lelaki, maka hak-hak yang ada pada perempuan namun tidak ada pada lelaki juga dianggap sebagai kelebihan bagi kaum wanita. Maka, jelaslah bahawa, bagi kaum lelaki, kelebihan yang sesuai dengan tanggungjawabnya dan bagi wanita juga, kelebihan yang sesuai dengan tanggungjawabnya.

 

Kemungkinan, kaum lelaki lebih memahami konsep “hak dan kelebihan bersesuaian dengan usaha dan tanggungjawab seseorang”. Kerana itulah, tidak timbul golongan musculinisme yang ingin memperjuangkan persamaan di antara lelaki dan wanita. Padahal, kelebihan kaum wanita berbanding kaum lelaki dalam Islam juga amat banyak. Contohnya, pahala haji mabrur atau ketaatan kepada suami bagi kaum wanita bersamaan dengan pahala jihad kaum lelaki, kelebihan seseorang ibu berbanding seseorang ayah bagi si anaknya, kelebihan Surah An-Nisa’ (Surah Wanita) di dalam Al-Qur’an, kelebihan syurga di bawah tapak kaki ibu dan sebagainya.

 

Kecelaruan dan kekeliruan kaum faminis juga disebabkan mereka tidak memahami konsep tersebut (hak seiringan dengan tanggungjawab). Maka, oleh kerana itulah, golongan tersebut memperjuangkan persamaan hak semata-mata. Mengapa mereka tidak menuntut persamaan tanggungjawab dengan kaum lelaki, padahal dalam Islam, tanggungjawab juga berbeza di antara lelaki dan perempuan, sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka? Golongan feminis sibuk menuntut: “apa yang patut kami dapat” tetapi tidak pula membincangkan “apa yang patut kami buat”!

 

Kesimpulannya, perbezaan hak dan tanggungjawab di antara lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang dewasa, dan sebagainya merupakan bukti keadilan agama Islam, kerana ianya sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka. Oleh kerana itu juga, terdapat perbezaan hak dan tanggungjawab bagi kanak-kanak dan orang dewasa di mana kanak-kanak yang belum baligh tidak mempunyai hak memiliki harta mahupun membelanjakan harta sesuai dengan ceteknya pemikiran mereka. Begitu juga, mereka tidak wajib mendirikan solat kerana kurang dari sudut kemampuan fizikal mereka.

 

Jelaslah, keadilan Islam merupakan suatu konsep yang paling sempurna dalam mengatur kehidupan manusia samada secara individu mahupun kehidupan secara bermasyarakat.

 

Barat dan Hak Asasi Manusia

 

Dewasa ini, isu hak asasi manusia sememangnya lantang dilaungkan oleh dunia Barat. Namun, mereka umpama tin kosong yang kuat bunyinya, namun tiada apa-apa didalamnya, sekadar lebih bunyi dari isi. Dalam perbincangan-perbincangan yang lalu, telah dinyatakan pelbagai bentuk kezaliman-kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Barat, samada ke atas masyarakat Barat sendiri atau kezaliman terhadap masyarakat antarabangsa.

 

Jika ditinjau dari sudut dalaman tamadun Barat itu sendiri, masyarakat yang kononnya melaungkan hak asasi manusia itu sendiri (iaitu masyarakat Barat), hidup dalam sebuah masyarakat yang penuh pencabulan terhadap hak-hak asasi manusia. Bukankah kebanyakkan daripada negara-negara Barat mencatatkan kadar jenayah yang paling tinggi di dunia pada setiap tahun? Bukankah jenayah-jenayah tersebut merupakan siri pencabulan hak asasi manusia dalam sesebuah masyarakat?

 

Dunia Barat merupakan dunia sebuah masyarakat yang memperjuangkan hak asasi manusia dalam perlembagaan semata-mata, tidak dalam perlaksanaan. Mereka melaungkan hak asasi manusia dalam kertas-kertas dan penulisan-penulisan, namun tidak dalam masyarakat. Mereka hanya bercakap mengenai hak asasi manusia, namun kadar jenayah semakin membimbangkan.

 

Begitu juga dengan dasar-dasar lain yang jelas mencabuli hak asasi manusia samada dalam negara, seperti isu pengharaman tudung bagi wanita Islam di sekolah, mahupun isu luar negara seperti penderaan tahanan di penjara Abu Gharib dan tindakan ketenteraan ke atas Iraq dan Afghanistan. 

 

Jadi, bilakah masyarakat Barat pernah menghormati dan memperjuangkan hak asasi manusia? Mengapa kini sibuk diperkatakan mengenai hak asasi manusia padahal mereka sendiri gagal mempraktikkannya?

 

Jawapannya mudah. Masyarakat Barat tidak pernah berjaya melaksanakan pembelaan terhadap hak-hak asasi manusia sehingga hari ini, dengan sempurna, walaupun ada kemajuan dari beberapa sudut.

 

Mengapa baru kini masyarakat Barat sibuk memperkatakan tentang hak asasi manusia?

 

Ini kerana, latar belakang pembangunan tamadun Barat adalah berkonsepkan diskriminasi dan penindasan hak asasi manusia khususnya terhadap kaum wanita.

 

Menurut buku Encarta Encyclopedia disebutkan:

“Pada awal abad ke-19, kebanyakkan isteri di Eropah dan Amerika tidak mempunyai hak di sisi undang-undang. Status ini dikenali sebagai ‘coverture’. Wanita tidak berhak untuk membawa kesnya ke mahkamah, tidak boleh menjadi juri, tidak boleh memiliki harta dan tidak boleh menulis wasiat. Dalam kes yang melibatkan penjagaan anak, mahkamah akan terus memberikan hak penjagaan itu kepada kaum bapa”1 

Pada masa yang sama, umat Islam telahpun (sejak Islam diturunkan lagi), memelihara hak kaum wanita dan membela kemaslahatan mereka. Hal ini turut mempengaruhi paradigma masyarakat Barat yang akhirnya cuba untuk memecahkan penindasan terhadap kaum wanita tersebut.

 

Setelah berlakunya pelbagai perdebatan hangat mengenai wanita di Britain, akta Married Women’s Property Act digubal pada tahun 1870, 1882 dan 1887, di mana wanita yang sudah berkahwin akhirnya diberikan hak memiliki harta.2

 

Hakikat disebalik realiti tersebut ialah, masyarakat Barat sememangnya terkesan dengan keadilan yang diajar oleh Islam. Namun, mereka cuba memperjuangkan nilai yang sama (iaitu nilai keadilan), dengan acuan yang berbeza daripada Islam. Ini bertujuan agar mereka dapat mendahului Islam dan umatnya dalam mempraktikkan dan memperjuangkan hak asasi manusia. Namun, mereka bak meniup udara ke dalam belon melebihi muatannya, dan akhirnya meletup, gara-gara cuba untuk melebihi belon yang ditiup oleh Islam dengan isipadu udara yang tepat dan sesuai dengan fitrah belon tersebut!

 

Walaupun kini Barat kelihatan mendahului negara-negara lain dalam memperkatakan mengenai isu hak asasi manusia, dalam masa yang sama juga, Barat mendahului negara-negara lain dalam mencabuli hak asasi manusia dengan kadar jenayah yang paling tinggi di dunia.

 

Kesilapan besar masyarakat Barat dalam usaha untuk melaksanakan keadilan dan memperjuangkan hak asasi manusia ialah, mereka cuba mengukur keadilan dan hak asasi manusia dengan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa berpandukan kepada sebarang petunjuk daripada Tuhan yang menciptakan mereka.

 

Mereka hanya menilai sesuatu berdasarkan kepada logik pemikiran dan pengalaman mereka semata-mata tanpa berpandukan pedoman wahyu. Ini kerana, asas tamadun mereka ialah Sekularisme dan Athiesme, yang menafikan ajaran agama dalam pelbagai bidang kehidupan dan bersifat sebagai anti-agama.

 

Akhirnya, tanpa sebarang petunjuk daripada Tuhan yang Maha Mengetahui kemaslahatan mereka, mereka akhirnya tercari-cari erti kemaslahatan sendiri sambil mengemukakan pelbagai pengertian yang berbeza dan saling bertentangan.

 

Nota kaki:

1 Dr. Danial Zainal Abidin, Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden (Edisi Kedua), PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd, Bentong, 2003, m/s 77-78

2 Ibid, m/s78

 

Kredit kpd:

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Fakulti Usuluddin, Institut Pengajian Ar-Razi, Pulau Pinang

(Ringkasan Nukilan dari tesis penulis yang faqir, dalam Mata Pelajaran Tayyaar Fikriyyah di Institut Pengajian Ar-Razi, bertajuk: Dialog Ketamadunan Antara Tamadun Islam dan Tamadun Barat, Bab 5: Hak Asasi Manusia: Topeng Barat, fasal: Hak Asasi Manusia: Islam vs Barat  (2005) )

No comments:

Like TITAS

Followers

Subhanallah!

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan