Monday, September 28, 2009

KESENIAN DAN KALIGRAFI TAMADUN CHINA

Menurut Michael Sullivan, manusia boleh mendekati sesuatu tamadun melalui bentuk-bentuk seninya kerana sebahagian daripada reaksi manusia terhadap objek-objek seni adalah secara serta merta.Perkara yang ditegaskan oleh Sullivan ialah karya-karya seni Cina mungkin boleh memberi suatu gambaran tentang nilai-nilai estetika dan juga beberapa aspek kepercayaan masyarakat Cina.

Contohnya: Fahaman Daoisme mempunyai pengaruh kuat terhadap bentuk-bentuk seni Cina terutama seni catan dan kaligrafi dan ia menentukan sifat-sifat yang dianggap penting dalam kesenian tersebut.Ini jelas kerana seorang seniman Cina bertujuan menyelaraskan kegiatan penghasilan sesebuah hasil seni catan dengan prinsip-prinsip atau proses alam semesta.
Menurut fahaman ini, manusia boleh melakukan perbuatan dan kegiatan yang bersifat semulajadi dan spontan melalui proses pelukisan gambar kerana ianya satu cara bagi mengharmonikan diri dengan proses alam semesta.

Dalam catan lanskap Cina tradisional, elemen-elemen yang dilukis untuk mewakili alam semesta seperti gunung tinggi yang dipenuhi pokok-pokok , bukit-bukit dan air terjun, pokok-pokok kecil yang rimbun ,air sungai dan tasik dan lain-lain lagi. Manusia boleh timbul dalam catan lanskap tersebut tetapi merupakan bentuk-bentuk yang kecil kerana menurut Daoisme, manusia cuma sebagai elemen yang kecil dalam dunia alam semesta yang amat luas dan besar ini.

Manakala kemahiran-kemahiran yang digunakan dalam tulisan kaligrafi atau huruf Cina, diaplikasikan oleh seniman-seniman Cina kepada penghasilan gerakan -gerakan berus yang terdapat dalam kaligrafi atau huruf Cina yang terdapat dalam sebuah lukisan ( catan) yang berjaya.

Kebolehan untuk menghasilkan imej-imej yang mempunyai ” imbangan, gerakan dan bentuk-bentuk yang betul” boleh diperolehi melalui latihan-latihan kaligrafi atau tulisan huruf Cina.

Keadaan ini juga sama dengan sebuah pantun atau puisi Cina kerana disamping ia disampaikan dengan tulisan-tulisan yang yang cantik, ia juga dihargai oleh masyarakat Cina kerana ia dapat menimbulkan perasaan dan maksud-maksud tertentu seperti nasihat .
Kesenian Seramik

Seramik dan tembikar juga merupakan seni Cina yang popular dan terkenal kerana kebanyakan tamadun merujuk tembikar sebagai “China”.

Terdapat dua jenis seramik yang menarik sekali dari segi estetikanya iaitu:
1- Seramik Seladon ( celadonware) yang berasal dari Dinasti Sung.
2- Tembikar biru-putih ( blue- and white porcelain) yang berasal dari Dinasti Yuan (Mongol) dan Dinasti Ming.
“Seladon” ialah suatu istilah yang digunakan untuk menunjukkan seramik yang mempunyai lapisan kaca berwarna biru hijau atau kelabu hijau serta menyerupai batu permata jed. Ianya amat disukai oleh kelas sarjana-pentadbir di negeri China.

Batu Jed bagi orang Cina melambangkan kebaikan, keluhuran budi pekerti, kemuliaan dan keindahan. Ia merupakan perhiasan yang paling digemari bukan kerana nilai harganya yang tinggi tetapi dipercayai dapat melanjutkan usia dan membawa kesejahteraan hidup kepada pemakainya. Ia juga dikenali sebagai batu azimat.

Tembikar biru-putih ( blue-and - white porcelain) berasal di negeri China pada Dinasti Yuan pada abad ke 13. Ia merupakan tembikar yang sebenar kerana pakar-pakar dari Barat berpendapat bahawa tukang labu Cina menunjukkan kemahiran yang paling tinggi apabila mereka mencipta tembikar (sejenis seramik) yang keras, putih dan juga lutcahaya. Ini merupakan satu revolusi dalam citarasa masyarakat Cina.

RUJUKAN
1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina,Falsafah , Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

2. Joseph Needham,Science and Civilization in China, Cambridge , Cambridge University Press,1954.

No comments:

Like TITAS

Followers

Subhanallah!

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan