السلام عليكم ورحمة الله



Salam Sejahtera! Selamat datang ke blog Sifu Haba. Blog ini disediakan khusus untuk pelajar-pelajar yang mengikuti Interaksi kursus TITAS dan Kursus Tamadun Islam dan Asia & Falsafah dan Isu Semasa di Institut Pendidikan Guru Malaysia dan IPTA/IPTS. Saya mengalu-alukan kunjungan anda semua. Sekiranya ada apa-apa komen, perbincangan, persoalan dan sebagainya sila catatkan di bahagian 'comments' di akhir setiap post. Terima kasih... Salam Tamadun.

Wednesday, December 20, 2017

ISU-ISU KONTEMPORARI TAMADUN ISLAM

ISU-ISU KONTEMPORARI TAMADUN ISLAM

13.1 Krisis Alam Sekitar


ALLAH menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat umat manusia. Bagaimanapun, tidak ramai yang menghargai nikmat alam sekitar itu. Hal ini menyebabkan ada di kalangan manusia memandang enteng nikmat tersebut sehinggakan bertindak menggondolkan bukit-bukau sewenangwenangnya.

Sehubungan itu, Allah memberi peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.” (alRum: 41)

Berkenaan tanggungjawab manusia memelihara alam sekitar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu 1972 menjelaskan bahawa alam sekitar adalah: “Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa‟id dan Rasyid Ahmad. 1986. AlBi‟ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah.Hal. 25).

Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini di dalam kitabnya al-

Jumanah dengan penjelasannya bahawa: “Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”. (Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-

Fiqqiyy. 1993. Al-Bi‟ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)

Al-Quran dan sunah memberikan penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber perundangan ini menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Tuhan yang agung. Ia melarang pencemaran di samping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam di mana usaha murni ini di sanjung mulia agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Tuhan. Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran bumi. Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan awam terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras Islam Hadhari.

Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

…(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka. (ali-Imran: 191).

Ayat ini menunjukkan bahawa alam sekitar fizikal dan seluruh cakerawala adalah tanda kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. Orang beriman sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah ketika peperangan.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah satu lagi contoh keengganan manusia mematuhi perintah Allah sebagaimana dalam surah arRum: 41. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

Kalau kita meneliti sumber-sumber syarak dan usul-usulnya, pasti kita akan melihat asas-asas dan dasar-dasar yang murni yang digagaskan oleh Islam. Ia bagi memandu dan memimpin suatu etika dan akhlak yang terpuji bagi setiap individu muslim berperanan dan bermuamalah secara positif dengan alam sekitar ciptaan Ilahi ini agar warisan tersebut tidak pupus atau rosak di tangan manusia itu sendiri.

Akhirnya, ketiadaan sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini boleh membawa kepada kemusnahan, kerosakan dan bencana yang menimpa manusia itu sendiri.

Allah menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". (al-Rum: 41).

Tindakan paling drastik yang perlu dilakukan umat Islam adalah kembali kepada Islam itu sendiri, tinggalkan budaya atau gaya hidup yang jauh daripada Allah dan syariat-Nya. Barangkali musibah seumpama ini adalah peringatan untuk kita agar jangan lalai dan leka terhadap peranan kita selaku hamba dan khalifah-Nya di muka bumi ini.

Islam adalah agama yang mengikat hubungan kita dengan Pencipta dan menjalin hubungan manusia sesama manusia.

Islam juga menyusun peradaban dan etika manusia dengan makhluk sekitarnya meliputi alam dan ciptaan Tuhan yang berada di atasnya bersesuaian dengan agenda utama manusia di muka bumi ini selaku khalifah Tuhan yang mentadbir dan mengurus dunia ini dengan saksama dan penuh bijaksana demi kemaslahatan manusia dan keharmonian alam sekitarnya.

Bukit-bukau dan gunung-ganang dijadikan Allah sebagai pasak bumi (al-Anbiya‟: 31). Apakah saranan Islam tentang pembangunan seimbang (sustainable development)?

Nidzamuddin: Kita perhatikan dahulu ayat al-Quran itu tadi. Allah menegaskan: Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya‟: 31).

Ayat ini menegaskan bahawa fungsi sebenar bukit-bukau dan gunung-ganang itu ialah sebagai pasak kepada bumi. Meneres kawasan bukit-bukau sesuka hati tanpa kawalan dan sempadan mengundang ketidakseimbangan muka bumi itu sendiri.

Justeru, pembangunan yang seimbang ini amat dititik beratkan dalam ayat Allah yang lain antaranya firman Allah yang bermaksud: Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. (al-Hijr: 19).

Sistem keseimbangan dalam alam sekitar yang diaturkan Penciptanya ini lebih dikenali sebagai ekosistem yang sangat unik dan sistematik. Seluruh unit dalam sistem telah diprogramkan Allah agar mengikuti sistem atau sunnatullah yang hebat ini.

Sebagai contoh, matahari dan bulan ditentukan Allah berfungsi dalam ekosistem ini selaku penyumbang cahaya mengikut kadar peratusan yang tertentu.

Jika kadar pencahayaan matahari itu melebihi peratusan yang sepatutnya, maka tentulah alam dan hidupan di atas permukaannya bakal mengalami kemusnahan dan kebakaran.

Begitu juga kadar oksigen dalam udara yang telah ditentukan Allah sejumlah 21 peratus, maka andainya kadar oksigen itu menjangkau 50 peratus, nescaya alam dan hidupan di atas permukaannya juga pasti mengalami kemusnahan dan kebakaran. Begitulah al-Quran melukiskan peri pentingnya keseimbangan ekosistem ini untuk dipelihara oleh khalifah Tuhan atau manusia di muka bumi ini sebaik-baiknya. (Tibarah Afif bin Abdul Fattah. Ruh al-Din al-Islami. Beirut: Dar al-Malayin li al-Ilmi. Hal. 57).

Akhirnya, renungilah seruan Ilahi untuk hamba-hamba-Nya bagi menjaga alam sekitar khususnya bukit-bukau dan gunung-ganang ciptaan terindah Tuhan menerusi ayat yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buahbuahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Faatir: 27 -28)

Justeru, dengan kelebihan ciptaan manusia daripada unsur material dan maknawi, maka manusia dinobatkan selaku pemimpin dan khalifah Tuhan yang mengurus dan mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (al-Hijr: 28-29).

Hal ini disokong pula dengan hadis Nabi SAW bermaksud; Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya. (Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. 2004. (Rujuk: Jami‟ al-Tirmizi. Kitab al-Fitan. Hadis No. 2191. Riyadh: Bait al-Afkar al-Dauliyyah).

Ketamakan pada keuntungan yang melambak-lambak akan mengenepikan soal bahaya dan risiko yang bakal menimpa. Ya, memang ada orang yang kaya dan mampu membina semula banglo yang runtuh itu lantaran kekayaannya yang tidak terkira. Lebih mengejutkan ialah ada yang berani membangunkan semula bangunan baru di lokasi yang telah berlaku tanah runtuh.

Namun soal nyawa, harta benda yang terbuang dan musnah begitu sahaja serta pencabulan terhadap keharmonian alam sekitar itu sendiri adalah suatu isu yang perlu dititikberatkan.

Pokok-pokok yang subur menghijau bukan sekadar dilihat sebagai ciptaan Allah yang mendamai dan menakjubkan, bahkan Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memeliharanya daripada ditebang dan dimusnahkan.

Ini terserlah melalui larangan keras Baginda terhadap usaha penebangannya yang tanpa sebab dan melampau bermaksud: “Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. (Rujuk: Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy‟ath al-Sijistani. T.th. Sunan Abi Daud. Kitab Adab. No. Hadis: 4561. Juzuk 4. Hal. 361).

Imam Abu Daud mengulas maksud hadis ini setelah disoal mengenainya dengan penjelasannya: “Barangkali yang dimaksudkan dengan amaran Nabi SAW dengan penebangan pokok tanpa sebab ini adalah terhadap pokok-pokok yang terdapat di padang pasir yang dijadikan tempat teduhan orang yang lalu lalang atau para musafir.”

Kalau nak dikiaskan dengan geografi negara kita, maka pokok-pokok di lerengan bukit-bukau itu juga dilarang Islam menebangnya tanpa bersebab dan kawalan. Kalau isu penebangan pokok atau peneresan bukit-bukau ini tidak dikawal secara serius, maka tidak mustahil bahawa kita akan menyaksikan banyak lagi penempatan di kawasan-kawasan bukit akan menjadi mangsa tanah runtuh ini.

Memang benar alam tidak menjerit dan melolong apabila diperlakukan penebangan atau peneresan bukit-bukau dengan sewenang-wenangnya, namun kerakusan ini akan berakhir dengan dentuman bangunan runtuh, suara tangisan mangsa tanah runtuh dan kerosakan harta benda yang begitu besar.

Justeru, Allah melarang keras penipuan ini khususnya dalam sukatan dengan firman-Nya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?

(al-Mutaffifin: 1-4).

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan. Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia.

Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Oleh yang demikian, manusia perlu ingat bahawa dia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.


13.2 Persepsi Jihad

Definisi: Istilah jihad apabila didefinisikan dalam konteks yang sempit adalah jihad di medan perang iaitu mempertaruhkan seluruh jiwa dan raga demi agama dan negara. Sebaliknya apabila ditafsirkan secara lebih umum, maka jihad boleh membawa banyak pengertian. 

Konsep Jihad dalam Islam Md Zawawi Abu Bakar Jihad adalah suatu istilah yang begitu sinonim dikaitkan dengan masyarakat dan agama Islam. Amalan itu sering dikaitkan sebagai perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air. Justeru, perjuangan yang dilakukan di atas dasar jihad dengan nama Allah SWT dan agama Islam adalah syahid. 

Istilah jihad apabila didefinisikan dalam konteks yang sempit adalah jihad di medan perang iaitu mempertaruhkan seluruh jiwa dan raga demi agama dan negara. Sebaliknya apabila ditafsirkan secara lebih umum, maka jihad boleh membawa banyak pengertian. Antaranya:jihad melawan nafsu, menuntut ilmu, mempertahankan maruah diri dan sebagainya. Ia boleh dilakukan melalui pengorbanan harta benda, wang ringgit, kekuatan fizikal, tenaga bahkan buah fikiran juga termasuk dalam sumbangan jihad. 

Perjuangan dan pengorbanan pelajar-pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan dan amal makruf nahi mungkar juga adalah tergolong dalam kategori-kategori yang menunjukkan pengorbanan atau jihad fi sabilillah. Cumanya taraf atau darjat tinggi rendah pahala jihad bergantung sebesar mana pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam. Oleh itu, konsep jihad perlulah difahami agar masyarakat tidak terpengaruh dengan anasir-anasir yang mengambil kesempatan dia atas jihad palsu mereka. 


Konsep Jihad: 

Takrif dan Definisi Jihad 

Pengertian jihad boleh dilihat dalam beberapa sudut. Jihad adalah perkataan Arab iaitu 'jahada yajhadu jahdu' yang bererti kesulitan dan beban. Al-Jahdu pula bermakna kesungguhan dan keupayaan terakhir. Definisi al-Jihad pada bahasa bermaksud penyerahan segenap kemampuan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan atau menolak sesuatu yang dibenci. Manakala dari segi istilahnya para fukaha bersepakat iaitu peperangan dan membantu semua persiapan perang. 

Oleh itu dalam erti kata yang luas jihad boleh didefinisikan sebagai berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran dan lain-lain perjuangan pada jalan Allah dan meninggikan kalimah Allah.

 Terdapat beberapa pandangan mazhab yang empat berhubung pentakrifan jihad antaranya ialah: 

a.     Hanafi. Ulama mazhab Hanafi iaitu Ibnu Hamman mendefinisikan jihad sebagai mengajak orang kafir memeluk Islam dan memeranginya jika menolak. Manakala al-Kasani iaitu mengerah segenap kemampuan dan tenaga dengan melakukan perang fi sabilillah baik dengan diri, harta dan lidah. 

b.     Maliki. Mazhab Maliki pula berpendapat jihad adalah orang-orang Muslim ang memerangi orang kafir yang tidak terikat dalam perjanjian damai demi menegakkan ajaran agama Allah. 

c.     Shafie. Menurut al-Bajuri jihad adalah berperang di jalan Allah. Seorang lagi ulama Shafie iaitu Ibnu Hajar mentakrifkan sebagai mengerah segenap kemampuan untuk memerangi orang kafir. 

d.     Hanbali. Mereka berpendapat jihad adalah memerangi orang kafir atau mengerah segenap kemampuan untuk memerangi orang kafir. Hukum terhadap amalan jihad adalah fardu kifayah. 

Menurut Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayatul Mujtahid jihad adalah fardu kifayah dan bukan wajib. Namun demikian dalam keadaan tertentu hukum fardu kifayah bertukar menjadi wajib apabila diserang oleh pihak musuh. Dalil al-Quran surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Kamu diwajibkan berperang untuk menentang pencerobohan sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu” Selain itu terdapat beberapa dalil pensyariatan jihad sama ada melalui sunah mahupun al-Quran. 

Antara dalil-dalil tersebut adalah seperti dalam surah at-Taubah ayat 88, “Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga berjaya.” Selain itu dalam surah Ali Imran ayat 195, Allah SWT berfirman bermaksud, Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, kerana setengah kamu adalah keturunan dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah kerana menyelamatkan agamanya, dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, yang disakiti dengan berbagai-bagai gangguan kerana menjalankan agamaKu, berperang mempertahankan Islam, dan yang terbunuh gugur Syahid dalam perang Salib- sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya bagi mereka yang beramal soleh.” 

Dalam hal lain juga, Allah memerintahkan umat Islam mempertahankan diri daripada serangan pihak musuh. Firman Allah SWT surah al-Anfal ayat 60 bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka iaitu musuh yang menceroboh segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. 

Selain itu, sesuatu jihad yang hendak diperjuangkan hendaklah memiliki ciriciri yang jelas menurut syarak. Antara ciri-ciri jihad yang benar adalah: 

a.  Hendaklah kerana Allah SWT dan Rasul semata-mata. 

b.  Tidak bersalahan dengan nas-nas al-Quran dan sunah. 

c.   Tidak menyalahi undang-undang dan pemerintahan yang adil. 

d.  Bukan ekstremis terhadap individu tertentu. 

Jihad jika dilihat di dalam konteks yang lebih luas mempunyai tujuan tertentu. Namun semuanya memfokuskan kepada perkembangan syiar Islam serta keberkatan Allah semata-mata. 

Antara tujuan jihad ialah untuk menyebarkan dakwah Islam, melindungi agama Islam dan negara serta menolong kaum-kaum yang tertindas. Peringkat Mensyariatkan Jihad dalam Islam Jihad disyariatkan kepada umat Islam berdasarkan kepada empat peringkat. Ini menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang ganas. Istilah Islam sendiri membawa maksud sejahtera iaitu membawa kesejahteraan kepada semua makhluk. Oleh itu gambaran yang mengaitkan Islam sebagai agama yang suka berperang dan umat Islam sebagai pengganas adalah salah dan tidak dapat diterima sama sekali. 

Berikut adalah peringkat pensyariatan jihad di dalam Islam: Umat Islam diharamkan Berperang. Sejarah Islam membuktikan bagaimana seksanya umat Islam di awal pendakwahan Rasulullah SAW di Kota Mekah. Mereka diseksa, diugut, didera dan dibunuh contoh seperti mana yang berlaku ke atas saidina Bilal Bin Rabah, bahkan baginda Rasulullah SAW juga menerima azab yang sama. Namun umat Islam ketika itu diminta bersabar dan tidak melawan di atas segala perbuatan dan tindakan kejam kaum kafir dan musyrikin Mekah.

Firman Allah SWT dalam an-Nisak ayat 77 yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: Tahanlah tanganmu dari berperang dan dirikanlah solat.” Keizinan Berperang atau Berjihad. Setelah menerima tentangan hebat kaum kafir Mekah sehingga usaha membunuh Rasulullah SAW dirancang. Akhirnya umat Islam diizinkan mempertahankan diri daripada musuh. Selain itu, umat Islam juga mula mengorak langkah berhijrah ke tempat baru. Hijrah ke Habsyah adalah hijrah pertama dalam Islam barulah diikuti hijrah ke Madinah. Manakala peperangan pertama di dalam Islam adalah perang Uhud yang berlaku pada 4 Hijrah. Sesungguhnya Islam membenarkan umatnya memerangi musuh yang menyerang dan sejarah perang Badar membuktikan tentera Islam memenangi peperangan itu. 

Firman Allah SWT surah al-Haj ayat 39 yang bermaksud,“Telah diizinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.” 

Jihad adalah Wajib ketika Musuh Menyerang. Firman Allah SWT di dalam al-Baqarah ayat 190 yang bermaksud, “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang - orang yang melampaui batas.” 

Melalui surah al-Haj ayat 39, umat Islam diberi keizinan berperang apabila mereka diperangi atau diserang musuh. Sebaliknya, ayat ini pula menegaskan kepada kewajipan ke atas umat Islam mempertahankan diri agama dan negara apabila diserang. Namun demikian sebagai agama sejahtera, Islam mempunyai batas-batas dan etika berperang yang mesti diikuti. Antaranya tidak boleh membunuh kanak-kanak, kaum perempuan, orang-orang tua yang lemah dan sebagainya. Memerangi Kaum Musyrikin dan Kafir. Akhirnya umat Islam diperintahkan memerangi kaum kafir dan musyrikin yang memerangi Islam dan umatnya. Umat Islam perlu jelas di sini, golongan yang harus diperangi adalah kaum kafir yang menyerang umat Islam. Dalam hal ini, ulama Islam membahagikan golongan kafir kepada dua.

Pertama kafir "harbi" iaitu golongan kafir yang mengancam serta memerangi Islam dan umatnya. Golongan kafir "harbi" dibolehkan bagi umat Islam untuk berjihad jika diperangi. 

Keduanya kafir zimmi iaitu golongan kafir yang tidak boleh diperangi kerana mereka tidak mengancam Islam dan umatnya. Selain itu, kafir "zimmi‟ memberi taat setia kepada pemerintahan negara Islam serta membayar cukai jizyah kepada negara. Melalui al-Anfal ayat 39 yang bermaksud, “Dan perangilah mereka, supaya tidak ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah SWT.” 


Jenis-Jenis dan Kategori Jihad 

Amalan jihad merangkumi maksud yang sangat luas daripada berkorban nyawa di medan perang sehinggalah menuntut ilmu adalah termasuk kategori jihad di dalam Islam. Cuma daripada segi tahap ketinggian atau darjat sahaja yang membezakan jenis-jenis jihad. Jihad di medan perang adalah jihad yang paling tinggi dan syahid kubra. Namun demikian, sebagai agama yang benar dan sifat pemurah Allah SWT setiap amalan jihad sama ada kecil atau besar pasti memperoleh ganjaran di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah al-Zilzal ayat 7, “Barang siapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu.” 

Jihad atau pengorbanan boleh dilakukan melalui berbagai cara. Namun semua sumbangan tersebut mestilah diniatkan di dalam hati kerana Allah SWT semata-mata. Jihad yang dilakukan kerana makhluk atau keduniaan juga akan mendapat balasan tetapi setakat dunia sahaja. Sebaliknya jika dilakukan kerana Allah SWT maka balasannya ialah kebaikan dunia dan akhirat. Justeru jihad yang dilakukan hendaklah ikhlas kepada Allah SWT semata. 

Antaranya jihad boleh dilakukan melalui: Nyawa dan Tenaga Jihad yang paling tinggi dalam Islam adalah melalui pengorbanan jiwa dan raga untuk agama Islam. Lazimnya, jihad sebegini adalah jihad di medan perang dan orang yang terkorban adalah syahid. Terdapat banyak contoh para sahabat yang sanggup berkorban nyawa demi perjuangan Islam seperti saidina Hamzah yang gugur syahid di dalam peperangan Uhud. Harta dan Wang Ringgit Selain itu pengorbanan wang ringgit dan harta juga termasuk di dalam jihad fi sabilillah. 

Justeru itu, jihad dalam erti kata yang luas dapat dilakukan oleh semua orang. Bagi golongan kaya harta mereka boleh menyumbang dalam bentuk kewangan bagi menyokong usaha jihad golongan di medan perang. Sebagai contohnya saidina Abu Bakar menyerahkan hartanya demi perjuangan menegakkan syiar Islam. Akal Fikiran dan Ilmu Sumbangan buah fikiran dan idea juga tergolong dalam ciri-ciri berjihad di jalan Allah. Sebagai contohnya Salman al-Farisi selain berjihad di medan perang juga menyumbangkan idea pembinaan parit di dalam peperangan Khandak. Selain itu menuntut ilmu adalah suatu jenis jihad di dalam Islam. Begitu juga para mujtahid yang berijtihad mengenai sesuatu hukum juga tergolong sebagai suatu jihad melalui akal fikiran. 

Terdapat beberapa kategori jihad yang sangat dianjurkan Islam bahkan diwajibkan kepada setiap umat Islam mempertahankan hak-hak tersebut iaitu: 

Jihad melawan hawa nafsu Berjihad melawan nafsu adalah jihad yang paling tinggi sekali darjat di sisi Islam. Melaluinya seluruh tenaga disalurkan supaya menuruti jalan dan manhaj yang digariskan oleh Allah SWT. Perjuangan ini adalah perjuangan dalam diri setiap individu Muslim dan ianya adalah fardu ain. Sebenarnya mencari petunjuk agama yang benar atau mencari ilmu adalah tergolong di dalam jihad. Perjuangan melawan nafsu agar ianya tunduk dan patuh untuk beramal kepada ajaran Islam, menyebarkan dakwah Islamiah serta sabar di atas segala ujian dan cabaran yang diterima. Jihad sebegini menuntut kepada jihad yang berpanjangan dan ianya adalah jihad fardu ain.

Dalil yang boleh dikaitkan dengan jihad melawan hawa nafsu seperti dalam surah as-Syams ayat 7-10 yang bermaksud, “Dan demi jiwa serta penyempurnaannya penciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” Jihad menentang syaitan. Syaitan adalah seteru manusia yang sebenarbenarnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan permusuhan antara syaitan dan manusia. Bahkan di dalam kisah Nabi Adam as dan iblis juga banyak mengisahkan permusuhan dan dendam iblis kepada manusia. Antara dalil al-Quran dalam surah al-Fathir ayat 6 yang membuktikan syaitan adalah musuh manusia adalah, “Sesungguhnya syaitan itu seteru bagimu maka jadikanlah dia atau layanilah sebagai seteru.” 


Hukum Jihad:

Jihad menentang syaitan juga tergolong sebagai jihad dalam kategori fardu ain. Ia menunjukkan setiap manusia Islam mestilah sentiasa berjihad menentang hawa nafsu dan syaitan. Ini kerana kedua-duanya adalah musuh di dalam diri mereka sendiri. Ketiganya adalah jihad menentang orang-orang kafir. Jihad menentang kafir terdapat dalam dua cara iaitu:

- Pertama melalui dakwah dengan mengajak orang-orang kafir memeluk Islam.

Ini kerana berdakwah juga adalah salah satu daripada jihad bagi orang Islam. 

- Keduanya adalah jihad melalui senjata iaitu memerangi orang kafir yang menggugat agama dan umat Islam. 


Golongan kafir terbahagi dua iaitu kafir zimmi dan kafir harbi. Kafir "zimmi‟ tidak harus diperangi sebaliknya kafir "harbi‟ adalah orang kafir yang mengancam negara, agama dan umat Islam. 

Apabila umat Islam diserang pihak musuh umat wajib berjihad bagi mempertahankan agama Islam. Di sini hukum fardu kifayah pada asalnya bertukar menjadi fardu ain apabila pihak musuh menyerang. Sebenarnya peperangan bukanlah suatu jalan penyelesaian di dalam Islam. Islam bukanlah agama pengganas seperti yang diwar-warkan oleh media Barat. Islam lebih menjurus kepada perdamaian melalui syura. Hal ini dapat dilihat pada zaman Rasulullah bagaimana setiap masalah dapat diselesaikan melalui perundingan. Namun demikian, sebagai agama yang benar, maka umat Islam diwajibkan mempertahankan agama apabila diganggu-gugat oleh pihak musuh. Hal ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah apabila perang Badar yang merupakan perang pertama bagi umat Islam berlaku. 

Hal ini timbul kerana agama Islam dicabar dan digugat oleh orang kafir. Justeru apabila keadaan ini berlaku, umat Islam berkewajipan mempertahankan agama Islam. Firman Allah SWT surah al-Baqarah ayat 190 yang bermaksud, “Perangilah ole hmu pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang melampaui batas.” 

Jihad menentang golongan munafik Seterusnya umat Islam juga berjihad menentang golongan munafik. Mereka tergolong sebagai musuh yang berselindung di sebalik nama Islam. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang membicarakan berkenaan golongan munafik ini. Justeru kebanyakan ayatayat Madaniyyah sering mendedahkan mengenai golongan munafik. Ini kerana dakwah Islamiah semasa zaman Madinah banyak terdedah kepada ancaman munafikin ke atas agama dan umat Islam. Bahkan terdapat surah al-Munafiqun yang dikhususkan kepada musuh Islam ini. 

Antara dalil al-Quran surah at-Taubah ayat 96 yang menyeru kepada jihad ke atas orang kafir dan munafik ialah, “Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orangorang munafik itu, bersikap kasarlah terhadap mereka.” Jihad menentang kemungkaran dan kezaliman Selain daripada berperang menentang musuh, umat Islam juga digalakkan menentang kemungkaran dan kezaliman di dalam sesebuah pemerintahan. Oleh itu, segala kebatilan yang terdapat dalam masyarakat mestilah ditentang sama ada melalui perbuatan, perkataan ataupun dengan hati. Riwayat an-Nasai, Rasulullah pernah berkata mengenai jihad yang paling utama yang bermaksud, “Jihad yang paling utama adalah menyatakan perkataan yang hak di hadapan seorang penguasa yang zalim.” 

Selain itu dalil daripada al-Quran surah Ali Imran ayat 11 yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” 

Sehubungan itu, setiap orang mestilah mengamalkan konsep amar makruf dan nahi mungkar. Ini kerana selain tentangan pihak musuh, Islam menjadi lemah ekoran sikap umatnya sendiri. Ada pihak yang tidak prihatin dengan konsep amar makruf nahi mungkar justeru membiarkan saudaranya terus dalam kemaksiatan dan kesesatan. Maqasid syar‟iyah.( agama, maruah, harta, akal, nyawa) Umat Islam juga disarankan mempertahankan hak masing-masing. Di sini hak-hak maqasid syar‟iyah juga tergolong sebagai salah satu jihad dalam Islam. Sebagai contoh, keluarga Yaser dan isterinya Sumayyah yang gugur syahid setelah diseksa dengan kejam oleh kaum kafir kerana mempertahankan agama Allah SWT. Begitu juga yang berlaku ke atas saidina Bilal yang dadanya dihempap batu di bawah pancaran terik matahari tetapi masih mengekalkan syahadah dan istiqamah kepada Allah SWT. 

Kesemua ini adalah contoh-contoh jihad sama ada mempertahankan agama, maruah, harta, akal dan nyawa. Bahkan umat Islam pada hari ini pun berkewajipan menjaga hak masing-masing dan sekiranya mati maka ia tergolong sebagai salah syahid di dalam Islam. 

Menuntut ilmu Selain berjihad di medan perang, umat manusia juga disyariatkan berjuang dalam bidang keilmuan. Ini penting bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam setiap lapangan. Apa ertinya kemenangan di medan perang sekiranya kemenangan itu tidak diisi dengan masyarakat berilmu. Sudah pasti suatu hari nanti umat Islam akan dijajah semula dalam bentuk lain seperti bidang sains teknologi, kedoktoran, ketenteraan dan sebagainya. 

Hal ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT surah at-Taubah ayat 122 yang bermaksud, “Tiada patut orang yang beriman keluar semuanya ke medan perang. Mengapakah tiada keluar sebahagian di antara tiap-tiap golongan mereka, supaya mereka yang tinggal memahami agama dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka itu waspada.” 

Umat Islam digalakkan mempelajari segala ilmu yang bermanfaat sama ada ilmu fardu ain seperti fikah, tauhid atau ilmu fardu kifayah seperti sains, perubatan dan sebagainya. Ini bertujuan supaya umat Islam tidak bergantung kepada bangsa lain, bahkan fardu kifayah boleh menjadi wajib sekiranya tidak ada orang Islam yang mempelajarinya. Sebagai contoh, ilmu perubatan menjadi wajib kepada umat Islam mempelajarinya sekiranya tidak terdapat doktor Muslim yang dapat merawat pesakit Islam. 


Realiti Amalan Jihad pada Masa Kini 

Istilah jihad pada hari ini sudah diterima pakai dengan lebih meluas. Sama ada negara di blok Timur atau blok Barat menerima pakai istilah jihad. Tetapi apa yang pastinya, jihad itu dipandang dari dua sudut iaitu positif dan negatif. Sebagai contoh, jihad dipandang negatif oleh pihak Barat terutamanya selepas peristiwa 11 September. Islam telah digelar sebagai agama yang ganas dan umat Islam terutamanya di Afghanistan sebagai pengganas. Sebaliknya pula dalam serangan pencerobohan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya ke atas Iraq pandangan terhadap jihad telah berubah. Rakyat Iraq berkewajipan mempertahankan negara mereka demi agama Islam dan negara mereka. Serangan pihak musuh adalah pencerobohan ke atas kedaulatan negara dan ianya mesti dipertahankan. 

Untuk itu, jihad itu perlu dinilai sebagai mempertahankan agama dan negara daripada musuh. Dalam konteks negara Malaysia, konsep jihad perlu difahami secara lebih luas dan terbuka. Amalan jihad perlu jelas agar tidak mengganggu-gugat keamanan dan kedamaian rakyat dan negara. Terdapat peristiwa-peristiwa yang dikaitkan dengan jihad telah berlaku di dalam negara seperti peristiwa Sauk. 

Sebenarnya jihad perlulah bermatlamatkan mendapat keredaan Allah SWT bukannya memenuhi ideologi politik dan agenda individu yang tertentu. Jika matlamat jihad terpesong dari landasan syariat maka perjuangan tersebut adalah kosong dan berdosa. Untuk itu, setiap pengorbanan atau jihad hendaklah jelas dan bertujuan fi sabilillah. Realitinya banyak lagi yang perlu diperjuangkan oleh masyarakat Islam di Malaysia khasnya. Selain berjihad melalui peperangan, umat Islam mestilah berusaha mengangkat semula kegemilangan Islam dalam semua bidang. Kekuatan Islam dan umatnya pada hari ini bukan semata-mata kerana semangat dan kekuatan dalam ketenteraan sahaja. 

Sebaliknya kekuatan ekonomi, politik, ketenteraan, sains, teknologi dan sebagainya adalah inti pati kekuatan yang sebenarnya pada hari ini. Justeru dengan penguasaan tersebutlah umat Islam akan digeruni pihak musuh dan seterusnya boleh menjadi pemangkin kepada negara-negara lain di dunia ini. Hari ini kuasa tersebut dimiliki oleh Barat setelah mencedok dan mengaplikasikan segala ilmu dalam tamadun Islam. 


Kesimpulan:

Umumnya jihad membawa maksud yang sangat luas. Ianya tidak boleh disempitkan kepada jihad di medan perang semata-mata. Justeru jihad dalaman seperti melawan hawa nafsu dan godaan syaitan juga tergolong jihad fardu ain. Sebaliknya jihad menentang orang-orang kafir hanyalah jihad fardu kifayah dan ianya bertukar wajib apabila pihak musuh menyerang atau mengancam Islam dan umatnya. Akhir sekali saranan untuk mengaplikasikan jihad di dalam kehidupan seharian Muslim seperti berikut; jihad melawan hawa nafsu, godaan syaitan, kaum kafir "harbi" golongan munafik dan amal makruf nahi mungkar. Oleh itu, sekiranya setiap Muslim mengamalkan serta menghayati semangat jihad nescaya kegemilangan Islam akan kembali menyinari dan membawa kesejahteraan kepada alam ini.


13.3 Etika dalam Sains

Prof. Mohammed Abdus Salam, penerima Hadiah Nobel 1979 dalam kajian Fiziks, pernah berkata: “Tidak dapat disangkal lagi pada hari ini bahawa dari semua tamaddun di dunia ini,negara-negara Islam adalah paling lemah dalam ilmu sains. Kemelut ini tidak boleh diambil mudah kerana kelangsungan hidup (atau survival) yang bermaruah pada hari ini bergantung kepada kekuatan dalam ilmu sains dan teknologi.”

Bayangkan bahawa sepasukan penyelidik dari planet Marikh datang ke dunia di antara abad ke-9 dan ke-13. Tugas atau misi mereka adalah untuk mengkaji perkembangan budaya dan sosial manusia. Dari pemerhatian mereka, didapati bahawa ada masyarakat yang dinamik dan berkembang ke arah peradaban yang lebih baik dan tinggi, manakala terdapat juga budaya dan peradaban yang kaku dan rendah serta terikat kepada unsur-unsur tradisi dan ritual. 

Para penyelidik ini akan membuat laporan bahawa peradaban yang paling maju adalah peradaban atau tamaddun Islam yang mempunyai pelbagai kemudahan dan infrastruktur seperti adanya Bait-ul-Hikmah, pusat-pusat pemerhatian astronomi, hospital-hospital dan sekolah-sekolah. Baghdad pula merupakan tempat yang paling “bercahaya” kerana ia menjadi pusat intelek dunia di mana cerdik pandai dari seluruh pelusuk dunia datang untuk menuntut ilmu. Nama-nama seperti Ibn Haytham dan Omar Khayyam pula terkenal sebagai saintis moden. 

Akan tetapi pada masa yang sama terdapat perbedaan yang amat ketara sekali dengan tamaddun Eropah di mana mereka tenggelam di dalam Zaman Gelap (Dark Ages), tidak ada perkembangan ilmu. Sebaliknya mereka kelihatan sungguh ganas, seperti Pope yang memerintahkan pembakaran „ahli-ahli sihir wanita‟. Bayangkan pula, sekiranya pasukan penyelidik dari planet Marikh ini dating sekali lagi pada hari ini. Mereka akan terkejut kerana apa yang diperhatikan sepuluh abad yang lalu amat berbeza dari apa yang berlaku sekarang.

Tamadun yang satu masa dahulu merupakan yang paling maju kini telah terperangkap di dalam zaman pertengahan; menolak kepada pembaharuan dan terus berpegang kepada nilai-nilai kuno. Sebaliknya, tamaddun yang kelihatan kaku dan ganas pada masa dahulu telah amat maju ke hadapan. Mereka akan tertanya-tanya apakah telah berlaku pertukaran peranan dari kedua-dua kemenangan peperangan satu pihak ke atas pihak yang lain? Atau adakah kerana telah berlaku perubahan pemikiran dan sikap kedua-dua tamaddun tersebut?

Sudah lebih 700 tahun tamaddun Islam kehilangan hampir seluruh kemahuan dan kebolehan di dalam ilmu sains. Sejak dari itu, selain dari usaha semasa Empayar Uthmaniah dan pemerintahan Mohammed Ali di Mesir, tidak ada usaha-usaha yang signifikan untuk mengembalikan kegemilangan tamaddun Islam. Ini adalah hakikat yang amat dikesali oleh kebanyakan orang Islam.

Sesungguhnya hakikat ini amat merisaukan para reformis Islam pada hari ini. Tetapi, sebaliknya, terdapat para pengamal Islam tradisional tidak merasa kesal dengan hakikat tersebut, malah ada yang selesa dengan kehilangan kemajuan sains kerana mereka berpendapat bahawa pengaruh sekular yang merosakkan dapat dihindar dengan menjauhkan ilmu sains dari Islam.

Kemajuan sains dan ideologi tidak dapat dipisahkan. Justeru, timbul persoalan pokok: adakah Islam itu harmonis dan seiring dengan sains atau pun sebaliknya? Perdebatan yang berlarutan di antara reformis Islam dan pengamal Islam tradisi mengenai persoalan ini tidak membawa kepada penyelesaian kepada kemunduran umat Islam hari ini. Masing-masing berpegang kepada hujah-hujah dan tafsiran-tafsiran yang berbeda walaupun dari sumber yang sama, ia itu dari hadis-hadis atau al-Qurán. Isu pokok perbedaan mereka ialah: sains itu ilmu sekular dan tidak mungkin sebaliknya. Bagaimanapun, ciri sekular sains itu tidak menyangkal kewujudan Tuhan. Akan tetapi bukti-bukti kebenaran sains itu tidak bergantung kepada kepercayaan wujudnya tuhan kerana setiap yang ditemui itu diperolehi daripada usaha-usaha ujian, pemerhatian dan logik.

Sama ada para saintis itu alim atau sebaliknya, ilmu sains tetap tidak berubah.

Perdebatan tersebut tidak akan sampai kepada penghujungnya. Sama ada sains itu sekular atau tidak, hakikatnya ilmu sains amat penting dalam kehidupan pada zaman ini. Setelah dunia berputar masuk abad ke-21, sikap Islam terhadap sains, sama ada tiori atau praktikalnya, memberi impak yang amat penting kepada masyarakat Muslim. Sains bukan lagi merupakan ilmu untuk golongan elit atau cendikiawan sahaja. Sebaliknya ilmu sains telah merubah peradaban manusia; tidak kira untuk kebaikan atau keburukan. Kekuatan ketenteraan, kuasa politik dan kemewahan ekonomi sesebuah negara moden banyak bergantung kepada kebolehannya memahami, mengawal dan mencipta sains moden. Bukti yang amat ketara ialah semasa Peperangan Teluk di antara Tentera Bersekutu dengan Iraq.

Telah terbuku di dalam sejarah bahawa antara sebab kejatuhan tamaddun Islam itu ialah kerana kegagalan menguasai sains. Malah kelemahan Islam dalam sains telah menaikkan kuasa Barat dalam beberapa abad yang lalu. Di zaman pertengahan, perhubungan di antara Islam dan Barat berbeda-beda; ada kalanya mesra dan adakalanya bermusuhan. Pemerintahan Islam di Sepanyol selama tujuh abad telah memberi peluang kepada orang-orang Eropah menimba khazanah ilmu Yunani (Greek) dan Islam. Tetapi apabila timbulnya Peperangan Salib serta penguasaan Empayar Uthmaniah di Balkan, hubungan di antara kedua tamaddun tersebut menjadi tegang tanpa kesudahan. Sikap prejudis dan syak wasangka tersebut diwarisi hingga ke hari ini.

Kemudian timbul Renaissance atau Zaman Kebangkitan di Eropah. Kejatuhan sistem ekonomi feudal dan timbulnya sistem kapitalisme secara meluas yang menyebabkan perubahan masyarakat, telah melahirkan sains moden di Eropah 400 tahun yang lalu. Budaya baru dengan sains moden ini cenderung melakukan pelbagai ujian dan kajian secara lebih teratur berdasarkan kepada alam semula jadi. Mereka tidak lagi terikat dengan „fatwa-fatwa‟ atau cengkaman para paderi atau agamawan. Dengan kemajuan sains, orang-orang Eropah mendapat kekuasaan baru yang tidak pernah mereka impikan. Dengan kuasa ini juga mereka dapat memahami hukum alam dengan lebih mendalam dan seterusnya mencipta teknologi-teknologi yang baru. Malangnya, sains ini juga digunakan sebagai senjata untuk menjajah dan menghambakan tamaddun yang masih mundur teknologinya secara lebih sistematik.

Masyarakat Islam rata-ratanya tidak terdaya menangkis serangan kuasa imperialisme pada abad ke-18. Hampir semua negara-negara Islam, dari Afrika Barat hingga Asia Timur, telah dijajah. Kekuatan pihak penjajah bukan bergantung kepada bilangan askarnya, tetapi kepada penggunaan ilmu sains moden. Pertentangan di antara kedua tamaddun tersebut tidak seimbang kerana satu pihak menggunakan senjata-senjata moden, seperti senapang dan meriam, manakala satu pihak lagi masih menggunakan senjata lama seperti pedang dan panah. Peralatan yang canggih seperti kapal wap, telegraf, barangan hasil mesin dan kaedah organisasi moden merupakan tulang belakang kepada kekuatan penjajah. 

Negara-negara Islam berperang dengan kekuatan dari segi bilangan tetapi tanpa teknik peperangan moden mereka telah tumpas kepada tentera penjajah yang lebih berdisiplin dan teratur serta berkelengkapan moden, walaupun mempunyai bilangan yang jauh lebih kecil. Konfrontasi di antara dunia Barat, yang lebih maju dari segi industri dan ekonomi, dengan dunia tradisional telah menimbulkan pelbagai kesengsaraan. Hasrat dunia Barat ialah "memberi‟ tamaddun baru kepada negara-negara yang dijajah dengan memusnahkan budaya tempatan. Kesan parut kemusnahan tersebut masih terasa hingga ke hari ini.

Era kemerdekaan negara-negara yang dijajah bermula selepas Peperangan Dunia Kedua. Setelah berlaku kemusnahan sistem ekonomi, sosial dan budaya tradisional serta hubungan politik oleh kuasa imperialisme Barat, timbul pula gejala politik orang-orang Islam di kalangan negara-negara tersebut. Namun peranannya amat terbatas, hinggakan persempadanan negara-negara mereka ditentukan oleh kuasa penjajahan sebelum mereka pulang. Kegembiraan mendapat kemerdekaan tidak bertahan lama. 

Perampasan tanah Palestin, kekalahan orang-orang Arab di dalam peperangan dengan Israel, kegagalan pemerintah negara-negara yang baru merdeka menangani dan mentadbir dengan sistem demokrasi yang stabil telah memusnahkan harapan orang-orang Islam mengecapi kemerdekaan sebenarnya. Kegagalan pemerintahan secular nasionalis-sosialis, - seperti

Mossadeq di Iran, Nasser di Mesir, Sukarno di Indonesia and Zulfikar Ali Bhutto di Pakistan – telah menimbulkan kekecewaan yang lebih mendalam dan seterusnya membibitkan pergerakan-pergerakan fundamentalis.

Bentuk pemerintahan birokrasi-tentera dan puak feudal tertentu menjadi dominan di kalangan negara-negara Islam. Sistem pemerintahan sedemikian amat jauh menyimpang dari nilai-nilai sosial dan etika Islam itu sendiri. Akan tetapi kekuatan pemerintah dan negara demikian telah dapat membina identiti dan menyatukan masyarakat Islam moden. Malangnya pemerintah negara-negara Islam ini tidak menunjukkan kebolehan atau kemahuan untuk mengatasi dan menangani masalah-masalah dan cabaran-cabaran dunia moden, terutamanya pembangunan sains dan budaya yang rasional. 

Jika dibandingkan dengan negara-negara bukan Islam yang mempunyai sumber dan tahap pembangunan budaya yang hampir serupa, negara-negara Islam masih jauh ketinggalan. Pembangunan ilmu sains yang rendah merupakan kegagalan yang memberi impak kepada kemunduran negara-negara Islam pada hari ini. Natijahnya, negara-negara Barat pasti menguasai bidang ekonomi dan intelek untuk jangka masa yang panjang. Walaupun kita telah melangkah ke abad 21, masih tidak nampak pergerakan atau perubahan yang ketara di negaranegara Islam untuk mencapai kebudayaan yang berteraskan sains.

Kegagalan kemajuan sains di kalangan negara-negara Islam juga berpunca dari kegagalan pemerintah mempertahankan kedaulatan dan sumber negaranya, menyediakan keperluan asas kepada rakyat jelata dan menubuh kerajaan yang benar-benar mewakili rakyat. 

Jika kita lihat krisis di negara-negara Islam semuanya adalah berpunca dari krisis politik. Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang-orang Islam terjadi pemisahan kuasa politik dengan masyarakat. Dari Maghribi ke Syria, dari Iraq ke Pakistan dan Indonesia, orang-orang Islam telah diperintah oleh kumpulan minoriti yang mempunyai kuasa mutlak. Hampir semua pemerintah negara Islam mengamalkan korupsi dan penindasan rakyatnya daripada mempertahankan sumber alam atau kedaulatan Negara masing-masing dan mereka lebih cenderung tunduk kepada campur tangan luar.

Kemelut ini juga telah menyebabkan negara-negara Islam jauh ketinggalan untuk bersaing dengan negara-negara lain dalam mengejar kemajuan dan melakukan penciptaan yang baru kerana kurangnya ilmu dan peralatan.


Sains: Ciri-ciri dan Sumber

Masa depan kemanusiaan dan sains berkait rapat. Sains, yang dipandu oleh prinsip moral yang sejagat, menentukan kelangsungan hidup manusia yang bertamaddun di dunia ini. Dengan sains manusia dapat berhadapan dengan angin dan ribut, penyakit-penyakit dan kepercayaan tahyul (atau superstitions) yang menghantui manusia.

 

Pelbagai tentangan terhadap sains telah berlaku dari semenjak dahulu kala lagi, terutamanya dengan kepercayaan agama bahawa sains adalah ilmu yang tidak mempercayai agama. Sains pernah dikatakan memusnahkan nilai-nilai moral beragama. Disamping itu, kekecewaan yang ketara terhadap apa yang dijanjikan oleh sains untuk memberi kesejahteraan kepada manusia sejagat. Sains telah menjadikan globalisasi dunia, tetapi sains masih gagal untuk menyatu padukan manusia. Kita kini hidup di dalam suasana pencemaran alam yang membahayakan di mana sistem ekologi telah dimusnahkan oleh sisa tamaddun industri. Kerap kali manusia yang mempunyai agenda cita-cita ketenteraan menilaikan sains untuk membuat rekabentuk yang membahayakan manusia.


Justeru, sains jika disalahgunakan boleh merosakkan peradaban manusia. Kelahiran sains moden telah bermula sejak dari zaman tamaddun Islam lagi tetapi kemuncaknya ialah methodologi yang lebih saintifik dalam membuat ujian, penemuan dan ciptaan. Selepas Copernicus, seorang ahli astronomi berbangsa Poland, dunia tidak lagi dianggap sebagai pusat cakerawala tetapi hanyalah sebuah dari banyak planet yang mengelilingi sebuah bintang di satu sudut galaksi. Manusia mula menyedari bahawa mereka bukanlah pusat segala ciptaan, tetapi hampir tidak bermakna jika dibandingkan dengan ciptaan alam semesta ini. Terdapat banyak lagi ahli-ahli dalam bidang-bidang sains yang berjaya membuat penemuan baru selepas mereka bebas dari cengkaman kuasa gereja Kristian di zaman pertengahan.


Dengan penemuan-penemuan yang baru dalam Revolusi Saintifik, maka lumpuhlah kuasa Gereja dan seterusnya menukar konsep Tuhan di dalam theologi Kristian. Anehnya, penemu-penemu tersebut (seperti Descartes, Galileo, Voltaire dan Newton) bukanlah orang yang tidak beragama. Sebaliknya mereka juga penganut agama Kristian yang kuat. Malah mereka berpendapat bahawa hukum alam ini tidak akan sempurna tanpa wujudnya satu Tuhan atau Pencipta. Tetapi bagi mereka Tuhan ini berbeza dengan Tuhan yang mereka pernah pelajari yang tugasnya hanya memakbul doa manusia yang meminta atau melakukan mukjizat untuk orang-orang tertentu. Mereka kini mempercayai bahawa Pencipta itu adalah yang mengatur pergerakan alam yang amat kompleks ini mengikut hukum-hukum tertentu.

 

13.4 Kesan Perkembangan Kontemporari kepada Masyarakat dan Negara

Gelombang globalisasi kontemporari adalah yang terbesar dan terkuat pernah melanda dunia. Pengaruhnya sungguh besar dan luas sehingga ia meliputi semua bidang peradaban. Demi menjamin proses pembinaan peradaban di negara ini di atas landasan kerohanian dan moral yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain berterusan tanpa banyak terjejas, kita dipanggil untuk menilai buruk baik fenomena globalisasi ini dengan lebih teliti lagi.

Cabaran globalisasi kini memerlukan pembentukan generasi muda yang berdaya tahan melalui ilmu dan kemahiran. Berdasarkan beberapa aspek dan isu globalisasi yang telah dibicarakan, dapatlah dikatakan bahawa dunia hari ini sedang menghadapi satu cabaran dan perubahan yang sangat hebat yang belum pernah berlaku pada abadabad sebelumnya. Cabaran globalisasi dan implikasinya terhadap ekonomi, budaya, teknologi dan politik adalah luas dan mempunyai kesan yang positif dan negatif. Penerimaan terhadap perubahan haruslah difikirkan dan diterima secara positif dan membina untuk kemajuan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Kebaikannya perlu dimakmurkan dan dimanfaatkan oleh semua rakyat. Keburukannya perlu dihindari dan diatasi sebaik mungkin. Untuk berjaya, kita perlu menggunakan segala kekuatan dan kekayaan yang ada pada kita, terutamanya kekayaan daIarnan (inner riches) yang terdapat dalam agama dan tradisi kita baik yang berupa kerohanian mahu pun yang berupa intelektual atau keilmuan. Globalisasi yang membawa mesej kesejagatan, merentasi sempadan negara dan yang menggambarkan kerjasama, sokongan dan perpaduan antara negara dan antarabangsa sewajarnya perlu diberi nafas baru agar manfaatnya turut sarna dinikmati oleh negara-negara kecil, bukannya sekadar menguntungkan negara-negara maju.

No comments:

Buku Pelawat:


PARA PENGUNJUNG DAN PELAJAR YANG MELAWAT BLOG INI SILA SUBSCRIBE, DAFTAR DIRI SEBAGAI FB FOLLOWERS ATAU BOOKMARK DI BAWAH UNTUK DAPATKAN POST SETERUSNYA. TERIMA KASIH

Bookmark blog ini:

Tekan Control + D

Like TITAS

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan

Anda suka Blog ni? Belanja saya Kopi!

Anda suka Blog ni? Belanja saya Kopi!