Friday, December 4, 2009

Persepsi Jihad

Konsep Jihad: 

Takrif dan Definisi Jihad 

Pengertian jihad boleh dilihat dalam beberapa sudut. Jihad adalah perkataan Arab iaitu 'jahada yajhadu jahdu' yang bererti kesulitan dan beban. Al-Jahdu pula bermakna kesungguhan dan keupayaan terakhir. Definisi al-Jihad pada bahasa bermaksud penyerahan segenap kemampuan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan atau menolak sesuatu yang dibenci. Manakala dari segi istilahnya para fukaha bersepakat iaitu peperangan dan membantu semua persiapan perang. 

Oleh itu dalam erti kata yang luas jihad boleh didefinisikan sebagai berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran dan lain-lain perjuangan pada jalan Allah dan meninggikan kalimah Allah.

 Terdapat beberapa pandangan mazhab yang empat berhubung pentakrifan jihad antaranya ialah: 

a.     Hanafi. Ulama mazhab Hanafi iaitu Ibnu Hamman mendefinisikan jihad sebagai mengajak orang kafir memeluk Islam dan memeranginya jika menolak. Manakala al-Kasani iaitu mengerah segenap kemampuan dan tenaga dengan melakukan perang fi sabilillah baik dengan diri, harta dan lidah. 

b.     Maliki. Mazhab Maliki pula berpendapat jihad adalah orang-orang Muslim ang memerangi orang kafir yang tidak terikat dalam perjanjian damai demi menegakkan ajaran agama Allah. 

c.     Shafie. Menurut al-Bajuri jihad adalah berperang di jalan Allah. Seorang lagi ulama Shafie iaitu Ibnu Hajar mentakrifkan sebagai mengerah segenap kemampuan untuk memerangi orang kafir. 

d.     Hanbali. Mereka berpendapat jihad adalah memerangi orang kafir atau mengerah segenap kemampuan untuk memerangi orang kafir. Hukum terhadap amalan jihad adalah fardu kifayah. 

Menurut Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayatul Mujtahid jihad adalah fardu kifayah dan bukan wajib. Namun demikian dalam keadaan tertentu hukum fardu kifayah bertukar menjadi wajib apabila diserang oleh pihak musuh. Dalil al-Quran surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Kamu diwajibkan berperang untuk menentang pencerobohan sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu” Selain itu terdapat beberapa dalil pensyariatan jihad sama ada melalui sunah mahupun al-Quran. 

Antara dalil-dalil tersebut adalah seperti dalam surah at-Taubah ayat 88, “Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga berjaya.” Selain itu dalam surah Ali Imran ayat 195, Allah SWT berfirman bermaksud, Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, kerana setengah kamu adalah keturunan dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah kerana menyelamatkan agamanya, dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, yang disakiti dengan berbagai-bagai gangguan kerana menjalankan agamaKu, berperang mempertahankan Islam, dan yang terbunuh gugur Syahid dalam perang Salib- sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya bagi mereka yang beramal soleh.” 

Dalam hal lain juga, Allah memerintahkan umat Islam mempertahankan diri daripada serangan pihak musuh. Firman Allah SWT surah al-Anfal ayat 60 bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka iaitu musuh yang menceroboh segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. 

Selain itu, sesuatu jihad yang hendak diperjuangkan hendaklah memiliki ciriciri yang jelas menurut syarak. Antara ciri-ciri jihad yang benar adalah: 

a.  Hendaklah kerana Allah SWT dan Rasul semata-mata. 

b.  Tidak bersalahan dengan nas-nas al-Quran dan sunah. 

c.   Tidak menyalahi undang-undang dan pemerintahan yang adil. 

d.  Bukan ekstremis terhadap individu tertentu. 

Jihad jika dilihat di dalam konteks yang lebih luas mempunyai tujuan tertentu. Namun semuanya memfokuskan kepada perkembangan syiar Islam serta keberkatan Allah semata-mata. 

Antara tujuan jihad ialah untuk menyebarkan dakwah Islam, melindungi agama Islam dan negara serta menolong kaum-kaum yang tertindas. Peringkat Mensyariatkan Jihad dalam Islam Jihad disyariatkan kepada umat Islam berdasarkan kepada empat peringkat. Ini menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang ganas. Istilah Islam sendiri membawa maksud sejahtera iaitu membawa kesejahteraan kepada semua makhluk. Oleh itu gambaran yang mengaitkan Islam sebagai agama yang suka berperang dan umat Islam sebagai pengganas adalah salah dan tidak dapat diterima sama sekali. 

Berikut adalah peringkat pensyariatan jihad di dalam Islam: Umat Islam diharamkan Berperang. Sejarah Islam membuktikan bagaimana seksanya umat Islam di awal pendakwahan Rasulullah SAW di Kota Mekah. Mereka diseksa, diugut, didera dan dibunuh contoh seperti mana yang berlaku ke atas saidina Bilal Bin Rabah, bahkan baginda Rasulullah SAW juga menerima azab yang sama. Namun umat Islam ketika itu diminta bersabar dan tidak melawan di atas segala perbuatan dan tindakan kejam kaum kafir dan musyrikin Mekah.

Firman Allah SWT dalam an-Nisak ayat 77 yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: Tahanlah tanganmu dari berperang dan dirikanlah solat.” Keizinan Berperang atau Berjihad. Setelah menerima tentangan hebat kaum kafir Mekah sehingga usaha membunuh Rasulullah SAW dirancang. Akhirnya umat Islam diizinkan mempertahankan diri daripada musuh. Selain itu, umat Islam juga mula mengorak langkah berhijrah ke tempat baru. Hijrah ke Habsyah adalah hijrah pertama dalam Islam barulah diikuti hijrah ke Madinah. Manakala peperangan pertama di dalam Islam adalah perang Uhud yang berlaku pada 4 Hijrah. Sesungguhnya Islam membenarkan umatnya memerangi musuh yang menyerang dan sejarah perang Badar membuktikan tentera Islam memenangi peperangan itu. 

Firman Allah SWT surah al-Haj ayat 39 yang bermaksud,“Telah diizinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.” 

Jihad adalah Wajib ketika Musuh Menyerang. Firman Allah SWT di dalam al-Baqarah ayat 190 yang bermaksud, “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang - orang yang melampaui batas.” 

Melalui surah al-Haj ayat 39, umat Islam diberi keizinan berperang apabila mereka diperangi atau diserang musuh. Sebaliknya, ayat ini pula menegaskan kepada kewajipan ke atas umat Islam mempertahankan diri agama dan negara apabila diserang. Namun demikian sebagai agama sejahtera, Islam mempunyai batas-batas dan etika berperang yang mesti diikuti. Antaranya tidak boleh membunuh kanak-kanak, kaum perempuan, orang-orang tua yang lemah dan sebagainya. Memerangi Kaum Musyrikin dan Kafir. Akhirnya umat Islam diperintahkan memerangi kaum kafir dan musyrikin yang memerangi Islam dan umatnya. Umat Islam perlu jelas di sini, golongan yang harus diperangi adalah kaum kafir yang menyerang umat Islam. Dalam hal ini, ulama Islam membahagikan golongan kafir kepada dua.

Pertama kafir "harbi" iaitu golongan kafir yang mengancam serta memerangi Islam dan umatnya. Golongan kafir "harbi" dibolehkan bagi umat Islam untuk berjihad jika diperangi. 

Keduanya kafir zimmi iaitu golongan kafir yang tidak boleh diperangi kerana mereka tidak mengancam Islam dan umatnya. Selain itu, kafir "zimmi‟ memberi taat setia kepada pemerintahan negara Islam serta membayar cukai jizyah kepada negara. Melalui al-Anfal ayat 39 yang bermaksud, “Dan perangilah mereka, supaya tidak ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah SWT.” 


Jenis-Jenis dan Kategori Jihad 

Amalan jihad merangkumi maksud yang sangat luas daripada berkorban nyawa di medan perang sehinggalah menuntut ilmu adalah termasuk kategori jihad di dalam Islam. Cuma daripada segi tahap ketinggian atau darjat sahaja yang membezakan jenis-jenis jihad. Jihad di medan perang adalah jihad yang paling tinggi dan syahid kubra. Namun demikian, sebagai agama yang benar dan sifat pemurah Allah SWT setiap amalan jihad sama ada kecil atau besar pasti memperoleh ganjaran di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah al-Zilzal ayat 7, “Barang siapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu.” 

Jihad atau pengorbanan boleh dilakukan melalui berbagai cara. Namun semua sumbangan tersebut mestilah diniatkan di dalam hati kerana Allah SWT semata-mata. Jihad yang dilakukan kerana makhluk atau keduniaan juga akan mendapat balasan tetapi setakat dunia sahaja. Sebaliknya jika dilakukan kerana Allah SWT maka balasannya ialah kebaikan dunia dan akhirat. Justeru jihad yang dilakukan hendaklah ikhlas kepada Allah SWT semata. 

Antaranya jihad boleh dilakukan melalui: Nyawa dan Tenaga Jihad yang paling tinggi dalam Islam adalah melalui pengorbanan jiwa dan raga untuk agama Islam. Lazimnya, jihad sebegini adalah jihad di medan perang dan orang yang terkorban adalah syahid. Terdapat banyak contoh para sahabat yang sanggup berkorban nyawa demi perjuangan Islam seperti saidina Hamzah yang gugur syahid di dalam peperangan Uhud. Harta dan Wang Ringgit Selain itu pengorbanan wang ringgit dan harta juga termasuk di dalam jihad fi sabilillah. 

Justeru itu, jihad dalam erti kata yang luas dapat dilakukan oleh semua orang. Bagi golongan kaya harta mereka boleh menyumbang dalam bentuk kewangan bagi menyokong usaha jihad golongan di medan perang. Sebagai contohnya saidina Abu Bakar menyerahkan hartanya demi perjuangan menegakkan syiar Islam. Akal Fikiran dan Ilmu Sumbangan buah fikiran dan idea juga tergolong dalam ciri-ciri berjihad di jalan Allah. Sebagai contohnya Salman al-Farisi selain berjihad di medan perang juga menyumbangkan idea pembinaan parit di dalam peperangan Khandak. Selain itu menuntut ilmu adalah suatu jenis jihad di dalam Islam. Begitu juga para mujtahid yang berijtihad mengenai sesuatu hukum juga tergolong sebagai suatu jihad melalui akal fikiran. 

Terdapat beberapa kategori jihad yang sangat dianjurkan Islam bahkan diwajibkan kepada setiap umat Islam mempertahankan hak-hak tersebut iaitu: 

Jihad melawan hawa nafsu Berjihad melawan nafsu adalah jihad yang paling tinggi sekali darjat di sisi Islam. Melaluinya seluruh tenaga disalurkan supaya menuruti jalan dan manhaj yang digariskan oleh Allah SWT. Perjuangan ini adalah perjuangan dalam diri setiap individu Muslim dan ianya adalah fardu ain. Sebenarnya mencari petunjuk agama yang benar atau mencari ilmu adalah tergolong di dalam jihad. Perjuangan melawan nafsu agar ianya tunduk dan patuh untuk beramal kepada ajaran Islam, menyebarkan dakwah Islamiah serta sabar di atas segala ujian dan cabaran yang diterima. Jihad sebegini menuntut kepada jihad yang berpanjangan dan ianya adalah jihad fardu ain.

Dalil yang boleh dikaitkan dengan jihad melawan hawa nafsu seperti dalam surah as-Syams ayat 7-10 yang bermaksud, “Dan demi jiwa serta penyempurnaannya penciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” Jihad menentang syaitan. Syaitan adalah seteru manusia yang sebenarbenarnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan permusuhan antara syaitan dan manusia. Bahkan di dalam kisah Nabi Adam as dan iblis juga banyak mengisahkan permusuhan dan dendam iblis kepada manusia. Antara dalil al-Quran dalam surah al-Fathir ayat 6 yang membuktikan syaitan adalah musuh manusia adalah, “Sesungguhnya syaitan itu seteru bagimu maka jadikanlah dia atau layanilah sebagai seteru.” 


Hukum Jihad:

Jihad menentang syaitan juga tergolong sebagai jihad dalam kategori fardu ain. Ia menunjukkan setiap manusia Islam mestilah sentiasa berjihad menentang hawa nafsu dan syaitan. Ini kerana kedua-duanya adalah musuh di dalam diri mereka sendiri. Ketiganya adalah jihad menentang orang-orang kafir. Jihad menentang kafir terdapat dalam dua cara iaitu:

- Pertama melalui dakwah dengan mengajak orang-orang kafir memeluk Islam.

Ini kerana berdakwah juga adalah salah satu daripada jihad bagi orang Islam. 

- Keduanya adalah jihad melalui senjata iaitu memerangi orang kafir yang menggugat agama dan umat Islam. 


Golongan kafir terbahagi dua iaitu kafir zimmi dan kafir harbi. Kafir "zimmi‟ tidak harus diperangi sebaliknya kafir "harbi‟ adalah orang kafir yang mengancam negara, agama dan umat Islam. 

Apabila umat Islam diserang pihak musuh umat wajib berjihad bagi mempertahankan agama Islam. Di sini hukum fardu kifayah pada asalnya bertukar menjadi fardu ain apabila pihak musuh menyerang. Sebenarnya peperangan bukanlah suatu jalan penyelesaian di dalam Islam. Islam bukanlah agama pengganas seperti yang diwar-warkan oleh media Barat. Islam lebih menjurus kepada perdamaian melalui syura. Hal ini dapat dilihat pada zaman Rasulullah bagaimana setiap masalah dapat diselesaikan melalui perundingan. Namun demikian, sebagai agama yang benar, maka umat Islam diwajibkan mempertahankan agama apabila diganggu-gugat oleh pihak musuh. Hal ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah apabila perang Badar yang merupakan perang pertama bagi umat Islam berlaku. 

Hal ini timbul kerana agama Islam dicabar dan digugat oleh orang kafir. Justeru apabila keadaan ini berlaku, umat Islam berkewajipan mempertahankan agama Islam. Firman Allah SWT surah al-Baqarah ayat 190 yang bermaksud, “Perangilah ole hmu pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang melampaui batas.” 

Jihad menentang golongan munafik Seterusnya umat Islam juga berjihad menentang golongan munafik. Mereka tergolong sebagai musuh yang berselindung di sebalik nama Islam. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang membicarakan berkenaan golongan munafik ini. Justeru kebanyakan ayatayat Madaniyyah sering mendedahkan mengenai golongan munafik. Ini kerana dakwah Islamiah semasa zaman Madinah banyak terdedah kepada ancaman munafikin ke atas agama dan umat Islam. Bahkan terdapat surah al-Munafiqun yang dikhususkan kepada musuh Islam ini. 

Antara dalil al-Quran surah at-Taubah ayat 96 yang menyeru kepada jihad ke atas orang kafir dan munafik ialah, “Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orangorang munafik itu, bersikap kasarlah terhadap mereka.” Jihad menentang kemungkaran dan kezaliman Selain daripada berperang menentang musuh, umat Islam juga digalakkan menentang kemungkaran dan kezaliman di dalam sesebuah pemerintahan. Oleh itu, segala kebatilan yang terdapat dalam masyarakat mestilah ditentang sama ada melalui perbuatan, perkataan ataupun dengan hati. Riwayat an-Nasai, Rasulullah pernah berkata mengenai jihad yang paling utama yang bermaksud, “Jihad yang paling utama adalah menyatakan perkataan yang hak di hadapan seorang penguasa yang zalim.” 

Selain itu dalil daripada al-Quran surah Ali Imran ayat 11 yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” 

Sehubungan itu, setiap orang mestilah mengamalkan konsep amar makruf dan nahi mungkar. Ini kerana selain tentangan pihak musuh, Islam menjadi lemah ekoran sikap umatnya sendiri. Ada pihak yang tidak prihatin dengan konsep amar makruf nahi mungkar justeru membiarkan saudaranya terus dalam kemaksiatan dan kesesatan. Maqasid syar‟iyah.( agama, maruah, harta, akal, nyawa) Umat Islam juga disarankan mempertahankan hak masing-masing. Di sini hak-hak maqasid syar‟iyah juga tergolong sebagai salah satu jihad dalam Islam. Sebagai contoh, keluarga Yaser dan isterinya Sumayyah yang gugur syahid setelah diseksa dengan kejam oleh kaum kafir kerana mempertahankan agama Allah SWT. Begitu juga yang berlaku ke atas saidina Bilal yang dadanya dihempap batu di bawah pancaran terik matahari tetapi masih mengekalkan syahadah dan istiqamah kepada Allah SWT. 

Kesemua ini adalah contoh-contoh jihad sama ada mempertahankan agama, maruah, harta, akal dan nyawa. Bahkan umat Islam pada hari ini pun berkewajipan menjaga hak masing-masing dan sekiranya mati maka ia tergolong sebagai salah syahid di dalam Islam. 

Menuntut ilmu Selain berjihad di medan perang, umat manusia juga disyariatkan berjuang dalam bidang keilmuan. Ini penting bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam setiap lapangan. Apa ertinya kemenangan di medan perang sekiranya kemenangan itu tidak diisi dengan masyarakat berilmu. Sudah pasti suatu hari nanti umat Islam akan dijajah semula dalam bentuk lain seperti bidang sains teknologi, kedoktoran, ketenteraan dan sebagainya. 

Hal ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT surah at-Taubah ayat 122 yang bermaksud, “Tiada patut orang yang beriman keluar semuanya ke medan perang. Mengapakah tiada keluar sebahagian di antara tiap-tiap golongan mereka, supaya mereka yang tinggal memahami agama dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka itu waspada.” 

Umat Islam digalakkan mempelajari segala ilmu yang bermanfaat sama ada ilmu fardu ain seperti fikah, tauhid atau ilmu fardu kifayah seperti sains, perubatan dan sebagainya. Ini bertujuan supaya umat Islam tidak bergantung kepada bangsa lain, bahkan fardu kifayah boleh menjadi wajib sekiranya tidak ada orang Islam yang mempelajarinya. Sebagai contoh, ilmu perubatan menjadi wajib kepada umat Islam mempelajarinya sekiranya tidak terdapat doktor Muslim yang dapat merawat pesakit Islam. 


Realiti Amalan Jihad pada Masa Kini 

Istilah jihad pada hari ini sudah diterima pakai dengan lebih meluas. Sama ada negara di blok Timur atau blok Barat menerima pakai istilah jihad. Tetapi apa yang pastinya, jihad itu dipandang dari dua sudut iaitu positif dan negatif. Sebagai contoh, jihad dipandang negatif oleh pihak Barat terutamanya selepas peristiwa 11 September. Islam telah digelar sebagai agama yang ganas dan umat Islam terutamanya di Afghanistan sebagai pengganas. Sebaliknya pula dalam serangan pencerobohan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya ke atas Iraq pandangan terhadap jihad telah berubah. Rakyat Iraq berkewajipan mempertahankan negara mereka demi agama Islam dan negara mereka. Serangan pihak musuh adalah pencerobohan ke atas kedaulatan negara dan ianya mesti dipertahankan. 

Untuk itu, jihad itu perlu dinilai sebagai mempertahankan agama dan negara daripada musuh. Dalam konteks negara Malaysia, konsep jihad perlu difahami secara lebih luas dan terbuka. Amalan jihad perlu jelas agar tidak mengganggu-gugat keamanan dan kedamaian rakyat dan negara. Terdapat peristiwa-peristiwa yang dikaitkan dengan jihad telah berlaku di dalam negara seperti peristiwa Sauk. 

Sebenarnya jihad perlulah bermatlamatkan mendapat keredaan Allah SWT bukannya memenuhi ideologi politik dan agenda individu yang tertentu. Jika matlamat jihad terpesong dari landasan syariat maka perjuangan tersebut adalah kosong dan berdosa. Untuk itu, setiap pengorbanan atau jihad hendaklah jelas dan bertujuan fi sabilillah. Realitinya banyak lagi yang perlu diperjuangkan oleh masyarakat Islam di Malaysia khasnya. Selain berjihad melalui peperangan, umat Islam mestilah berusaha mengangkat semula kegemilangan Islam dalam semua bidang. Kekuatan Islam dan umatnya pada hari ini bukan semata-mata kerana semangat dan kekuatan dalam ketenteraan sahaja. 

Sebaliknya kekuatan ekonomi, politik, ketenteraan, sains, teknologi dan sebagainya adalah inti pati kekuatan yang sebenarnya pada hari ini. Justeru dengan penguasaan tersebutlah umat Islam akan digeruni pihak musuh dan seterusnya boleh menjadi pemangkin kepada negara-negara lain di dunia ini. Hari ini kuasa tersebut dimiliki oleh Barat setelah mencedok dan mengaplikasikan segala ilmu dalam tamadun Islam. 


Kesimpulan:

Umumnya jihad membawa maksud yang sangat luas. Ianya tidak boleh disempitkan kepada jihad di medan perang semata-mata. Justeru jihad dalaman seperti melawan hawa nafsu dan godaan syaitan juga tergolong jihad fardu ain. Sebaliknya jihad menentang orang-orang kafir hanyalah jihad fardu kifayah dan ianya bertukar wajib apabila pihak musuh menyerang atau mengancam Islam dan umatnya. Akhir sekali saranan untuk mengaplikasikan jihad di dalam kehidupan seharian Muslim seperti berikut; jihad melawan hawa nafsu, godaan syaitan, kaum kafir "harbi" golongan munafik dan amal makruf nahi mungkar. Oleh itu, sekiranya setiap Muslim mengamalkan serta menghayati semangat jihad nescaya kegemilangan Islam akan kembali menyinari dan membawa kesejahteraan kepada alam ini.

2 comments:

ayie said...

salam..saya nak tanya rujukan yang bagus untuk mencari maklumat persepsi jihad dalam islam..? dalam program titas

annamie said...

salam..nak tanya..apakah definisi untuk jihad hati, jihad harta,jihad penulisan,dan jihad kesihatan???dalam subjek titas

Like TITAS

Followers

Subhanallah!

Anda Suka Blog Ini???

Beri Sokongan