Monday, September 28, 2009

PERKEMBANGAN ILMU SAINS DAN TEKNOLOGI TAMADUN CHINA

Ciri tamadun Cina yang paling menonjol ialah kepantasan kemajuan teknologinya . Ini turut diakui oleh beberapa orang pengarang terkenal dari Barat.

Antara kemajuan-kemajuan yang dicapai ialah:
1. Perpustakaan yang besar telah wujud semenjak zaman berzaman.
2. Alat cetak yang boleh bergerak telah direka dalam abad kesebelas, justeru itu lahirlah buku-buku dalam jumlah yang besar.
3. Perdagangan dan perindustrian yang digiatkan oleh pembinaan terusan dan desakan penduduk juga mencapai tahap yang tinggi. Kompas bermagnet juga dalah satu lagi ciptaan orang-orang Cina yang digunakan hingga kini.
4. Bandar raya China lebih besar daripada kebanyakan bandar-bandar Eropah pada zaman Pertengahan, sementara laluan perdagangannya pula luas. Pembinaan semula Tembok Besar China dan terusan-terusan mengikut nasihat pihak birokrasi yang dikemukakan kepada Maharaja. Ia dianggap penting demi faedah negara.
5. Wang kertas mempercepatkan aliran perniagaan dan pertumbuhan pasaran pada peringkat permulaan.
6. Wujud industri besi yang sangat besar di China Utara, menghasilkan kira-kira 125 000 tan setahun kebanyakannya untuk kegunaan kerajaan dan tentera.
7. Bangsa China juga barangkali menjadi bangsa yang pertama mencipta serbuk letupan dan meriam yang telah digunakan untuk menggulingkan pemerintah-pemerintah Mongol oleh Dinasti Ming pada penghujung abad keempat belas. Dalam tahun 1720, rekod menunjukkan bahawa Dinasti Ming memiliki sebanyak 1350 buah kapal perang, termasuk 400 buah kubu terapung yang besar dan 250 buah kapal yang dibina khas untuk pelayaran jarak jauh. Kekuatan ini termasuk kapal-kapal persendirian yang banyak dan yang mengadakan perdagangan dengan Korea, Jepun, Asia Tenggara bahkan Afrika Timur pada masa itu. Ini memberi hasil kepada kerajaan China yang telah mengenakan cukai terhadap perniagaan laut tersebut.


RUJUKAN
1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina,Falsafah , Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

2. Joseph Needham,Science and Civilization in China, Cambridge , Cambridge University Press,1954.

KESENIAN DAN KALIGRAFI TAMADUN CHINA

Menurut Michael Sullivan, manusia boleh mendekati sesuatu tamadun melalui bentuk-bentuk seninya kerana sebahagian daripada reaksi manusia terhadap objek-objek seni adalah secara serta merta.Perkara yang ditegaskan oleh Sullivan ialah karya-karya seni Cina mungkin boleh memberi suatu gambaran tentang nilai-nilai estetika dan juga beberapa aspek kepercayaan masyarakat Cina.

Contohnya: Fahaman Daoisme mempunyai pengaruh kuat terhadap bentuk-bentuk seni Cina terutama seni catan dan kaligrafi dan ia menentukan sifat-sifat yang dianggap penting dalam kesenian tersebut.Ini jelas kerana seorang seniman Cina bertujuan menyelaraskan kegiatan penghasilan sesebuah hasil seni catan dengan prinsip-prinsip atau proses alam semesta.
Menurut fahaman ini, manusia boleh melakukan perbuatan dan kegiatan yang bersifat semulajadi dan spontan melalui proses pelukisan gambar kerana ianya satu cara bagi mengharmonikan diri dengan proses alam semesta.

Dalam catan lanskap Cina tradisional, elemen-elemen yang dilukis untuk mewakili alam semesta seperti gunung tinggi yang dipenuhi pokok-pokok , bukit-bukit dan air terjun, pokok-pokok kecil yang rimbun ,air sungai dan tasik dan lain-lain lagi. Manusia boleh timbul dalam catan lanskap tersebut tetapi merupakan bentuk-bentuk yang kecil kerana menurut Daoisme, manusia cuma sebagai elemen yang kecil dalam dunia alam semesta yang amat luas dan besar ini.

Manakala kemahiran-kemahiran yang digunakan dalam tulisan kaligrafi atau huruf Cina, diaplikasikan oleh seniman-seniman Cina kepada penghasilan gerakan -gerakan berus yang terdapat dalam kaligrafi atau huruf Cina yang terdapat dalam sebuah lukisan ( catan) yang berjaya.

Kebolehan untuk menghasilkan imej-imej yang mempunyai ” imbangan, gerakan dan bentuk-bentuk yang betul” boleh diperolehi melalui latihan-latihan kaligrafi atau tulisan huruf Cina.

Keadaan ini juga sama dengan sebuah pantun atau puisi Cina kerana disamping ia disampaikan dengan tulisan-tulisan yang yang cantik, ia juga dihargai oleh masyarakat Cina kerana ia dapat menimbulkan perasaan dan maksud-maksud tertentu seperti nasihat .
Kesenian Seramik

Seramik dan tembikar juga merupakan seni Cina yang popular dan terkenal kerana kebanyakan tamadun merujuk tembikar sebagai “China”.

Terdapat dua jenis seramik yang menarik sekali dari segi estetikanya iaitu:
1- Seramik Seladon ( celadonware) yang berasal dari Dinasti Sung.
2- Tembikar biru-putih ( blue- and white porcelain) yang berasal dari Dinasti Yuan (Mongol) dan Dinasti Ming.
“Seladon” ialah suatu istilah yang digunakan untuk menunjukkan seramik yang mempunyai lapisan kaca berwarna biru hijau atau kelabu hijau serta menyerupai batu permata jed. Ianya amat disukai oleh kelas sarjana-pentadbir di negeri China.

Batu Jed bagi orang Cina melambangkan kebaikan, keluhuran budi pekerti, kemuliaan dan keindahan. Ia merupakan perhiasan yang paling digemari bukan kerana nilai harganya yang tinggi tetapi dipercayai dapat melanjutkan usia dan membawa kesejahteraan hidup kepada pemakainya. Ia juga dikenali sebagai batu azimat.

Tembikar biru-putih ( blue-and - white porcelain) berasal di negeri China pada Dinasti Yuan pada abad ke 13. Ia merupakan tembikar yang sebenar kerana pakar-pakar dari Barat berpendapat bahawa tukang labu Cina menunjukkan kemahiran yang paling tinggi apabila mereka mencipta tembikar (sejenis seramik) yang keras, putih dan juga lutcahaya. Ini merupakan satu revolusi dalam citarasa masyarakat Cina.

RUJUKAN
1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina,Falsafah , Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

2. Joseph Needham,Science and Civilization in China, Cambridge , Cambridge University Press,1954.

BAHASA DAN KESUSASTERAAN TAMADUN CHINA

Dalam abad-abad di antara 500-100 S.M. merupakan zaman kegiatan intelektual dan kesusasteraan yang hebat di negara China apabila terbentuknya pemikiran klasik Cina.Semenjak zaman Han, orang Cina sendiri banyak menumpukan perhatian kepada pengkajian dan penulisan sejarah dan menyimpan rekod kronologi yang tepat.
Selama tradisi kesusasteraan Cina, bentuk bahasa yang digunakan adalah Cina Klasik (wenyen).

Pada hakikatnya suatu bentuk tulisan yang kurang rigid yang dikenali sebagai tradisi bukan wenyen sudah wujud disepanjang kewujudan wenyen itu sendiri. Bentuk bahasa bukan wenyen ini digunakan untuk rekod-rekod sastera hiburan bagi masyarakat umum di samping menjadi bahasa-bahasa berseloka antara golongan-golongan terpelajar.
Baihua juga dikenali sebagai bahasa vernakular ( bahasa daerah) telah dimajukan oleh tokoh-tokoh Gerakan 4 Mei . Penggunaannya bermula sejak munculnya manifesto yang dibuat oleh seorang tokoh iaitu Hu Shih pada 1 Januari 1917.

Menurut Hu Shih , sejak Dinasti Sung terdapat banyak karya sastera baik yang ditulis dalam bahasa vernakular seperti “ Water Margin”, “ Journey to the West” , “Dream of Red Mansion” dan lain-lain karya sastera.
Kesemua karya ini merupakan khazanah sastera China tetapi tidak diterima oleh golongan konservatif yang mengagungkan bahasa Cina klasik.

Hanya pada zaman akhir Dinasti Ching , barulah muncul tokoh-tokoh seperti Kang Yu-wei, Liang Chi-chao dan Wang Kuo-wei yang berusaha dalam menggalakkan penggunaan bahasa vernakular.
Ini merupakan titik permulaan corak sastera klasik Cina menuju ke arah permodenan tetapi hanya dari segi bahasa dan jenis gaya penulisan sahaja . Pembaharuan dari segi isi kandungan belum wujud.

Pada tahun 1918, muncul seorang reformis sastera Cina klasik Lu Xun yang memulakan revolusi sastera dalam penulisan cerpen dengan cerpennya yang pertama dalam koleksi “The Diary of a Madman” yang bertujuan mengkritik sistem feudal Cina.

Cerpen “Blessings” pula memberi perhatian kepada kaum wanita dengan sistem perkahwinan tradisi yang begitu mengongkongkan. Kepercayaan karut juga sering digunakan untuk mengawasi tindak tanduk wanita seperti:
i. tidak memberi kebebasan untuk belajar
ii. tidak boleh panjat tempat-tempat yang tinggi dan duduk di atas meja kerana akan membawa nasib buruk dan bodoh.

RUJUKAN
1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina,Falsafah , Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

2. Joseph Needham,Science and Civilization in China, Cambridge , Cambridge University Press,1954.

INSTITUSI POLITIK DAN SISTEM PEMERINTAHAN TAMADUN CHINA

Konfucius mempercayai bahawa fungsi utama sesuatu kerajaan ialah untuk menghasilkan kebahagiaan dan kesejahteraan antara rakyat sesuatu negeri. Tujuan utama ini hanya dapat dicapai jika negeri tersebut dikuasai dan diperintah oleh orang-orang yang paling berupaya dalam negeri tersebut.

Tugas pemerintah sesebuah negeri harus diberikan kepada orang-orang berpendidikan tanpa mengira keturunan mereka.Tetapi pada zaman Dinasti, raja-raja dan pemerintah-pemerintah mendapat jawatan mereka secara turun temurun. Manakala seorang menteri mempunyai hak untuk mengkritik dan menunjuk arah yang betul kepada seorang pemerintah yang buruk akhlaknya.

Konfusius juga menegaskan kepada perkara menggulingkan seorang pemerintah yang menyeleweng dalam tanggungjawab dan tingkahlakunya. Antara karya penting karangannya ialah:
I. Shu Ching
II. Catatan Musim Bunga & Musim Luruh (Spring and Autumn Annals)
III. Buku Tentang Perubahan (Book of Change)

Kepentingan Konsep Ren Dalam Falsafah Politik Konfusius.
Ren atau sifat berperikemanusiaan (humanisme) ditunjukkan melalui perasaan cinta & kasih sayang terhadap manusia lain.Seorang manusia yang sebenar-benarnya mencintai manusia lain tentu akan memenuhi dan melaksanakan tugas-tugas moralnya dalam masyarakat.
Bagi Konfusius, Ren dianggap sebagai satu kebaikan moral yang paling tinggi & mengaplikasikan konsep ini kepada bidang politik.Ini penting bagi mewujudkan negara yang aman damai dan masyarakat yang harmoni.Seseorang itu cuma mempunyai satu matlamat hidup iaitu memasuki birokrasi kerajaan melalui kejayaan dalam peperiksaan awam. Sistem peperiksaan awam diadakan sepanjang zaman dinasti Han & Sung di negeri China. Sistem sedemikian memperkukuhkan lagi taggapan bahawa seseorang kelas bawahan perlu mengejar mobiliti sosialnya ke kelas atasan melalui pembelajaran klasik. Kemudian sistem peperiksaan awam dibubarkan dan sekolah-sekolah baru ditubuhkan kesemuanya menawarkan pembelajaran barat.Sama ada seseorang itu pemerintah itu berfahaman liberal, demokrasi, komunisme atau fasisme, perasaan cinta & kasih sayang kepada rakyat akan menghalang pemerintah tersebut daripada perbuatan kejam, zalim atau tidak adil terhadap rakyat yang berada di bawah pentadbiran dan kawalannya.

RUJUKAN
1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina,Falsafah , Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

2. Joseph Needham,Science and Civilization in China, Cambridge , Cambridge University Press,1954.

MASYARAKAT DAN BUDAYA TAMADUN CINA

MASYARAKAT CINA
Seratus tahun yang lalu,setiap orang Cina akan memilih cara hidup dan corak pemikiran yang berasal dari nenek moyang mereka. Sejak awal dalam sejarah China , orang-orang Cina mempercayai bahawa mereka lebih cerdik, beradab dan berkebolehan daripada orang-orang tamadun lain.
Orang-orang Cina lebih menghargai hasil minda (pemikiran) daripada hal-hal kebendaan. Mereka memahami faedah yang boleh didapati daripada kemahiran-kemahiran menggabungkan bahan-bahan berlainan untuk menghasilkan sebuah jentera yang boleh digunakan untuk menghasilkan barang-barang secara mudah dan berkesan.
Tetapi mereka lebih menghargai kemahiran yang membolehkan manusia hidup bersama-sama dalam keadaan harmoni dan keadaan kebahagiaan.
Memang benar orang-orang Cina menghargai kekayaan (harta benda) tetapi mereka hanya menghargai kekayaan jika ianya boleh memberikan kepuasan hidup dan membolehkan mereka menikmati kehidupan serta mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat mereka.

BUDAYA TAMADUN CINA
Terdapat beberapa budaya yang masih di praktikkan sejak beberapa generasi yang lalu.Ianya menjadi sebahagian daripada identiti dan warisan masyarakat Cina sejak turun termurun.
Setiap amalan dan adat masyarakat Cina ini mempunyai pengertian yang tersendiri bukan sahaja melambangkan norma-norma yang wujud di dalam masyarakat Cina bahkan merupakan manifestasi terhadap beberapa nilai moral yang menjadi pegangan orang Cina keseluruhannya.
Nilai-nilai etika ini penting dalam mempertahankan kelansungan hidup dan keharmonian sesama anggota masyarakat.Amalan,adat dan pantang larang yang di pegang oleh masyarakat Cina lebih berupa suatu kawalan sosial yang berperanan mengikat anggota-anggota masyarakat agar tidak melakukan perkara yang menyimpang dari amalan-amalan orang Cina.


SISTEM ETIKA DAN ORIENTASI NILAI
Nilai-nilai keluarga dan konsep (LIMA HUBUNGAN) Sistem keluarga merupakan asas untuk sistem sosial di negeri China, Terdapat lima hubungan asas dalam tradisi budaya Cina iaitu: -
Hubungan antara seorang pemerintah dengan seorang rakyat.
Hubungan antara seorang bapa dengan anak lelakinya.
Hubungan antara seorang abang dengan adik lelakinya.
Hubungan antara seorang suami dengan isterinya.
Hubungan antara seorang lelaki dengan kawannya.
Tiga daripada hubungan asas tersebut merupakan hubungan antara ahli-ahli dalam sebuah keluarga.Dua hubungan yang lain(hubungan antara pemerintah dengan rakyat dan hubungan antara dua orang kawan lelaki) boleh diperluaskan untuk menjadi suatu jenis hubungan "keluarga".Kesemua ini dapat dilihat dalam perayaan-perayaan kaum Cina seperti Tahun Baru Cina , Pesta Chap Goh Meh, Kuih Bulan dll.Ini dapat menjamin keharmonian dalam sebuah keluarga dan juga diseluruh negeri.





NILAI-NILAI DALAM BIDANG PENDIDIKAN
Menurut fahaman masyarakat Cina , suatu perancangan pendidikan yang lengkap bukan sahaja mengajar tentang perkara-perkara yang menjadi kewajipan moral tetapi juga tentang konvensi sosial secara lengkap. Oleh itu, seorang yang berpendidikan bukan sahaja bertindak secara bermoral tetapi dia juga beradat dan bersopan.
Oleh itu, orang Cina begitu mementingkan adat -adat kelahiran, perkahwinan, pertuturan dan lain-lain.
Pendidikan harus disebar secara meluas bagi menjamin supaya orang-orang yang menjadi pegawai dan pentadbir adalah mereka yang berpendidikan.
Pentadbir sebuah negeri itu mesti dilantik berasaskan kebolehan dan pendidikannya bukan berasaskan keturunan dan kekayaannya.
Seseorang yang berjaya mendapatkan pendidikan yang mencukupi dalam hal-hal tentang adat dan moraliti akan bersedia untuk memajukan kebahagiaan rakyat yang diperintahnya.

NILAI-NILAI SOSIAL
Dari aspek sosial pula, setiap perayaan disambut oleh semua anggota masyarakat tanpa mengira tua,muda, keturunan dan jantina. Ini dapat mengumpulkan semua ahli masyarakat dan mewujudkan perpaduan sesama manusia.
Ianya dapat menghapuskan permusuhan antara individu dengan individu dan kumpulan dengan kumpulan yang lain.Selain itu, ia berfungsi untuk melanjutkan sistem-sistem sosial masyarakat Cina .
Pengaruh-pengaruh luar yang mengganggu gugat sistem sosial ini dapat ditangkis dengan meneruskan nilai-nilai tradisional dan adat resam yang diamalkan sejak turun temurun.
Orang Cina tidak dapat melepaskan diri daripada mempraktikkan elemen-elemen tradisional dan kepercayaan kuno kerana tanpa kesemua ini orang Cina akan kehilangan identiti dan pengenalan bangsanya sendiri.

RUJUKAN
1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina, Falsafah, Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

KEMUNCULAN TAMADUN CINA

Gambaran mengenai kemunculannya adalah tidak jelas kerana ia berdasarkan cerita-cerita mitos yang penuh khayalan. Ada juga ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa sebelum wujudnya Zaman Dinasti, China diperintah oleh lima orang pendeta. Mereka inilah yang mengasaskan peradaban/tamadun Cina.
Sepanjang sejarah negeri China, setiap dinasti berkembang, runtuh dan kemudian digantikan oleh suatu dinasti yang lain.

1. Dinasti Hsia ( 2697 SM)
Raja terawal dipercayai Raja Huang Ti dan salah seorang keturunannya iaitu Raja Yu telah mengasaskan dinasti ini. Walaupun ianya kurang jelas kerana tiada kesan-kesan yang ditemui tetapi bagi orang Cina ianya tetap wujud.

2. Dinasti Shang (1766-1122 SM)
Berpusat di Anyang dan dinasti ini adalah lebih jelas dengan penemuan alat-alat dan tulang manusia yang banyak di sekitar kawasan utara Sungai Kuning.

3. Dinasti Chou ( 1122- 256 SM)
Terbahagi kepada dua iaitu Chou Awal ( 1122-771 SM) berpusat di Lembah Wei yang dipanggil Kanshu kini.Chou Akhir(771-256 SM) pusat pentadbirannya ke Loyang. China mencapai zaman keagungannya dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.

4. Dinasti Chin ( 256-205 SM)
Pusat pentadbirannya di Lembah Wei di bawah Maharaja Shin Hung Ti(221-210S M) merupakan raja Dinasti Chin yang teragung . Beliau memerintah selama 11 tahun dengan menggunakan kekerasan dan undang-undang yang ketat . Ini merupakan zaman penyatuan kembali negeri China.Tembok Besar China dibina pada zaman ini sejauh 2256 KM untuk menghalang serangan puak-puak liar dari Mongolia. Ianya telah diceritakan telah menyebabkan kira-kira satu juta mati orang akibat iklim yang sejuk.

5. Dinasti Han ( 202 SM -221 M)
Salah seorang raja yang terkenal ialah Han Wu Ti ( 141-87 SM) yang merupakan zaman perkembangan kesenian dan kesusasteraan. Ketika ini juga telah wujud jalan darat yang menghubungkan China dengan Asia Barat dan kawasan sekitar Laut Mediterranean dan jalan ini dipanggil Jalan Sutera kerana melalui jalan-jalan inilah sutera-sutera dari China di bawa ke Barat.

6. Dinasti Sui ( 589- 618 M)
Diasaskan oleh Sui Wen Ti tetapi penggantinya Yuang Ti lebih mementingkan kemewahan hidup yang membawa kepada pemberontakan oleh Li Yuen seorang pegawai yang berpengaruh di wilayah Shantung. Beliau berjaya menjatuhkan kerajaan Sui.

7. Dinasti Tang ( 618- 907 M)
Selain Li Yuen, raja Tang yang terkenal ialah Tang Tai Tsung putera Li Yuen yang meluaskan kekuasaan China Parsi dan Laut Kaspian.

8. Dinasti Sung ( 960-975 M)
Seorang general bernama Chao Hung Yin berjaya mendirikan sebuah kerajaan yang kuat . Dinasti ini berkuasa selama kira-kira 300 tahun.

9. Dinasti Yuan / Mongol ( 1271-1368)
Di bawah kepimpinan Kublai Khan, kaum Mongol berjaya mengalahkan dinasti Sung dan mendirikan kerajaan baru. Peking dipilih sebagai pusat pemerintahan dan bermulanya era perhubungan dengan barat.

10. Dinasti Ming ( 1368-1644)
Orang Cina merampas semula kekuasaan setelah kematian Kublai Khan. Seorang pemimpin bernama Chu Yuan Chang berjaya mengalahkan tentera Mongol.

11. Dinasti Ching /Manchu ( 1682-1911)
Menjalankan dasar-dasar yang telah dijalankan oleh dinasti Ming dengan membenarkan saudagar-saudagar asing singgah di mana-mana pelabuhan untuk berniaga.

RUJUKAN 1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina, Falsafah, Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

KONSEP-KONSEP PENTING DALAM TAMADUN CINA

Penjelasan konsep-konsep ini akan menjadi asas kepada perbincangan dan pembinaan hujah-hujah mengenai tamadun dan falsafah Cina.Konsep-konsep ini penting bagi memahami world-view Tamadun Cina.

1. T'ien
Selalunya digunakan untuk menunjukkan langit (Heaven). Walaupun demikian, sejak zaman awal dalam sejarah negeri China , T'ien juga digunakan untuk menunjukkan dewa terpenting atau dewa utama dalam kepercayaan Cina. Oleh itu, dewa yang terpenting dealam kepercayaan orang-orang Cina (T'ien) juga disamakan dengan langit. Selain daripada itu, T'ien mempunyai satu dimensi moral dalam kepercayaan orang-orang Cina.

2. Dao atau Tao
Konsep Dao mempunyai pelbagai maksud. Maksud terawal menunjuk kepada "jalan"atau "lorong". Sebelum kedatangan falsafah Konfusius , Dao digunakan untuk menunjukkan satu "jalan"ataupun suatu cara kelakuan atau tabiat sama ada tabiat baik ataupun buruk. Selepas kedatangan Konfusius, orang-orang yang mengikut fahaman Daoisme(berasal dari perkataan Dao) menggunakan konsep Dao dengan suatu maksud metafizik untuk menunjukkan kepada keseluruhan alam semesta .
Konsep Dao menurut Konfusius Sebagai satu konsep tatatertib moral yang mesti dipatuhi oleh seseorang individu, atau suatu set peraturan-peraturan etika yang harus diikuti oleh seorang individu. Ia juga menunjukkan kepada suatu corak atau jenis pentadbiran yang dapat menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat dengan cara yang paling baik.
Konsep Dao menurut fahaman Daoisme. Menurut ahli falsafah Daoisme, dao bermaksud metafizik. Ini bermaksud jika terdapat suatu proses kewujudan,maka hendaklah terdapat suatu punca utama yang meluas dan ini dipanggil Dao. Seperti First Cause yang terdapat dalam kepercayaan Kristian.

3. Konsep Yin & Yang.
Pemikir-pemikir Cina mempercayai bahawa perkara-perkara yang berlaku atau wujud di dalam alam ini akibat dari interaksi antara dua kuasa yang berlawanan iaitu Yin & Yang.Yin mewakili perempuan, keadaan pasif, sejuk, gelap, basah, lembut dan lain-lain. Yang pula mewakili lelaki, aktif, panas, cerah, kering, keras dan lain-lain. Yin & Yang merupakan dua kuasa yang saling bertindak di dalam alam semesta ini. Dalam bentuk fizikal, Yang merupakan langit dan Yin adalah bumi.

4. Konsep "The Golden Mean" atau Chung
Ia merupakan sesuatu yang paling sesuai, paling tepat atau terbaik dalam sesuatu keadaan. Oleh itu Chung boleh menunjukkan jarak yang ideal dalam sesuatu keadaan, masa yang paling ideal dalam sesuatu keadaan, wajah atau rupa seseorang yang paling ideal dan lain-lain.

5. Konsep The Grand Unity atau Ta T'ung.
Menurut Kang Yu Wei dalam bukunya Ta T'ung Shu(Book of Great Unity atau Ta T'ung) menyatakan: Ianya satu prinsip yang menumpukan perhatian kepada cara mengelakkan kesakitan dan penderitaan dan cara mendapatkan keseronokan secara maksima kepada jumlah manusia yang maksima.

Kesemua agama dan konsep-konsep penting dalam Tamadun Cina mengajar sistem moral dan ianya adalah penting dalam kehidupan. Manakala "ajaran-ajaran tuhan " adalah satu cara untuk memberi hukuman. Itulah asas utama konsep agama yang ada pada masyarakat Cina. Oleh itu, jelaslah pandangan semesta orang-orang Cina adalah mengutamakan kehidupan duniawi daripada kehidupan selepas mati.

RUJUKAN 1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina, Falsafah, Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

Like TITAS

Followers

Subhanallah!

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan