السلام عليكم ورحمة الله



Salam Sejahtera! Selamat datang ke blog Sifu Haba. Blog ini disediakan khusus untuk pelajar-pelajar yang mengikuti Interaksi kursus TITAS dan Kursus Tamadun Islam dan Asia & Falsafah dan Isu Semasa di Institut Pendidikan Guru Malaysia dan IPTA/IPTS. Saya mengalu-alukan kunjungan anda semua. Sekiranya ada apa-apa komen, perbincangan, persoalan dan sebagainya sila catatkan di bahagian 'comments' di akhir setiap post. Terima kasih... Salam Tamadun.

Thursday, March 1, 2012

Tamadun Cina

Bina Kedai Affiliate Amazon Dalam 5 Minit

PENGERTIAN TAMADUN

Perkataan tamadun berasal dari perkataan Arab. Bagaimanapun perkataan ini tidak asing lagi pada masa ini. Perkataan yang sama erti dengan tamadun ialah peradaban atau dalam bahasa Inggeris ialah Civilisation . Walaupun semua istilah di atas adalah berbeza tetapi secara umumnya bererti maju atau mencapai kemajuan.
Para Sarjana ilmu ketamadunan mengemukakan pengertian tamadun kepada empat aspek iaitu:-


1. Aspek pertama tamadun adalah suatu tingkat pencapaian atau kemajuan hidup manusia dari cara hidup nomad kepada kehidupan hidupan kota atau Bandar.
2. Aspek Kedua tamadun dianggap sebagai proses untuk mencapai kemajuan atau kebaikan di dalam kehidupan.
3. Aspek ketiga, tamadun diberikan makna kombinasi kepada kemajuan aspek pemikiran rohani dan jasmani atau material manusia.
4. Aspek keempat tamadun adalah keadaan kemajuan manusia yang diasaskan kepada ketinggian akhlak atau budi pekerti, tidak hanya setakat hidup di kota atau di Bandar atau mencapai kemajuan material.


LATARBELAKANG TAMADUN CINA

Tamadun Cina dipercayai bermula kira-kira pada milenium ke-6 Sebelum Masihi (SM) dan merupakan salah satu tamadun yang tertua di muka bumi selain daripada Tamadun Mesir (Lembah Sungai Nil), Mesopotamia atau Sumeria (Lembah Sungai Tigris dan Sungai Euphrates), India (Lembah Sungai Indus) dan Tamadun Yunani (Eropah). Sifat keterbukaannya dalam berinteraksi dengan tamadun-tamadun lain, integratif dan dinamik menyebabkanya menjadi lebih mampan walaupun pernah dicabar oleh tamadun-tamadun lain. Walaupun mengalami perubahan-perubahan dalam proses perkembangan yang panjang, namun identitinya dikekalkan sebagai satu tamadun berkesinambungan dan kekal pada keseluruhannya.

Walaubagaimanapun, berdasarkan bukti-bukti penemuan arkeologi antara kebudayaan-kebudayaan Neolitik ( Zaman batu baru) di Yangshoa di provinsi Shaanxi menunjukkan, Kebudayaan Yangshao telah wujud pada milenium ke-5. Tapak tradisi kebudayaan Yangshoa ini dijumpai di teres-teres berhampiran cawangan-cawangan Sungai Wei dan Huanghe (The Yellow River), kerana kawasan ini mempunyai tanah yang subur, lembap dan mudah untuk dikerjakan sebagai kawasan pertanain dan penempatan. Kegiatan awal bangsa Yangshoa ialah pertanian, penternakan babi dan mengukir tembikar (painted pottery). Adalah dipercayai, bijirin (milet) adalah makanan asasi atau rugi bangsa Yangshoa. Perkembangan peradaban bangsa Yangshoa di bahagian tengah dan utara negara Cina menelan masa kira-kira 6 milenium iaitu lebih kurang 5000 tahun sebelum diambilalih oleh kebudayaan Longshan.

Kebudayaan Longshan bermula sejak pertengahan kurun ke-2 dan zaman Gangsa Awal (Bronze Age) lewat milenium ke-2 atau milenium pertama. Pertemuan arkeologi menunjukkan peradaban ini terletak di Lembah Sungai Yangzi di provinsi Jiangxi dan juga di Sanxingdui,di provinsi Suchuan. Peradaban ini lebih maju berbanding ketamadunan Yangshoa,di mana tembikar yang dijumpai menunjukkan berkualiti, kerana dipercayai menggunakan mesin peroda tembikar (potter’s wheel) dalam pengeluarannya.

Dalam tahun 1766SM – 1122SM, gangsa dinilai sebagai simbol elit oleh Dinasti Shang dan tukang-tukang gangsa dihormati sebagai ahli masyarakat yang penting semasa pemerintahannya. Zaman Dinasti Shang memperlihatkan perkembangan tamadun yang lebih komplek dengan pembentukan negara-kota, penggunaan sistem tulisan, peningkatan pengkhususan pekerjaan dan wujudnya sistem masyarakat yang berlapis. Peradaban Shang berpusat di bahagian utara He’nan di mana dua tapak arkeologi di Zhengzhou dan Anyang menunjukkan sejarah ketamadunan Dinasti Shang.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TAMADUN CINA1. Alam Sekitar
Tempoh Neolitik di negara Cina mempunyai kedudukan yang unggul dalam sejarah perkembangan peradaban China. Peradaban Yangshoa yang menjadikan bijirin (milet) sebagai makanan asasi telah menggalakan perkembangan dalam kegiatan pertanian. Tapak peradaban Yangshoa yang terletak di kawasan di mana tanah pasirnya telah dimendapkan oleh angin selama berkurun-kurun lamanya menjadikan kawasan ini subur dan sesuai untuk kegiatan pertanian. Penemuan benih padi di Lembah Yangzi, di Selatan Teluk Hangzhou, provinsi Zhejiang menunjukkan penanaman padi telah dilakukan secara meluas.


Geografi Negara China yang luas, menyebabkan keadaan cuaca yang berbeza dan ini telah mempertembungkan dua kebudayaan iaitu Kebudayaan Milet (Bijirin) dan kebudayaan Sawah Padi, yang wujud secara berasingan di bahagian Utara dan Selatan China.

Pada asasnya, bahagian timur China menghadap lautan, bahagain barat-laut direntangi oleh gurun yang luas dan bahagian barat-daya adalah dataran tinggi Qinghai-Tibet, dataran yang terluas di dunia dengan ketinggian 4000-5000 meter secara purata. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan sungai mengalir ke arah kawasan Selatan atau Timur dan seterusnya menggalakkan pergerakkan penduduk, terutamnya para petani untuk menetap di bahagian Selatan China. Hasil dari pola pergerakkan ini, perkembangan kebudayaan juga turut beralih ke Selatan China.

2. Bahasa dan sistem tulisan cina
Bahasa cina telah digunakan dengan meluas di zaman silam dan ia masih digunakan sekarang berbanding dengan bahas-bahasa kuno lain. Ini adalah kerana, walaupun mempunyai pelbagai sebutan dialek, tetapi hanya satu tulisan bercirikan karektar digunapakai oleh semua rakyat cina. Ini merupakan faktor penting dalam menyatupadukan rakyat cina dan perkembangan tamadunnya.


Karektar yang digunapakai dalam tulisan cina biasanya berdasarkan kepada lambang bergambar (xiang xing) dan dikenali sabagai Hanzi (tulisan Han), lambang petunjuk (zhishi), lambang petunjuk fikiran (huiyi), dan gabungan bentuk bunyi (xing sheng), bersamaan dua kaedah yang berfungsi memperluaskan erti atau penggunaan sesuatu huruf cina, iaitu ‘mutual semantik transfer’ (zhuanzhu) dan ‘loan character’ (jiajie). Keedah-kaedah tersebut digolongkan sebagai ‘six principles of writing’ (liushu).

Perkembangan tulisan cina telah mempengaruhi bangsa-bangsa lain terutamanya si Asia Timur seperti Jepun, Korea dan juga Vietman, yang telah mengadaptasi karekter tulisan cina ke dalam bahasa mereka, walaupun mereka mempunyai bahasa sendiri.

3. Pembentukan bangsa Tionghoa
China merupakan satu negara yang luas dan besar. Penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa yang pada zaman Neolitik dan zaman batu menduduki tiga kawasan utama, iaitu Utara, Tengah dan Selatan.
Menurut para sarjana Cina, terdapat tiga kumpulan bangsa yang terbesar iaitu kumpulan Yan-Huang yang diwakili oleh kaum Yang Di dan Huang, kumpulan Feng-Yang dan kumpulan Miao-Man yang terdiri dari suku kuam bagsa di Selatan China.


Proses peredaran zaman yang panjang telah membentuk kerjasama antara bangsa tersebut. Peperangan, berinteraksi, berkahwin campur dan tiru-meniru budaya dikalangan bangsa ini telah mewujudkan satu bangsa yang kuat yang dikenali sebagai bangsa Tionghoa (Zhonghua minzu).

4. Pandangan semesta dan kepercayaan
Pandangan animisme merupakan pegangan dan kepercayaan penduduk primitif cina di mana pemujaan binatang, tanaman, matahari, bintang, sungai serta kuasa-kuasa lain yang dipercayai wujud pada zaman neolitik dengan bangsa Yangshao dan Longshan lagi. Selain daripada kepercayaan animisme ini, konsep Tian iaitu langit sebagai makluk unggul (supreme being) yang menguasai nasib seseorang telah wujud sejak zaman dinasti Zhou (kk 1123 SM-221SM).


Tian dalam kontek kepercayaan konfusianisme bermakna prinsip tertinggi dalam alam semesta. Konfusianisme merupakan doktrin kenegaraan yang merangkumi aspek falsafah, keagamaan dan sosiopolitik. Asas utama dalam pengajaran konfusianisme adalah nilai dan sifat moral yang mulia, terutamanya mengenai perikemanusian (ren), kesusilaan (li) dan ketaatan kepada ibu-bapa (xiao). Pujangga agung konfusianisme, Mencius (372 SM –289 SM), berpendapat semasa dilahirkan manusia mempunyai empat sifat yang baik iaitu perikemanusiaan (ren), kewajaran (yu), kesusilaan (li) dan kearifan (zhi).

Dong Zhongshu (179 SM – 104 SM), seorang lagi pujangga konfusianisma di zaman dinasti Han mencipta satu falsafah Yin-Yang yang menceritakan bahawa insan merupakan sebahagian daripada Tian. Oleh itu wujud satu pertalian di antara insan dengan Tian. Kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan duniawi akan menyebabkan kemarahan oleh Tian dengan mencipta keadaan luar biasa sebagai menifestasi amarannya.

Konsep Tian juga wujud dalam kepercayaan Daoisme. Kitap Daoisme dan Yijing menceritakan bahawa Tian adalah segala-galanya. Kelahiran sesuatu hayat juga dipercayai akan berakhir dan kembali kepada akhir hayat mereka iaitu Dao.

5. Sistem politik dan pemerintahan
Perkembangan pesat pemikiran politik di China bermula pada zaman pemerintahan dinasti Qin (221 SM – 209 SM). Antara aliran pemikiran politik yang penting ialah Konfusianisme, Daoisme, Legalisme dan Moisme. Walaubagaimanapun, Legalisme bermula sebelum dinasti Qin, di mana teori dan pelaksanaan konsep Legalisme telah berjaya membawa pembaharuan dalam sistem pemerintahan dengan menggantikan sistem pemerintahan feudal yang bercirikan pelbagai negeri dan jajahan (multistate) kepada sistem pentadbiran commendaries dan counties (junxian zhi) iaitu kerajaan birokratik berpusat (centralized bureaucractic government). Sistem in telah menyumbangkan kepada pengekalan pentadbiran dan kestabilan politik di sepanjang sejarah ketamadunan cina.


Pemikiran politik berasaskan Daoisme bertentangan dengan apa yang diterapkan oleh pemikiran Konfusianisme. Daoisme berpendapat bahawa pemerintah tidak perlu menguatkuasa sebarang usaha yang keras (wuwei) dan meneruskan kehidupan secara primitif yang menghormati diri dengan alam semesta.
Manakala pemikiran politik Moisme pula menegaskan penyelarasan peraturan dan pembentukan kuasa pusat (shangtong) tidak bersesuaian dengan pihak pemerintah. Ini adalah kerana ajarannya yang menitikberat kepada jimat-cermat (jieyong) dan pelantikan pegawai kerajaan berdasarkan kepada kelayakan dan kemampuan (xuan xian yu neng) sukar untuk dilaksanakan.


6. Kemasukan Islam di Cina
Peluasan kawasan Islam itu berlaku ketika di zaman khalifah AL-Walid bin Abdul Malik. Panglima Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam ke Timur hingga ke sempadan negara China adalah Qutaibah bin Muslim. Akibat daripada penguasaan Islam ke timur dan kekalahan tentera China di sungai Talas maka ini telah menghalang kerajaan China pada ketika di bawah Dinasti Tang daripada mengekalkan kuasa di Asia Tengah.


Berikut terdapat beberapa keadaan bagaimana Islam tersebar ke negara China:
i. Berdasarkan sumber dari China, Maharaja Tang II telah menghantar utusan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menghantar pendakwah ke negara tersebut. Nabi telah menyambut baik dengan menghantar tiga orang pendakwah. Dua daripada pendakwah itu meninggal dunia semasa perjalanan yang amat jauh, dan hanya seorang sahaja yang selamat sampai ke China. Maharaja tersebut telah membina sebuah masjid untuknya. Bermula dari itu beliau mula menyebarkan Islam di negeri China. (Jameel Abdullah, present Islamic world, part 2, p.in Saudi Arabia, page. 495, in Arabic) .


ii. Semasa di zaman Khalifah Al-Rashidin yang ketiga iaitu Uthman bin Affan, baginda telah menghantar Saad bin Abi Waqqas melawat negeri China pada tahun 651 M (29Hijrah) untuk menyampaikan dakwah kepada Maharaja China. Hasil daripada lawatan tersebut, maharaja China telah mengarahkan pembinaan Masjid yang besar dan indah di Bandar Canton atau kini dikenali sebagai Guangzhou. (Abdur- Rauf, 1994).

iii. Tentera Islam dibawah Qutaibah bin Muslim menjalankan penaklukan ke atas Bandar Kashgar ibu kota Turkestan Timur pada tahun 714 M dan menyeru Maharaja China memeluk Islam. (Turkestan Timur adalah sebuah negara merdeka sehingga ditakluk oleh kerajaan Manchu tahun 1759. Pada tahun 1876 ia memberontak dan merdeka dari kerajaan Manchu dan pada tahun 1949 ia di kuasai oleh kerajaan komunis China).

iv. Dalam tahun 757 M. (138 Hijrah) Jeneral Lien Chen memberontak menentang Maharaja Su Tsung. Atas permintaan Maharaja Khalifah Abbasiyah iaitu Khalifah Al-Mansor telah mengirimkan 4000 orang tentera yang terdiri daripada orang Islam berbangsa Turki ke China. Tentera Islam yang dikirimkan berjaya dalam misi tersebut. Namun begitu tentera tersebut terus tinggal di negeri China dan berkahwin dengan wanita tempatan. Ini membantu dalam penyebaran Islam di China. (Abdur-Rauf, 1994).

v. Sesetengah pendakwah ke China melalui laut bersama pedagang dan menyebarkan Islam di Bandar-bandar seperti Shanghai, Guangzhou, dan sebagainya (Abdullah, 1994).

vi. Dalam kurun ke 4 Masehi (10Hijrah), Raja Turkestan Timur memeluk Islam. Ini memudahkan lagi penyebaran Islam di Turkestan Timur dan China (Muhyiddin Hasan, 1987).

vii. Bila masyarakat berbangsa Uyghur yang tinggal di Turkestan Timur memeluk Islam, maka mereka mula menyebarkan Islam di Turkestan Timur dan China.( Abdur-Rauf, 1994).

viii. Bila Maharaja China mula tertarik dengan kebaikan agama Islam maka beliau telah menjemput beberapa pendakwah Islam secara rasmi. Pendakwah tersebut dapat menyebarkan Islam dengan bebas dan selesa. (Jameel Abdullah).

Berikut adalah zaman gemilang Islam di China pada peringkat awal.
1- Zaman Tang berakhir 907 Masehi
2- Zaman Sung dari 907-1279 Masehi
3- Zaman Yunnan 1280-1368 Masehi
4- Zaman Ming 1368-1644. Masehi


Pada empat zaman ini jumlah penduduk Islam bertambah dari semasa ke semasa dan maju dari segi pendidikan, politik, ekonomi dan sosial. (Muhyiddin Hasan, 1987).

SUMBANGAN TAMADUN CINA

1. Kesusasteraan dan Kesenian
Sejarah kesusasteraan cina bermula seawal kurun ke-14 SM dan diteruskan perkembnagannya sehingga lebih 300 tahun. Bahasa cina dapat dikekalkan identitinya walaupun negara China pernah ditalukki oleh orang asing seperti mongol (dinasti Yuan, 1279 –1368) dan orang Manchu (dinasti Qing, 1644 – 1911). Ini adalah kerana tulisan cina tidak bersifat fonetik sebaliknya berbentuk grafik. Sifat yang berbentuk grafik ini telah meninggalkan kesan terhadap kesusasteraan cina dan penyebarannya.


Terdapat pelbagai gengre sastera cina klasik seperti puisi, prosa, drama dan juga fiksyen. Antologi puisi cina yang terawal ialah Shi jing yang mengandungi 305 buah nyanyian kuil, nyanyian istana dan rakyat yang wujud dalam tempoh antara zaman Zhou Barat (kurun ke 11 SM –771 SM) hingga zaman Musim Bunga Musim Luruh (770 SM – 476 SM). Antologi ini dikumpul pada masa konfusius (551 SM – 479 SM) di kawasan Lembah Huanghe. Secara amnya, puisi cina berhubung rapat dengan muzik dan ia bersifat padat dan singkat. Puisinya juga lebih naratif atua diskriptif yang mempunyai fungsi sosial dan politik.

Perbezaan prosa dan puisi adalah kurang jelas. Prosa dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu prosa bercampur puisi (poetic prose), prosa berirama (rhyme prose), rapsody (rhapsody),dan puisi bersifat prosa (poetry prose). Prosa klasik atau dikenali guwen adalah dominan dalam sastera klasik cina dan ia mempunyai fungsi sosial dan politik.

Drama cina berkembang agak lewat kerana penaklukan dinasti Yuan (1279 –1368). Walaubagaimanapun, drama cina dari jenis zaju – drama berbentuk puisi yang digubah mengikut kesesuaian muzik sangat bersemarak pada zaman dinasti Yuan. Drama digunakan oleh penulis sebagai saluran untuk meluahkan ketidakpuasan perasaan dan mengkritik kerajaan pemerintah seperti drama Dou’er Yuan (ketidakadilan Yuan).

Menjelang lewat kurun ke-18, drama rakyat dari pelbagai daerah mula berkembang dan dipentaskan kepada umum. Dari sini, lahirlah opera cina yang menjadi salah satu kegemaran rakyat cina dalam drama. Drama juga digunakan oleh konfusius untuk menerapkan nilai-nilai moral dan etika.

Tamadun cina juga tidak ketinggalan dalam mencipta keseniannya. Muzik klasik, kaligrafi, seni lukis dan seni pembinaan merupakan kesenian yang terawal dalam tamadun cina. Sistem melodi muzik klasik cina adalah kompleks di mana alat-alat yang digunakan dikategorikan mengikut bahan akustik dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Muzik bagi tamadun cina adalah sesuatu yang berharmoni dengan alam semesta dan di letakkan pada satu kedudukan penting pada fahaman konfusius. Pada abab ke-8, kemasukkan muzik dari tamadun lain telah memeriahkan lagi suasana muzik di cina terutamanya dengan kemasukkan tamadun India dan Asia Tengah.

Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling tinggi diberi penghormatan dalam tamadun cina. Kaligrafi ditulis dengan menggunakan dakwat, berus, kertas dan kadang-kadang sutera. Perkembangan kaligrafi telah menghasil pelbagai bentuk tulisan cina. Kaligrafi dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan seni lukis dan puisi. Su Dongpo (1037 – 1101) pada zaman dinasti Song merupakan seorang pelukis dan juga seorang pakar kaligrafi. Seni lukisan cina pada dasarnya terbahagi kepada dua kategori iaitu xieyi (freehand) dan juga gongbi (menggunakan garis halus).

2. Sains dan teknologi

Kajian arkeologi menunjukkan sain dan teknologi Cina telah wujud pada kurun ke-15 sehingga kurun ke-11 SM. Pada awalnya teknologi kejuruteraan digunakan dan dikembangkan kerana untuk mengawal banjir Sungai Kuning. Antara lain-lain teknologi adalah dalam bidang astronomi, perubatan, optik dan kimia. Di zaman dinasti Zhou dalam kurun ke11 hingga ke 3 SM, orang cina telah mampu menyediakan maklumat berkaitan dengan bintang dengan terciptanya peralatan astronomi.

Sampoa digunakan pertama kalinya oleh ahli matematik cina iaitu Xu Yue dalam kurun ke2 SM. Buku jiuzhang suanshu (sembilan bab matemetik) yang ditulis oleh Zhang Cang pada kurun ke-2 menunjukkan penemuan mengenai kuantiti negatif, sistem pecahan dan perpuluhan.

Perkembangan perubatan cina bermula dari sistem perubatan cina tradisional yang terdiri dari teori kosmik dualistik yin dan yang, teori lima elemen, dan juga teori jing dan luo. Teori yin dan yang menyatakan keseimbangan kedua-dua kuasa ini mempengaruhi kesihatan manusia. Teori lima elemen menganggap bahawa tubuh manusia yang terdiri dari organ luaran dan dalaman adalah berpadanan dengan lima elemen dalam alam semesta. Teori jing dan luo merupakan asas kepada rawatan terapeutik seperti moxisbustion (membakar daun moxa) dan akupuntur. Teori ini berpendapat bahawa, organ dalaman, tangan dan kaki adalah berkaitan dan dihubungkan oleh saluran dimana darah dan qi (tenaga dinamik) beredar. Gangguan pada sistem ini akan menyebabkan seseorang tidak sihat. Buku-buku perubatan cina seperti Huangdi neijing dan Bencao gangmu dipercayai sebagai pemangkin kepada perkembangan perubatan modem oleh barat.

Terdapat empat ciptaan agung dalam tamadun cina iaitu teknik membuat kertas, pencetakan, bahan letupan dan kompas. Cai Lun telah berjaya membuat kertas dengan menggunakan fiber tumbuh-tumbuhan pada tahun 105. Teknologi pencetakkan telah mula diperkenalkan semasa pemerintahan dinasti Tang (618 –906) di mana buku jingang jing dipercayai buku yang terawal dicetak iaitu pada 11 Mei 868. Bahan letupan telah dihasilkan oleh ahli kimia cina pada kurun ke-7 apabila ahli-ahli kimia Daois berjaya mencampurkan saltpetre dengan sulfur dn karbon. Pada zaman dinasti Tang, pihak militari telah menggunakannya dalam peperangan. Pada zaman pemerintahan dinasti Han (206 –220 SM) sifat-sifat magnet telah ditemui di cina. Penemuan tentang gejala magnet aruhan (induced magnetism) dalam kurun ke-6, pengherotan (declination) dan juga kekutuban magnet (polarity) pada kurun ke-8 dan ke-9, telah membuahkan penghasilan kompas oleh orang cina dan digunakan semasa pelayaran.

RELEVANSI TAMADUN CINA DENGAN TAMADUN LAIN

1. Pengenalan

Tamadun Cina yang telah lama bertapak mula berinteraksi dengan tamadun luar apabila orang-orang Cina mula berhijrah ke tempat luar. Sistem politik yang berwibawa, kuat dan stabil telah menggalakkan penghijrahan orang Cina ke luar samada untuk melakukan aktiviti ekonomi ataupun mencari penempatan baru. Penggabungan etnik-etnik cina yang kemudiannya dikenali sebagai orang Han atau Cina telah membentuk tamadun yang besar dan berpengaruh. Interaksi tamadun Cina dengan tamadun luar boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu interaksi budaya Cina dengan kawasan bulatan budaya dan juga interaksi budaya Cina dengan kawasan luar lingkaran bulatan budaya.

2. Interaksi dengan kawasan bulatan budaya – Korea, Jepun dan Vietnam

Pada zaman dinasti Shang (kurun ke-16 hingga ke 11 SM) orang Cina telah mengenali Korea sebagai satu entiti kawasannya tersendiri. Orang-orang Cina telah berhijrah ke Korea untuk mengelakkan peperangan dan seksaan politik. Dipercayai pada kurun ke-2 SM, Wiman, iaitu seorang pelarian Cina telah memerintah sebuah wilayah Korea iaitu Chosan. Pada tahun 108 SM, empayar Han berjaya diperluaskan ke kawasan orang-orang Korea termasuk kawasan yang diperintah oleh Wiman. Semasa pemerintahan Han, orang Korea telah dipaksa supaya mengamalkan kebudayaan Cina. Proses perkembangan kebudayaan Cina mencapai kemuncaknya apabila Korea muncul sebagai sebuah negara berfahaman Konfusianisme semasa pemerintahan dinasti Li (1392 – 1910).

Antara unsur-unsur kebudayaan Cina yang amat berpengaruh di Korea ialah konfisianisme dan Buddhisme. Pengaruh konfusianisme dan buddhisme pada Korea sangan kuat sehingga kerajaan Korea menubuhkan institusi pendidikan untuk mengkaji konfusianisme dan buddhisme disamping menjadikan fahaman ini sebagai bahan pengajaran. Tidak cukup dengan itu, demi mengukuhkan lagi fahaman ini, kerajaan menghantar beratus-ratus pelajar ke China untuk mempelajari konfusianisme dan memahami sistem pentadbiran China. Oleh itu, setiap perkembangan dan konsep konfusianisme telah diamalkan sepenuhnya oleh Korea.

Selain daripada kepercayaan, bahasa dan tulisan Cina juga mempengaruhi Korea. Pada kurun ke-15, pemerintah dinasti Li Korea telah mencipta sistem tulisan Korea berpandukan kepada grafik tulisan Cina. Kebanyakan perbendaharaan kata bahasa Korea berasal dari istilah-istilah tulisan atau bahasa Cina. Pengaruh Cina mula terhakis apabila Jepun menakluki Korea pada tahun 1910.

Hubungan Cina dengan Jepun bermula seawal kurun ke-2 SM iaitu di zaman dinasti Qin (221-206SM). Perpindahan teknologi telah berlaku di mana teknologi pertanian, pemeliharaan ulat sutera dan perbuatan perkakas besi dan gangsa dibawa masuk ke Jepun oleh pedagang Cina. Pengaruh kebudayaan Cina berkembang denga pesatnya pada zaman Nara hingga zaman Kesyogunan Tokugawa (664-1867) di mana bahasa, sejarah, falsafah, agama, kesenian, sistem politik dan sebagainya dipelajari oleh pelajar-pelajar Jepun yang dihantar ke China.
Sistem tulisan Jepun, Kana dicipta berasaskan kepada sistem tulisan Cina iaitu Kanji. Buku sejarah terawal Jepun iaitu Nihongi ditulis menggunakan bahasa Cina. Falsafah konfusianisme Cina yang bersendikan Dao begitu terpengaruh dalam sistem pembelajaran, politik dan tatasusila orang-orang Jepun. Perkembangan falsafah konfusianisme di jepun boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama pada kurun ke-5 hingga kurun ke-12, fasa kedua pada kurun ke-12 hingga kurun ke-17 dan fasa ketiga bermula pada kurun ke-17 iaitu zaman pemerintahan Edo atau Kesyogunan Tokugawa (1603-1867).


Vietnam merupakan negara Asia Tenggara yang paling kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Cina. Ini adalah kerana Vietnam merupakan negara yang terdekat dengan China dan pernah menjadi sebahagian daripada empayar China untuk jangka masa yang panjang (111-939). Penaklukan ini meniggalkan kesan yang mendalam kepada pembentukan kebudayaan tempatan. Bahasa, pemikiran, adat resam dan nilai-nilai kehidupan penduduk Vietnam banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Cina. Bahasa Cina merupakan bahasa yang digunakan dalam pentadbiran, pendidikan, kesusateraan dan sebagainya sebelum Vietnam ditalukki oleh kuasa Perancis.

Klasik konfusisnisme yang diasaskan oleh ahli falsafah Cina merupakan pegangan dan pedoman hidup masyarakat Vietnam. Ajaran konfusius juga dijadikan panduan dan rujukan bagi golongan pemerintah dalam pengetahuan politik, ekonomi ddan juga perancangan pendidikan. Selain daripada itu, terdapat juga aspek-aspek harian lain seperti pakaian, seni binaan dan juga budaya hidup orang-orang Vietnam seolah-olah mencerminkan kehidupan orang-orang Cina.

3. Interaksi dengan kawasan luar budaya – Asia Tenggara, India, Dunia Islam dan Barat

Hubungan tamadun Cina dengan Asia Barat dan Eropah agak lambat. Ini adalah kerana kedudukan geografi yang agak jauh dan dipisahkan oleh permukaan bumi yang bergunung ganang serta padang gurun. Negara-negara Asia Tenggara, yang kedudukannya agak dekat dapat berinteraksi dengan kebudayaan Cina seawal zaman pemerintahan dinasti Han (206-220TM). Kerajaan Dinasti Han telah menghantar utusan ke Funan (Kampuchea) dan negara-negara Asia Tenggara lain dalam usaha mencari jalan untuk menembusi Tamadun Rom dan Parsi.

Penghijrahan orang Cina ke Negara-negara Asia Tenggara secara tidak langsung juga menyumbang kepada interaksi antara budaya. Dalam kurun ke-19, kemasukkan beramai-ramai orang Cina dan India oleh penjajah Barat dalam usaha mereka untuk memenuhi permintaan tenaga buruh telah mewujudkan satu kolompok masyarakat Cina dan India di Negara-negara Asia Tenggara. Budaya dan pegangan kehidupan pendatang ini telah mempengaruhi kehidupan penduduk tempatan.

Hubungan Malaysia dengan China dipercayai telah bermula sebelum kegemilangan kerajaan Parameswara Melaka, tetapi hubungan ini bertambah baik apabila Laksaman Ho Chi Ming, yang di hantar Maharaja China untuk berdagang dengan kerajaan Melaka diterima baik oleh sultan Melaka. Asalnya hubungan perdagangan ini telah bertukar kepada hubungan perkahwinan apabila Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sulatan Melaka.

Tamadun Cina dan tamadun India dikatakan bertembung di Asia Tenggara. Kedua-dua tamadun ini mempunyai keagungan masing-masing. Interaksi antara dua tamadun ini, telah membuka lembaran baru dalam konsep kepercayaan buddha. Ajaran buddha yang konsepnya hampir menyerupai konsep Daoisme senang diterima masyarakat Cina, sehinggakan dalam tempoh yang singkat, orang-orang Cina telah berjaya menyusun doktrin buddha dalam satu koleksi yang dinamakan Tripikata yang terdiri dari kandungan kitab Mahayana dan Hinayana.
Perpindahan dua hala kebudayaan China dan India ini terus berlaku bukan sahaja dalam kontek pegangan kehidupan tetapi kepada hampir keseluruhan corak kehidupan kedua-dua tamadun ini. Perpindahan teknologi telah berlaku di mana teknologi pembuatan kertas dari China telah dibawa masuk ke India dan teknologi membuat gula dari India telah dibawa masuk ke China.


Walaupun interaksi dengan tamadun Barat agak lewat, pertembungan dua tamadun ini banyak memberi kesan positif kepada kecemerlangan tamadun dunia hari ini. Tamadun Barat yang terkenal dengan kemajuan sains, telah menggunakan kesempatan ini sepenuhnya apabila mengkaji secara lebih mendalam empat penemuan agung tamadun Cina. Tamadun Cina yang mengutamakan etika dalam pengurusan masyarakat dan negara dianggap oleh para intelektual cina sebagai penghalang kepada kemajuan sains dan teknologi. Pertembungan tamadun ini telah menyedarkan para intelektual cina supaya melancarkan satu revolusi yang dikenali sebagai Gerakan Kebudayaan Baru dalam usaha untuk memajukan negara China.

Penutup

Tamadun Cina merupakan satu tamadun yang kuat pengaruhnya. Perkembangan tamadun Cina sehingga ke dunia Barat menunjukkan tamadun cina berupaya bersaing dengan tamadun-tamadun lain. Tamadun Cina telah memberi pandangan baru kepada tamadun lain. Pegangan konfusianisme telah memberi idea kepada sesebuah negara agar beretika dalam penubuhan sesebuah kerajaan. Konsep konfusianisme yang mementingkan humanisme, humanitaarianisme, intelektualisme dan rasionalisme adalah bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan harian manusia.
i.
Kebolehan tamadun Cina dalam teknologi dengan menyumbangkan empat ciptaan agung kepada dunia menunjukkan tamadun Cina telah awal lebih maju berbanding dengan tamadun lain. Walaupun pada zaman pemerintahan Yong Zheng (1723-1735), dasar isolation telah diperkenalkan, ini tidak memundurkan masyarakat cina. Namun sedikit sebanyak memberi impak kepada kemajuan secara global. Kebangkitan para intelektual Cina setelah China kalah beberapa kali dalam peperangan telah memberi kesan positif kepada pembangunan China.
Revolusi Gerakan Kebudayaan Baru yang dilancarkan oleh para intelektual Cina telah menyedarkan kerajaan China bahawa pembaharuan perlu dilakukan untuk memajukan tamadunnya sendiri. Pegangan kosnfusianisme semakin terhakis apabila ramai rakyat China diberi pendidikan sekularisme Barat.


Rujukan:
1. Tamadun Islam dan Tamadun Asia Terbitan Universiti Malaya
2. Tamadun Islam dan Tamadun Asia Terbitan Universiti Teknologi Mara
3. Tamadun Melayu, India, China & Jepun By Esa Khalid & Mohd Azhar Abd. Hamid
4. http://www.fstc.co.uk
5. http://www.muslimheritage.com
6. http://www.wikipedia.com/civilization

No comments:

Buku Pelawat:


PARA PENGUNJUNG DAN PELAJAR YANG MELAWAT BLOG INI SILA SUBSCRIBE, DAFTAR DIRI SEBAGAI FB FOLLOWERS ATAU BOOKMARK DI BAWAH UNTUK DAPATKAN POST SETERUSNYA. TERIMA KASIH

Bookmark blog ini:

Tekan Control + D

Like TITAS

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan

Anda suka Blog ni? Belanja saya Kopi!

Anda suka Blog ni? Belanja saya Kopi!