Monday, December 6, 2010

Siddhartha Gautama Buddha (Pengasas Agama Buddha)

 Nama sebenar Gautama Buddha ialah Putera Siddhartha. Dia merupakan pelopor agama Buddha yang merupakan salah satu agama terbesar di dunia. Sidhhartha dilahirkan pada tahun 563 SM di Taman Lumbini yang kini sebahagian dari Nepal. Gautama adalah seorang putera raja. Gautama dibesarkan di istana sebagai seorang yang beragama Hindu. Baginda berkahwin dengan sepupunya Yasodhra dan hidup dalam penuh kemewahan dan kebahgiaan. Tetapi baginda tidak berasa gembira dengan kehidupan mewah itu.

Semasa berusia 29 tahun, Gautama menyaksikan kelaparan, kesakitan dan kematian. Baginda terharu menyaksikan keadaan hidup manusia itu. Baginda ingin tahu mengapa manusia menderita dan ingin mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah itu. Gautama telah meninggalkan keluarganya dengan memakai jubah kuning seperti seorang petapa dan mengembara untuk mencari jawapan tentang erti hidup yang sebenarnya. Baginda telah mengkaji kitab suci Hindu iaitu Veda dan Upanishad. Beliau juga telah bertapa beberpa hari dengan berpuasa hingga hampir kebuluran dan menanggung penderitaan. 

Namun demikian baginda tidak dapat mencari kebenaran kepada penderitaan manusia. Baginda akhirnya berjaya mendapat kebenaran atau pencerahan agung yang dicarinya setelah bertapa selama 45 hari di bawah pokok Bo di Boghgaya, berhampiran dengan Banares. Pada suatu malam purnama, Gautama telah menerima pengetahuan daripada tuhan dan mengetahui jawapan bagi masalah kehidupan dan kematian manusia. Hari ini dikenali sebagai Hari Wesak. Mulai hari itu, baginda digelar Buddha yang bermakna Penyinar Cahaya. 

Buddha kemudian mengembara ke seluruh India untuk menyebarkan ajarannya. Buddha mengasaskan satu pertubuhan sama bernama Sangha. Sami-sami yang memasuki Sagha mencukur rambut dan memakai jubah kuning yang menandakan mereka telah bebas daripada segala hal duniawi. Selepas mengembangkan ajaran-ajaran selama 45 tahun, Buddha meninggal dunia pada tahun 483 SM semasa berusia 80 tahun.


AJARAN-AJARAN BUDDHA

Ajaran-ajaran Buddha dijadikan sebagai agama dan dibukukan dalam Bahasa Pali oleh pengikut-pengikutnya yang setia. Empat Kebenaran Mulia yang didapati di bawah Pokok Bo menjadi asas agama Buddha. 

Empat Kebenaran Mulia merangkumi perkara berikut: 

a. Hidup ini penuh dengan kesengsaraan dan penderitaan, iaitu semua yang hidup harus menghadapi umur tua, penyakit dan mati. 

b. Manusia menderita kerana nafsu untuk memperolehi kekayaan dan keseronokan untuk keselesaan hidup. 

c. Manusia patut menghapuskan nafsunya untuk melepaskan diri daripada kesengsaraan. 

 d. Cara untuk menghapuskan kesengsaraan dan mengatasi nafsu ialah dengan mengikut Jalan Lapan Lapis. 

Jalan Lapan Lapis atau Jalan Pertengahan menjadikan seseorang mengawal fikiran dan membentuk tingkah laku yang baik. Jalan Lapan Lapis menjadi teladan bagi pengikut-pengikutnya. 

Hukum-hukum yang terkandung ialah, Pengetahuan Yang Baik, Pemikiran Yang Baik, Kelakuan Yang Baik, Kehidupan Yang Baik, Perkataan Yang Baik, Usaha Yang Baik dan Pertapaan Yang Baik. Jalan ini mencadangkan jalan tengah untuk mencapai hidup yang baik dengan mengamalkan jalan yang suci seperti yang berikut: 

a. Bersedekah 

b. Mencari ilmu pengetahuan dan kesucian 

c. Mengelakkan diri daripada membunuh, menipu, berzina dan mencuri. 

Selain itu agama Buddha juga menerima beberapa kepercayaan seperti Nirvana, kelahiran semula dan Karma daripada agama Hindu. Matlamat Buddha ialah pencapaian Nirvana, iaitu tahap kebahagiaan yang kekal dan tidak dilahirkan semula selepas beberapa kelahiran. 

Buddha juga menentang dua kepercayaan terutamanya kedudukan istimewa Brahmin dalam masyarakat. Ajaran asal Buddha dipanggil Hinayana. Ajaran ini diubahsuai dan dipindahkan menjadi Mahayana. Agama Buddha ini telah tersebar ke rantau Asia Tenggara, Asia Timur dan sebagainya. Menjelang abad ke-19, negara-negara yang menjadikannya agama rasmi ialah Thailand, Indho-China dan sebagainya. 


SIFAT AGUNG BUDDHA 

Buddha memiliki sifat Cinta Kasih ( maitri atau metta ) dan Kasih Sayang ( karuna ) yang diwujudkan oleh sabda Buddha Gautama iaitu ” Penderitaanmu adalah penderitaanku, dan kegembiraanmu adalah kegembiraanku”. 

Gautama mengatakan bahawa Manusia adalah pancaran dari semangat Cinta Kasih dan Kasih Sayang yang dapat menuntutnya kepada Pencerahan sempurna. Cinta Kasih dan Kasih Sayang seorang Buddha tidak terbatas oleh waktu malahan ianya selalu bersifat abadi. Ini kerana sejak dilahirkan manusia dalam keadaan samsara iaitu ketidakketahuan dan kebodohan batinnya. 

Jalan untuk mencapai menjadi seorang Buddha ialah dengan melenyapkan ketidakketahuan atau kebodohan batin yang dimiliki oleh manusia. Sebelum kematian Buddha Gautama, dia telah menyatakan empat perkara iaitu: 

a. Berusaha menolong semua makhluk.

b. Menolak semua keinginan nafsu keduniaan. 

c. Mempelajarai, menghayati dan mengamalkan Dharma. 

 d. Berusaha mencapai Pencerahan Sempurna.


Buddha Gautama melatih diri untuk melaksanakan amal kebajikan kepada semua makhluk dengan menghindarkan diri dari tindakan yang diakibatkan oleh tubuh, ucapan dan fikiran, iaitu: 

Tubuh (kaya) : pembunuhan, pencurian, perbuatan zina. 

 Ucapan ( vak ) : penipuan, pembicaraan fitnah, pengucapan kasar, percakapan tiada manfaat. 

Fikiran (citta ) : niat buruk, dan kepercayaan yang salah. 

Cinta kasih dan kasih sayang seorang Buddha adalah cinta kasih untuk kebahagiaan semua makhluk seperti orang tua mencintai anak-anaknya, dan mengharapkan keberkatan yang tinggi dan melimpah kepada mereka. Ianya bagaikan hujan yang turun tanpa membeza-bezakan demikianlah cinta kasih seorang Buddha. 

 Sebagai seorang Buddha yang abadi, Beliau telah mengenal semua orang dan dengan menggunakan berbagai cara. Beliau telah berusaha untuk meringankan penderitaan semua makhluk. Buddha Gautama mengetahui sepenuhnya hakikat dunia, namun Beliau tidak pernah mengatakan bahawa dunia ini asli atau palsu, baik atau buruk. Beliau hanya menunjukkan tentang keadaan dunia sebagaimana adanya. Buddha Gautama mengajarkan agar setiap orang memelihara kebijaksanaan melalui ucapan dan perbuatan. Buddha Gautama memelihara semangatnya yang selalu tenang dan tenteram dengan melakukan meditasi. 

Jangkauan pemikiran Buddha melampaui pemikiran manusia biasa. Dengan kebijaksanaan yang sempurna, Gauthama Buddha dapat menghindarkan diri dari sikap-sikap ekstrim dan prasangka serta memiliki kesederhanaan. Oleh itu beliau dapat mengetahui dan memahami fikiran dan perasaan semua orang malahan mengetahui apa yang terjadi dalam dunia dengan cepat, sehingga mendapatkan jolokan seorang yang telah Mencapai Pencerahan Sempurna (Sammasam-Buddha) dan Yang Maha Mengetahui (Sugata). 

 Pengabdian Gautama Buddha telah membuatkan dirinya mampu mengatasi berbagai masalah. Buddha adalah lambang dari kesucian, yang tersuci dari semua yang suci. Oleh itu Buddha adalah Raja Dharma yang agung. Namun ada juga orang yang tidak mahu mendengar ajarannya. Mereka yang mendengar dan mengikut ajarannya akan terbebas dari penderitaan hidup. Buddha Gautama berkata” Hanya dengan jalan melalui kepercayaan, keyakinan, mereka akan dapat mengikuti ajaranku. Kerana itu setiap orang mesti mendengar ajaranku, kemudian menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari”. 

Buddha tidak dapat diketahui dengan hanya melihat wujud sifatnya semata-mata, kerana wujud dan sifat luar tersebut bukanlah Buddha yang sejati. Jalan yang benar untuk mengetahui Buddha adalah dengan mencapai Pencerahan Sempurna. Buddha sejati tidak dapat dilihat oleh mata manusia biasa, sehingga Sifat Agung seorang Buddha tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata. 

Namun Buddha dapat mewujudkan dirinya dalam segala bentuk dengan sifat yang serba luhur. Apabila seseorang dapat melihat wujuddnya atau mengerti Sifat Agung Buddha, namun tidak tertarik kepada wujudnya atau sifatnya, dialah yang sesungguhnya telah mempunyai kebijaksanaan untuk melihat dan mengetahui Buddha dengan benar.


SISTEM KASTA 

 Semasa hidupnya Buddha pada kurun ke-6 S.M., sistem Kasta adalah suatu faktor hidup yang dominan dalam masyarakat. Buddha membantah bersungguh-sungguh terhadap sistem kasta kerana ia menghalang kemajuan manusia. Pada masa itu, menurut kepercayaan agama (orang Hindu), semua orang dibahagikan kepada empat kategori, misalannya 4 kasta atau kelas:-

a) Brahmin - Mereka ialah kelas paderi dan dipercayai memegang kunci ke syurga. Mereka dianggap dilahirkan daripada mulut Maha Brahma iaitu pencipta alam semesta ini. 

b) Khattiya - Kelas pemerintah. Mereka terdiri daripada kerabat-kerabat diraja. Mereka dipercayai dilahirkan daripada pusat Maha Brahma. 

c) Vaishyas - Mereka adalah peniaga-peniaga dan dipercayai dilahirkan daripada lutut Maha Brahma. 

d) Sudras - Mereka ialah hamba abdi atau orang suruhan kepada tiga kasta di atas. 

Mereka langsung tiada kebebasan dan dipercayai dilahirkan daripada kaki Maha Brahma. Dalam Buddhisme, kasta atau warna kulit tidak menghalang seseorang daripada menjadi seorang Buddhis ataupun memasuki Order Sangha. Buruh yang membersihkan jalan, nelayan, dan tukang gunting bersama-sama dengan Brahmin-Brahmin dan putera-putera raja, semuanya dilayani sama rata tanpa mengira asal-usul mereka.


KEBEBASAN BERFIKIR 

 Ramai orang suka mengatakan bahawa "kami ialah ahli fikir bebas (free-thinker) dan kami tidak mempunyai agama". Tetapi jika seseorang itu ialah ahli fikir bebas maka sudah pasti dia mestilah seorang Buddhis kerana Buddha menggalakkan kebebasan berfikir. Kebebasan berfikir bagi diri sendiri yang dibenarkan oleh Buddha tidak dapat dijumpai dalam sejarah agama lain, iaitu Kebebasan kepada keinsafannya sendiri tentang Kebenaran. Pelepasannya tidak bergantung kepada kurniaan Tuhan atau sebarang kuasa luaran sebagai suatu ganjaran kepada kelakuannya yang baik dan ketaatannya. Bhagava tidak pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya, “Berdoa dan percaya”. Beliau biasanya bersabda, “Datang dan mengerti, datang dan menyelidik. Jangan percaya apa jua semata-mata kerana keimanan (blind faith). 

Dalam Buddhisme keimanan membuta tuli ini (blind faith) dikritik. Buddhisme menggalakkan penerimaan sesuatu selepas terdapat keyakinan berdasarkan pengetahuan dan pemahaman. Walaupun seorang Buddhis bernaung di bawah Buddha sebagai gurunya, ia tidak menyerah diri atau mengorbankan kebebasan untuk berfikir bagi diri sendiri. Tanpa mengorbankan kebebasannya sendiri, dia meningkatkan kerohanian sehingga menjadi seorang Buddha. 

Sesiapa yang ingin mencapai Nibbana pelepasan, hanya perlu bergantung kepada diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh dogma dan keimanan membuta tuli. Perkembangan rohaniah hanya wujud jika kebebasan berfikir dibenarkan. Perkembangan mental tidak boleh berlaku jika keimanan membuta tuli (blind faith) lebih berleluasa. Kebebasan berfikir membawa kepada perkembangan mental manakala terlalu berpegang kepada dogma-dogma membawa kita menuju kepada kebuntuan dan kemunduran. 


 TARAF WANITA 

 Buddha meningkatkan taraf wanita dan menyedarkan golongan wanita tentang kepentingan mereka terhadap masyarakat. Sebelum kelahiran Buddha, wanita tidak diberi kedudukan yang berpatutan dalam masyarakat. Mereka tidak dilayan dengan baik. Semasa abad keenam S.M. kaum wanita dikawal oleh pembatasan Brahmin yang ketat dan tempat mereka dihadkan kepada bilik dapur sahaja. Buat kali pertamanya dalam sejarah dunia, Buddha mengasaskan Sangha Bhikkhuni dalam tahun ke-5 Pencerahan Kebuddhaan beliau. 

Dengan tertubuhnya Sangha Bhikkhuni, kaum wanita berupaya melepaskan diri daripada belenggu yang berkaitan dengan masyarakat India dahulu kala dan menikmati kebebasan sempurna. Oder ini ialah suatu kurniaan yang besar kepada mereka. Kaum wanita setelah memasuki Sangha Bhikkuni - permaisuri, puteri, janda, hamba wanita mahupun perempuan jalang semuanya adalah sama darjat tanpa mengira kasta atau pangkat mereka. Mereka mendapat ketenangan jiwa serta ketenteraman yang sempurna selepas memasuki Oder tersebut. 


BELAS KASIHAN TERHADAP PESAKIT 

Dalam suatu perhimpunan agama, Buddha menjelaskan kepentingan menghulur bantuan kepada mereka yang menderita. Berdasarkan prinsip ini, Maharaja Asoka buat pertama kalinya dalam sejarah tamadun manusia menubuhkan hospital-hospital bukan sahaja untuk manusia tetapi juga untuk haiwan-haiwan. Beberapa sutta penting yang diajar oleh Buddha adalah berkaitan dengan rawatan kepada pesakit-pesakit. 


AHIMSA 

Tanpa kekerasan atau tanpa kekejaman Semangat bertoleransi adalah satu daripada kebudayaan dan tamadun Buddhis yang paling dihargai. Tidak terdapat satu contoh pun penganiayaan, Perang Jihad atau pertumpahan darah untuk menukar agama orang lain ke dalam Buddhisme sejak 2,500 tahun dahulu. Memaksa orang lain untuk memeluk agama tidak terdapat dalam Buddhisme. 


MENGAJAR SIFAT BERDIKARI 

Buddhisme mengajar kita bahawa seseorang hanya boleh memperoleh pelepasannya menerusi usahanya sendiri tanpa bergantung kepada pertolongan suatu kuasa luar yang ghaib. Bergantung kepada orang lain untuk memperoleh pelepasan adalah negatif tetapi bergantung pada diri sendiri adalah positif. Bergantung kepada orang lain bermakna menyerah diri tanpa sebarang usaha. Buddha menunjukkan dengan jelasnya bahawa kita sendiri yang harus berusaha. Buddha bersabda, "Kamu harus berusaha sendiri, sebab Tathagata hanya mengajar caranya." Ini bermakna Buddha menunjukkan jalan kepada pelepasan atau Nibbana dan terpulang kepada kita untuk mengikut jalan itu untuk menyelamatkan diri kita. Itulah sebabnya Buddha selalu menasihati pengikut-pengikutnya.


SEPULUH TUGAS-TUGAS RAJA

Pertama: Kemurahan hati, sifat liberal dan sifat kedermawan (dana). Pemerintah tidak harus mempunyai nafsu kuat dan terlalu terikat kepada kekayaan serta harta benda tetapi harus bermurah hati demi kebajikan rakyat. 

Kedua: Mempunyai moral yang tinggi (sila). Baginda tidak harus membinasakan nyawa, mencuri, mempergunakan orang, berzina, berdusta dan mengambil minuman yang memabukkan. Baginda mesti sekurang-kurangnya mengamalkan Lima Peraturan Hidup iaitu Panca Sila. 

Ketiga: Sanggup mengorbankan segala-galanya demi kebaikan rakyat (paricagga), baginda bersedia untuk melepaskan semua keselesaan hidupnya dan juga sanggup menggadaikan nyawanya demi kepentingan rakyat. 

Keempat: Mempunyai kejujuran dan ketulusan hati (ajjava). Baginda mesti bebas daripada ketakutan atau sifat bias semasa perlaksanaan tugas-tugasnya, mesti ikhlas dalam tujuannya dan tidak harus menipu orang ramai. 

 Kelima:  Baik hati dan bersifat lemah-lembut (maddava). Baginda mesti memiliki suatu perangai yang ramah-tamah. 

Keenam:  Kebiasaan berjimat cermat (tapa). Baginda mesti mengamalkan cara hidup yang sederhana dan tidak terjerumus dalam kehidupan yang mewah. Beliau harus mampu mengawal dirinya. 

Ketujuh:  Bebas daripada kebencian, dendam, permusuhan (akkodha). Baginda tidak harus menyimpan dendam terhadap sesiapa pun.  

Kelapan:  Tanpa kekerasan (ahimsa) bermakna baginda bukan sahaja tidak melakukan sesuatu yang jahat kepada orang lain tetapi juga harus cuba untuk mengekalkan keamanan dengan mengelakkan dan menjauhkan diri daripada peperangan dan segala yang melibatkan kekerasan serta kebinasaan nyawa. 

Kesembilan:  Kesabaran, ketabahan, toleransi (khanti). Baginda mesti dapat menanggung kesengsaraan, kesukaran dan cemuhan tanpa menjadi marah. 

Kesepuluh:  Tidak menentang dan menyekat (avirodha) iaitu baginda tidak harus menentang kehendak rakyat dan tidak harus menyekat sebarang yang penting untuk rakyatnya. Dalam erti kata lain, baginda mesti memerintah rakyat beliau dalam keadaan yang harmoni dengan kehendak rakyat. 


Semasa kehidupan Buddha, ada pemerintah yang menguasai negara mereka dengan tidak adil seperti hari ini. Rakyat ditindas dan dieksploitasi, diseksa dan cukai yang terlampau tinggi dikenakan serta hukuman yang zalim telah dijatuhkan. Buddha berasa sedih melihat tindakan-tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut dan telah menurunkan sepuluh tugas-tugas seseorang pemerintah. Ini adalah untuk membimbing pemerintah serta meningkatkan kedudukan kebajikan rakyat. Oleh itu, kita boleh nampak bahawa penentangan sistem kasta, kebebasan berfikir, taraf wanita, belas kasihan terhadap pesakit, tanpa kekerasan (Ahimsa), tanggungjawab ke atas diri sendiri (berdikari), toleransi agama dan sepuluh tugas-tugas seseorang pemerintah adalah beberapa daripada sumbangan Buddha kepada umat manusia. Kejayaan setengah-setengah idea ini dalam dunia hari ini telah menampakkan kepentingan sumbangan Buddha kepada umat manusia.


KESIMPULAN

Gauthama adalah seorang ahli falsafah dan juga merupakan pengasas Agama Budha yang ada sekarang. Semasa beliau masih hidup Agama Buddha hanya berkembang di India sahaja. Agama Buddha baru hanya berkembang selepas kematian beliau. Orang yang meneruskan perkembangan Agama Buddha ke seluruh Asia Tenggara ialah Raja Asoka. Ajaran Buddha wujud lebih awal daripada falsafah Barat dan tumpuan ajarannya banyak kepada eleman mistik, adat resam dan ikatan kekeluargaan yang baik. Pemikirannya juga melampaui tafsiran logik akal dan banyak elemen metafizik ( ilmu pengetahuan mengenai segala yang diluar alam biasa atau yang tidak kelihatan ). 

Gauthama juga beranggapan dan percaya manusia adalah sebahagian daripada alam sejagat. Beliau juga percaya ada kuasa yang mentadbir alam sejagat ini. Buddha juga telah menentang dan menolak amalan kasta dan prinsip otodoks Hindu kerana pemusatan kuasa dan hormat kepada Brahmin adalah amalan rigid (taksub). Beliau juga pernah menjadi sami Hindu tetapi tidak berpuas hati dengan ajaran Hinduisme. Bagi Pendapat ahli falsafah pula Agama Buddha adalah satu gerakan demokrasi yang menjunjung demokrasi dalam agama, masyarakat dan politik (Dr. Ambedkar ). 





No comments:

Like TITAS

Followers

Subhanallah!

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan